Mengurus Kebimbangan Rakyat Mengenai Sekuriti Makanan Negara
Mengurus Kebimbangan Rakyat Mengenai Sekuriti Makanan Negara
ULASAN | Dalam menangani impak wabak Covid-19, setiap pemimpin negara sedang cuba untuk menyelamatkan rakyat mereka daripada mengalami situasi yang lebih teruk dan Malaysia tidak terkecuali.
Oleh kerana sekatan terhadap pergerakan dan perniagaan, rantaian pengeluaran dan bekalan menjadi terancam sehingga menyebabkan beberapa negara mengekang eksport ke negara-negara pengimport termasuklah bekalan makanan.
Keadaan seperti ini telah menyebabkan rakyat menjadi risau tentang kecukupan tahap bekalan makanan domestik, terutamanya sepanjang berdepan dengan wabak Covid-19.
Jadi, rakyat mula panik sehingga menyebabkan mereka mula membeli makanan dalam kuantiti yang banyak di pasar raya walaupun sebelum kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pada 24 Mac lalu, Vietnam telah mengumumkan ia tidak akan menandatangani kontrak eksport beras yang baru buat sementara waktu bagi memastikan bekalan domestik mereka mencukupi. Hal ini telah menimbulkan kebimbangan tentang sekuriti makanan global untuk masa hadapan.
Makanan Ruji Rakyat
Ekoran pengumuman tersebut, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan menyatakan bekalan beras domestik boleh bertahan selama dua bulan setengah. Namun, kenyataan itu kemudian dibidas oleh enterinya. Percanggahan dalam kenyataan yang dikeluarkan ini telah menimbulkan kekeliruan di kalangan pengguna.
Wajar bagi rakyat untuk berasa bimbang mengenai sekuriti makanan negara memandangkan beras merupakan makanan ruji bagi rakyat Malaysia dan kenyataan dari Vietnam yang tidak berpihak kepada negara. Lantaran itu, arahan dan dasar jelas daripada pihak kerajaan memainkan peranan penting untuk meyakinkan orang ramai.
Mengambil definisi Jawatankuasa Bangsa-Bangsa Bersatu, sekuriti makanan sedunia bermaksud setiap orang mempunyai akses fizikal, sosial dan ekonomi kepada makanan yang mencukupi, selamat dan berkhasiat mengikut citarasa dan keperluan pada setiap masa.
Cakap mudahnya, isu-isu teras yang biasanya dikaitkan dengan sekuriti makanan adalah ketersediaan, kemampuan untuk membeli, kualiti dan tahap keselamatannya.
Berdasarkan dapatan terkini Unit Risikan majalah Economist (EIU), Malaysia menduduki tempat yang ke-24 daripada 113 buah negara dalam Indeks Sekuriti Makanan Global 2019.
Dalam kalangan negara Asia Pasifik, negara kita berkedudukan baik di tempat yang ke-5 daripada 23 buah negara.
Bercakap tentang ketersediaan makanan, terutamanya beras, penyelidik dari Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) Sarena Che Omar berkata Malaysia menghasilkan 60 hingga 70 peratus untuk penggunaan domestik.
Selain itu, stok beras semasa di pasaran yang dikeluarkan pengeluar tempatan dan negara pengimport dikatakan stabil. Simpanan stok untuk kecemasan juga dihasilkan di beberapa lokasi yang tidak didedahkan oleh pengendalinya, Padiberas Nasional Bhd (Bernas).
Walaupun Vietnam mengumumkan penggantungan sementara bagi eksport beras, Malaysia masih boleh bergantung kepada pengimport lain seperti Thailand, Pakistan, Myanmar dan Kemboja.
Gangguan dalam rantaian bekalan makanan nampaknya masih minimum buat masa kini memandangkan sektor-sektor yang berkaitan telah disenaraikan dalam ‘perkhidmatan penting’ dan diberikan kebenaran untuk terus beroperasi semasa PKP.
Sebuah pasukan petugas khas juga telah ditubuhkan oleh kerajaan bagi memastikan bekalan makanan dan barang keperluan lain mencukupi semasa tempoh kuarantin.
Oleh itu, secara umumnya ketersediaan makanan tidak menjadi masalah dalam masa terdekat, seperti yang dipersetujui seorang pakar dalam bidang Ekonomi Pertanian dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Nasir Shamsudin.
