MB: Tiada Kenaikan Tarif Air Di Selangor Buat Masa Ini | Malaysia News

MB: Tiada Kenaikan Tarif Air di Selangor Buat Masa Ini

MB: Tiada Kenaikan Tarif Air di Selangor Buat Masa Ini

Kuala Lumpur, MTN – Kerajaan Selangor tidak bercadang menaikkan tarif air buat masa ini, ketika rakyat sedang terkesan oleh penularan pandemik COVID-19, kata Menteri Besar Amirudin Shari.

Menurutnya, bagaimanapun isu tarif air itu perlu dibincangkan apabila tiba masanya.

“Kita memang tiada hasrat untuk naikkan tarif air ketika penularan wabak berkenaan. Namun, kelestarian pengurusan air harus dibincangkan dan ia melibatkan semua negeri, bukan Selangor saja.

“… kerana apabila perkhidmatan (industri air) tidak dapat disalurkan dengan baik, akhirnya ia akan membebankan pengguna. Jadi kena rasional, bukan mahu ‘gain political mileage’. Saya bukan nak naikkan tarif air, tapi kita ada perancangan bila masanya,” katanya selepas melancarkan program Inisiatif Roda Darul Ehsan (Ride) di Shah Alam.

Beliau berkata demikian kepada pemberita apabila ditanya perkembangan terkini cadangan semakan semula tarif air di negeri-negeri termasuk Selangor yang mula dibangkitkan ketika kerajaan persekutuan di bawah Pakatan Harapan.

Pada persidangan Dewan Rakyat hari ini, kerajaan persekutuan memberi jaminan tidak akan menaikkan tarif air dalam situasi rakyat terbeban dengan keadaan ekonomi dan situasi pandemik Covid-19 yang belum berakhir.

Sementara itu, mengenai perlakuan vandalisme membabitkan mural pemimpin dan “wira negara” semalam, Amirudin mengusulkan agar artis yang berkenaan mencari lokasi lain yang lebih sesuai jika mereka berhasrat untuk berkarya semula.

Dalam kejadian itu, mural potret pemimpin negara termasuk Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dicemarkan menggunakan semburan cat merah.

Turut menjadi mangsa potret Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.[Bernama]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply