Pencarian Mangsa Tragedi Tanah Runtuh Batang Kali Berakhir | Malaysia News

Pencarian mangsa tragedi tanah runtuh Batang Kali berakhir

Pasukan SAR tragedi tanah runtuh Batang Kali

Pencarian mangsa tragedi tanah runtuh Batang Kali berakhir

Setelah sembilan hari sejak kejadian tanah runtuh di Father’s Organic Farm di Jalan Batang Kali-Genting Highlands, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) akhirnya berjaya menemukan mangsa terakhir tragedi itu pada Sabtu.

Mayat kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang dibawa keluar dari kawasan kejadian pada jam 4.50 petang itu menjadikan jumlah mangsa korban adalah seramai 31 orang.

Operasi hari terakhir itu melibatkan bantuan 10 anjing pengesan dan sembilan jengkaut bagi mengenal pasti mangsa.

Mayat kanak-kanak lelaki lengkap berpakaian dalam keadaan sempurna, namun sudah mula mereput itu ditemui sekitar empat meter daripada tapak asal dia dan keluarganya berkhemah sebelum kejadian pada 16 Disember lalu.

Suasana sayu dan pilu menyelubungi lokasi kejadian sebaik sahaja mayat dibawa keluar.

Perkara itu diakui sendiri oleh anggota Bomba dan Penyelamat, AG Mohd Nasharudin Awang Nayan yang sebak apabila mengeluarkan mayat berkenaan.

Beliau berkata, pasukan SAR tidak menyangka akan menemui mayat itu di lereng bukit, memandangkan tumpuan pencarian adalah di atas dan bawah lereng sektor A (Hillview).

Ujar anggota bomba dari Balai Bomba Petaling Jaya itu, pasukan SAR kemudian terjumpa beg tidur pada kedalaman tanah 1.5 meter pada petang Sabtu.

Susulan itu, banyak pihak tampil menzahirkan penghargaan atas penat lelah pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dalam usaha menemukan kesemua mangsa yang terbabit.

Antaranya Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengucapkan tahniah dan syabas kepada anggota SAR yang terlibat dalam tragedi tanah runtuh tersebut.

Beliau menerusi hantaran di Facebooknya turut berkongsi sekeping foto pasukan penyelamat berserta beberapa ekor anjing unit pengesan (K9) yang bergambar setelah tamat operasi.

Meskipun berdepan dengan pelbagai dugaan seperti cuaca hujan lebat hingga proses menyelamat terpaksa ditangguhkan, tetap tidak mematahkan semangat anggota-anggota daripada pelbagai agensi untuk meneruskan misi pencarian.

Syabas dan tahniah buat pasukan penyelamat kerana berjaya membawa keluar mangsa.

Dalam kejadian pada awal pagi Jumaat lalu, seramai 31 mangsa disahkan terkorban dalam kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, dengan 61 individu terselamat daripada 92 mangsa terlibat. [SH]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply