Muhyiddin dan Mahathir diheret ke mahkamah isu pembatalan projek HSR
Muhyiddin dan Mahathir diheret ke mahkamah isu pembatalan projek HSR
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin diheret ke mahkamah berhubung pembatalan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) antara Malaysia dan Singapura.
Warganegara Malaysia Mohd Hatta Sanuri memfailkan writ saman menyasarkan dua bekas perdana menteri itu dan tiga yang lain, bagi memulihkan projek itu serta menuntut mereka membayar pampasan RM1 juta kepada setiap warganegara Malaysia.
Menurut salinan kertas kausa yang difailkan di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada 30 Dis tahun lepas, plaintif menamakan bukan sahaja Mahathir dan Muhyiddin sebagai defendan pertama dan kedua, tetapi turut menyenaraikan bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap ekonomi Mustapha Mohamed, bekas menteri pengangkutan Wee Ka Siong dan kerajaan Malaysia sebagai defendan ketiga, keempat dan kelima.
Hatta menjadi tumpuan sebelum ini berhubung tindakan undang-undang terhadap kerajaan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang menganugerahkan kedaulatan Singapura ke atas Pedra Branca (Pulau Batu Puteh). TIndakan undang-undang itu gagal. Bagaimanapun, lelaki berusia 46 tahun itu membuat rayuan berhubung perkara ini di Mahkamah Rayuan.
Menurut kenyataan tuntutan tindakan terbaru yang dilihat Malaysiakini, Hatta mendakwa Mahathir cuai dan melakukan kesalahan penyelewengan dalam jawatan awam apabila perdana menteri ketika itu membuat keputusan untuk menangguhkan projek HSR pada 5 Sept 2018, yang didakwa mengakibatkan Malaysia membayar pampasan RM46 juta kepada Singapura pada 31 Jan, 2019.
Plaintif mendakwa bahawa Muhyiddin, juga melakukan kecuaian dan penyelewengan dalam jawatan awam, sebagai perdana menteri ketika itu, dengan menamatkan projek HSR pada 31 Dis 2020, dan ini menurutnya menyebabkan Malaysia membayar lebih RM320 juta sebagai pampasan kepada Singapura pada 2021 untuk pembatalan perjanjian dua hala antara kedua-dua negara.
Sebelum ini pada 1 Jan 2021, media melaporkan kenyataan media bersama oleh perdana menteri ketika itu Muhyiddin dan Perdana Menteri Singapura Lee Shien Loong berhubung pembatalan projek HSR.
Hatta mendakwa Mustapha juga cuai dan melakukan penyelewengan dalam jawatan awam berhubung penangguhan projek itu dan Wee juga didakwa sama cuai dan melakukan penyelewengan dalam jawatan awam berhubung pengurusan projek itu.
Plaintif mendakwa bahawa antara kerugian yang dialami oleh semua rakyat Malaysia berikutan penamatan projek HSR, adalah hilangnya keyakinan pelabur asing terhadap negara; kehilangan 70,000 pekerjaan berpotensi bergaji tinggi daripada projek itu; kehilangan peluang untuk memperoleh keuntungan RM70 bilion daripada pembinaan, operasi HSR serta lebih RM366 juta kerugian akibat Malaysia membayar pampasan kepada Singapura.
“Berdasarkan fakta di atas, defendan perlu membayar ganti rugi teruk dan teladan kepada setiap rakyat Malaysia, termasuk plaintif, untuk tindakan yang tidak mengikut perlembagaan, kejam dan untuk manfaat tidak jujur mereka sendiri yang membelakangkan kepentingan rakyat Malaysia, ” dakwa Hatta.
Melalui tindakan undang-undang sekarang, plaintif memohon beberapa relif, antaranya pengisytiharan untuk menarik balik pembatalan projek HSR.
Hatta memohon pengisytiharan untuk memaksa defendan membayar RM1 juta sebagai ganti rugi dan pampasan kepada setiap warganegara Malaysia.
Plaintif juga memohon perintah mahkamah untuk memaksa lima defendan memberi penjelasan bertulis berhubung sebab penangguhan dan pembatalan projek.
Menurut salinan memorandum kehadiran yang difailkan di mahkamah pada 20 Jan, Jabatan Peguam Negara telah hadir bagi pihak defendan terhadap tindakan undang-undang itu.
Hatta diwakili peguam dari firma guaman Mohaji, Hazury & Ismail.
Menurut senarai kausa dalam talian, tuntutan mahkamah ditetapkan untuk pengurusan kes pada 2 Feb di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.
Pada 22 Ogos tahun lepas, perdana menteri ketika itu Ismail Sabri Yaakob menyatakan minat untuk mempercepatkan pemulihan projek HSR dengan Singapura secepat mungkin.
Ini berlaku selepas kenyataan yang dikeluarkan oleh rakan sejawatannya dari Singapura Lee pada 29 Nov 2021, yang berkata dia terbuka kepada idea cadangan projek baru.
Kedua-dua negara pertama kali menandatangani perjanjian dua hala mengenai HSR pada 13 Dis 2016, semasa pentadbiran Najib Razak.
Projek bernilai RM110 bilion yang melibatkan pembangunan sepanjang 350km itu bertujuan memendekkan masa perjalanan dari Kuala Lumpur ke Singapura kepada hanya 90 minit.
Pada 13 Dis tahun lepas, Bernama melaporkan kerajaan negeri Johor menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama dengan kerajaan persekutuan berhubung kemungkinan pemulihan projek itu. [MK]
Author Profile
Latest entries
- Seni & HiburanDecember 13, 2024Nabila Razali amalkan zikir permudah bersalin
- NationalDecember 13, 2024Kelantan alami kerugian RM30 juta akibat banjir
- SukanDecember 12, 2024Harimau Malaya menang tipis 3-2
- NationalDecember 12, 2024Universiti Malaya lancarkan Allianz Centre for Governance