Berdikari, Kurangkan Import
Bagaimanapun, pendekatan jangka panjang mengenai sekuriti makanan perlu disentuh kerana kebimbangan yang semakin meningkat dalam kalangan pengguna terutamanya selepas wabak Covid-19 mula merebak.
Pertama, kebergantungan Malaysia terhadap import makanan harus dikurangkan untuk negara lebih berdikari pada masa hadapan. Pada 2019, negara kita telah mengimport makanan lebih banyak daripada eksport sehingga mengakibatkan defisit sebanyak RM17.4 bilion.
Selain beras, tahap keberdikarian (self-sufficiency level, SSL) untuk produk makanan yang lain kekal rendah – susu segar (61.3 peratus), sayur-sayuran (46.6 peratus), daging lembu (23.9 peratus), daging kambing (11.2 peratus) dan produk tenusu (5 peratus), menurut Profesor Nasir.
Pelbagai dasar telah dilaksanakan beberapa tahun lalu untuk meningkatkan pengeluaran makanan domestik tetapi terganggu oleh beberapa kelemahan seperti iklim yang tidak bersesuaian, kos pengeluaran yang tinggi, persaingan dengan pengimport dan kekurangan tenaga kerja.
Salah satu cara mengatasi masalah ini adalah dengan mendorong penglibatan rakyat dalam pertanian moden terutamanya dari kalangan generasi muda sebagai sebahagian proses inovasi untuk sektor pertanian dan meningkatkan hasil pengeluaran makanan.
Ini dapat dilakukan melalui peningkatan pelaburan dalam Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) tanaman makanan, sama ada sektor awam mahupun sektor swasta. Dasar ini boleh membantu meningkatkan pendapatan para petani, yang kebanyakannya daripada kumpulan isi rumah berpendapatan rendah.
Cegah Kebuluran Masa Depan
Dalam menyokong inovasi dalam sektor pertanian yang memerlukan penggunaan teknologi, pendidikan yang betul adalah amat penting.
Oleh itu, kursus yang berkaitan seperti Teknologi Pertanian atau Pertanian Mapan boleh ditawarkan oleh universiti dalam usaha meningkatkan potensi modal insan untuk sektor tersebut.
Insentif menarik juga boleh menjadi satu alternatif untuk mendorong sektor ini terutamanya dalam masa krisis. Sebagai contoh, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM1 bilion untuk dana sekuriti makanan semasa PKP.
Kedua, terdapat permintaan untuk kerajaan memberi perhatian kepada kemampuan untuk membeli makanan kerana bekalan makanan yang mencukupi tidak semestinya menjamin kemampuan bagi setiap orang untuk memilikinya, terutama semasa krisis seperti pandemik ini.
Dalam hal ini, kerajaan telah mengambil tindakan yang betul dengan melaksanakan Skim Harga Maksimum untuk barang keperluan harian seperti makanan segar dan makanan kering semasa musim perayaan.
Berikutan PKP, Kementerian Perdagangan Dalam Negari dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga dibenarkan untuk melaksanakan mekanisme yang sama untuk barang keperluan yang biasa termasuk produk kesihatan bagi mengawal kenaikan harga yang tidak berpatutan.
Seperti yang dilaporkan oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO), harga makanan dunia telah merosot sebanyak 4.3 peratus pada Mac disebabkan permintaan yang lemah.
Dalam menguruskan kebimbangan rakyat dan persediaan untuk ketidaktentuan masa hadapan, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Ronald Kiandee telah mengumumkan jawatankuasa kabinet untuk sekuriti makanan akan ditubuhkan tidak lama lagi bagi merangka Dasar Sekuriti Makanan Negara.
Ini merupakan tindakan yang betul kerana sekuriti makanan sangat penting bagi mencegah kebuluran yang boleh menyebabkan kesan buruk kepada ekonomi pada masa hadapan.
Kesimpulannya, pandemik ini muncul sebagai peringatan kepada kita semua untuk tidak leka dan terdapat keperluan segera untuk pembaharuan dalam sekuriti makanan negara supaya setiap orang lebih bersiap sedia sekiranya peristiwa tidak diduga ini melanda negara kita lagi.
SOFEA AZAHAR merupakan Penganalisis Penyelidik di Emir Research, sebuah organisasi pemikir bebas yang fokus kepada pencernaan saranan-saranan dasar strategik berteraskan penyelidikan yang terperinci, konsisten dan menyeluruh.
-Malaysiakini