MCA Selangor Gesa Ahli Majlis Disiasat Jika Salah Guna Kuasa | Malaysia Top News
June 2, 2020

MCA Selangor Gesa Ahli Majlis Disiasat Jika Salah Guna Kuasa

Kuala Lumpur, MTN – MCA Selangor menggesa seorang ahli majlis disiasat sekiranya menyalahgunakan kuasanya untuk membenarkan sebuah dewan badminton dibuka ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Ini selepas individu berkenaan semalam ditahan bersama tiga yang lain kerana bermain badminton di sebuah dewan orang ramai di Shah Alam semasa PKP dilaksanakan.

“Polis mesti siasat ahli majlis Shah Alam dari Pakatan Harapan yang ditangkap kerana mengingkari PKP apabila dia didakwa menyalahgunakan kuasanya dengan mengarahkan sebuah dewan serbaguna di Shah Alam dibuka untuk dia dan rakan-rakannya bermain badminton,” kata Pengerusi MCA Selangor, Ng Chok Sin.

Beliau berkata, selain tindakan undang-undang, ahli majlis itu juga perlu dikenakan tindakan disiplin oleh parti dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Beliau juga menggesa kerajaan Selangor membatalkan pelantikan individu berkenaan sebagai ahli majlis.

Semalam, jurucakap Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor ACP Ismail Muslim mengesahkan penahanan itu.

MBSA juga mengesahkan kejadian itu, yang disifatkan sebagai “pencerobohan”.

Pihak berkuasa tempatan itu juga telah menuntut penjelasan daripada ahli majlis berkenaan.[mk]

Share on:
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •