Mustapa: Lima Faktor Diteliti Sebelum RMK-12 Dibentang | Malaysia News

Mustapa: Lima Faktor Diteliti Sebelum RMK-12 Dibentang

Mustapa: Lima Faktor Diteliti Sebelum RMK-12 Dibentang

Kuala Lumpur, MTN – Sekurang-kurangnya lima faktor perlu diteliti semula berhubung Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) sebelum ia dibentangkan di Dewan Rakyat, Januari tahun depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, penilaian semula andaian itu termasuk kadar pertumbuhan ekonomi dunia yang dulunya dianggar berkembang sekitar 3.5 peratus, sebelum berlakunya penularan wabak Covid-19.

“Sekarang angka itu dijangka menguncup 4.9 peratus tahun ini, malah kita perlu mengambil kira petunjuk lain seperti perdagangan dunia, kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia, harga minyak mentah dan kadar pengangguran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH) yang meminta penjelasan mengapa RMK-12 ditangguh dari Ogos ke tahun depan selain sejauh mana masalah fiskal menjadi punca kelewatan itu.

Mengulas lanjut Mustapa berkata, pandemik Covid-19 memberi kesan besar terhadap ekonomi dunia dan disebabkan itu Malaysia tidak terkecuali daripada menerima masalah sama.

“Oleh itu, kesan ekonomi Malaysia perlu diambil kira dalam menggubal dasar jangka pendek dan panjang. Persekitaran ekonomi Malaysia dan global juga berubah akibat Covid-19.

“Umpamanya, peranan ekonomi digital kini semakin penting, manakala industri pelancongan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan mengambil masa sebelum mengalami pemulihan.

“Keselamatan makanan perlu diberi lebih perhatian. Kedudukan fiskal negara pada tahun ini juga amat mencabar. Daripada kadar defisit 3.2 peratus yang dijangkakan sebelum ini, kini ia dijangka meningkat kepada 5.8 hingga enam peratus tahun ini.

“Susulan peralihan tampuk pemerintahan kerajaan, penyusunan semula Kabinet dan wawasan, dasar serta pendekatan menguruskan ekonomi juga perlu diubah bagi menangani isu semasa,” ujarnya. [mg]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply