'Palsu Dan Direka'- Anwar Fail Tuntutan Balas Terhadap Saman Yusoff Rawther | Malaysia News

‘Palsu dan direka’- Anwar fail tuntutan balas terhadap saman Yusoff Rawther

Anwar Ibrahim - PKR - PH

‘Palsu dan direka’- Anwar fail tuntutan balas terhadap saman Yusoff Rawther

Kuala Lumpur, MTN – Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim menolak dakwaan tuduhan salah laku seksual terhadapnya yang dikaitkan dengan Muhammad Yusoff Rawther dan menyifatkan tuduhan itu “palsu dan direka”.

Dalam pernyataan pembelaan dan tuntutan balas yang dkemukan semalam terhadap saman Yusoff, Anwar berpendapat bahawa serangan seksual yang didakwa tidak mungkin berlaku kerana Ahli Parlimen Port Dickson itu melayan keluarga dan rakan di kediamannya Bukit Segambut ketika kejadian didakwa berlaku.

“Seperti yang diplidkan pada perenggan 25.3 atas (dalam pernyataan tuntutan balas Anwar), sekitar pada 2pm hingga kira-kira pukul 5 pm ke pukul 6pm, DSAI (Anwar) telah melayan keluarga dan kawan-kawannya di kediaman Bukit Segambut.

“Dalam keadaan itu, DSAI menyatakan bahawa pernyataan-pernyataan Yusoff di perenggan 16 hingga 24 (pernyataan tuntutan Yusoff terhadap saman itu) adalah palsu sama sekali dan direka,” kata Presiden PKR itu dalam tuntutan balas yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam.

Pada Julai tahun ini, Yusoff mengemukakan saman sivil, dengan mendakwa bahawa dia menjadi mangsa salah laku seksual oleh Anwar pada Oktober 2018.

Melalui dokumen di mahkamah, Anwar menafikan kandungan Akuan Bersumpah Yusoff bertarikh 19 Nov 2019, berkaitan dengan tuduhan serangan seksual di kediamannya di Bukit Segambut.

Pemimpin PKR itu berpendapat Yusoff tidak pernah bekerja sebagai pembantu penyelidik di pejabatnya di Bukit Gasing, melainkan melaksanakan kerja sebagai sukarelawan.

Yusoff, yang mengaku pernah menjadi pembantu penyelidik Anwar, mendapat perhatian pada tahun 2019 apabila dia mengaku pada sidang medianya pada 3 Disember tahun yang sama bahawa dia diserang secara seksual oleh Anwar.

Yusoff bergantung pada akuan bersumpah yang dibuatnya pada sidang media tersebut.

‘Tuduhan untuk halang Anwar jadi PM’

Dalam tuntutan balas terhadap Yusoff, Anwar mendakwa tuduhan itu bertujuan “mencemarkan imej politik DSAI dan memastikan bahawa DSAI tidak menjadi Perdana Menteri Malaysia”.

Presiden PKR itu berpendapat tuduhan tersebut dibuat tepat menjelang Kongres Nasional PKR ke-14 di Melaka pada Disember 2019, semasa isu peralihan kuasa antara perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad kepada Anwar.

Anwar mendakwa selepas itu parti politik berkenaan dilanda perselisihan dalaman, yang membabitkan pihak tertentu cuba menghalang kemaraan kepemimpinannya.

Anggota parlimen Port Dickson itu mempersoalkan mengapa Yusoff mengambil masa lebih satu tahun setelah insiden serangan seksual yang didakwanya melalui akuan bersumpah bertarikh 19 Nov 2019, iaitu kira-kira dua minggu sebelum kongres PKR.

Anwar menegaskan bahawa Yusoff hanya mengadakan sidang media pada 4 Disember 2019, sehari sebelum kongres parti itu.

Ahli politik veteran itu juga berpendapat bahawa Yusoff mengambil masa lebih daripada satu tahun untuk membuat laporan polis pada 7 Disember 2019, di mana kongres PKR sedang berlangsung.

“Pada premis ini saman ini merupakan penyalahgunaan proses. Yusoff tidak membuat tuntutan ini dengan niat sebenar untuk mendapatkan ganti rugi undang-undang.

“DSAI berpendapat bahawa tujuan utama tuntutan yang digunakan oleh Yusoff ini adalah bertujuan untuk mencemarkan reputasi dan imej politik DSAI dengan tuduhan palsu itu.

“Oleh itu, DSAI berpendapat bahawa Yusoff sengaja mengemukakan tuduhan palsu ini sebelum dan semasa kongres untuk menimbulkan kerosakan maksimum reputasi dan kerjaya politik DSAI,” dakwaan Anwar.

Melalui tuntutan balas itu, dia menuntut daripada Yusoff ganti rugi umum, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, faedah, kos dan relif lain yang dianggap wajar oleh mahkamah.

Anwar diwakili oleh peguam dari firma undang-undang Tetuan Jeffrey Lee.

Manakala Yusoff diwakili peguam dari Tetuan Abd Halim Ushah & Associates.

Malaysiakini sedang berusaha untuk menghubungi pihak terbabit untuk mendapatkan respons berhubung perkara itu.

Menurut kertas kausa dalam talian di ecourtservices.kehakiman.gov.my, pengurusan kes di hadapan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ditetapkan pada 29 Oktober. [MK]

Baca Siapa Yusoff Rawther :

Siapa Yusoff Rawther?

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply