Muhyiddin dakwa Najib Razak bawa keluar perabot dari Seri Perdana
![Muhyiddin dakwa Najib Razak bawa keluar perabot dari Seri Perdana Muhyiddin dakwa Najib Razak bawa keluar perabot dari Seri Perdana](https://www.malaysiatopnews.com/wp-content/uploads/2021/09/Muhyiddin-Yassin-Najib-Razak.jpg)
Muhyiddin dakwa Najib Razak bawa keluar perabot dari Seri Perdana
MTN – Bekas Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin hari ini mendakwa beberapa perabot di Seri Perdana telah dibawa keluar oleh Najib Razak yang juga bekas perdana menteri keenam.
Muhyiddin pada sidang medianya lewat petang tadi berkata candelier antara barang yang dibawa keluar dari kediaman rasmi perdana menteri itu.
“Ini laporan yang saya terima daripada pihak Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang menyatakan selepas saja kediaman Seri Perdana itu dikosongkan oleh perdana menteri yang keenam dan saya (perdana menteri) kelapan dan saya pun tak masuk ke sana maka untuk membolehkan pengubahsuaian dan penambahbaikan dilakukan, maka kita nak pastikanlah sama ada perabot itu mencukupi dan lain-lain yang saya rasa tak perlu jelaskan.
“Jadi, ada perkara yang berbangkit adalah kerana antara perkara itu adalah perabot, candelier dan barangan-barangan yang ada di kediaman itu dikatakan dimiliki oleh perdana menteri keenam,” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.
Muhyiddin berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataannya sebelum ini bahawa pihak JPM telah mengesyorkannya perolehan perabot bagi kerja pengubahsuaian Seri Perdana memandangkan beberapa aset dan perabot milik peribadi bekas perdana menteri keenam telah dipindah keluar dari kediaman rasmi itu.
Oleh demikian, Muhyiddin yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata segala urusan membabitkan pemindahan itu bawah pengurusan JPM.
“Jadi, saya sewaktu menjadi perdana menteri, saya kata tak kisahlah kalau itu hak dia pasal dia dakwa begitu maka terserahlah pada pihak jabatan PM untuk berikan kebenaran untuk beliau mengangkat atau mengeluarkan barang-barang tersebut
“Saya tidak menguruskan soal perkara itu kerana dia ada penjaga, saya tak pasti sama ada daftar inventory perabot dan sebagainya dan itu bukan bidang tugas PM.
“Jadi, untuk tujuan itu kita boleh mulakan kerja-kerja penambahbaikan dan sebagainya maka itulah langkah yang telah kita ambil,” katanya lagi.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Abdul Latiff Ahmad mendedahkan bahawa ubah suai Seri Perdana menelan kos setinggi itu kerana bangunan berkenaan sangat memerlukan kerja baik pulih akibat banyak kerosakan, seperti penggantian pendawaian elektrik dan kebocoran pada bumbungnya.
Katanya, projek itu diluluskan pada 19 Mac 2021 dan kerja-kerja membaik pulih pula bermula pada 29 Mac, dan dijangka siap pada 7 Disember nanti.
Penjelasan Abdul Latif bagi menjawab isu yang dibangkitkan Ahli Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar di Dewan Rakyat beberapa hari lalu.
Ekoran pendedahan itu, Najib menempelak Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu kerana memulakan pengubahsuaian Seri Perdana ketika menjadi perdana menteri, di tengah penularan wabak Covid-19.
Katanya, pengubahsuaian yang bermula Mac itu berlaku sebulan sebelum kenyataan Muhyiddin bahawa kerajaan “sudah tiada banyak wang” ekoran peruntukan yang dikeluarkan untuk menangani wabak itu.
Mempertahankan ubah suai berkenaan, Muhyiddin berkata, dia menerima laporan daripada JPM pada Mac berhubung kerosakan fizikal pada bangunan Seri Perdana.
Katanya, ia melibatkan masalah kebocoran, sistem pencahayaan lama, keadaan fizikal lantai dan bumbung yang telah rosak atau usang, dan pendawaian elektrik serta peralatan mekanikal seperti pendingin hawa yang terlalu usang. [MK]
Author Profile
![Wahyu Basyir](https://www.malaysiatopnews.com/wp-content/uploads/2019/01/Malaysia_Top_News_Logo3-150x150.png)
Latest entries
NationalJanuary 22, 2025Pantang undur, demo antirasuah 25 Jan tetap jalan
NationalJanuary 19, 2025Perjanjian perdagangan bebas M’sia-UK dijangka tingkat pelaburan
InternationalJanuary 17, 2025Thailand kemas kini program visa jangka panjang
InternationalJanuary 16, 2025Perjanjian gencatan senjata di Gaza dimeterai, mula Ahad ini