Najib Setuju SRC Buat Pinjaman Kedua | Malaysia News

Najib Setuju SRC Buat Pinjaman Kedua

Sudah 70 hari Najib Razak menduduki kandang orang kena tuduh apabila beliau dibicarakan atas tuduhan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan dana sebanyak RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Hari ini bekas perdana menteri berkenaan akan dibicarakan untuk hari ke-71 bagi tuduhan membabitkan SRC itu.

Salah seorang peguam bela Najib, Harvinderjit Singh, akan meneruskan hujahnya bagi memohon kebenaran mahkamah memanggil pakar tulisan untuk meneliti ketulenan tandatangan didakwa diturunkan oleh tertuduh pada 13 dokumen penting dalam kes berkenaan.

Perbicaraan dijalankan di depan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Peguam kanan, Muhammad Shafee Abdullah mengetuai pasukan pembelaan Najib, manakala V Sithambaram bertindak sebagai timbalan pendakwa raya.

LANGSUNG

4.22 petang: – Prosiding hari ini ditangguhkan dan akan disambung semula pada jam 9 pagi esok.

Najib setuju SRC buat pinjaman kedua

4.10 petang: – Bekas perdana menteri Najib Razak sedar bahawa SRC tidak berbuat apa-apa dengan pinjaman pertama apabila syarikat itu memohon bahagian kedua pinjaman bernilai RM2 bilion itu pada tahun 2012, tetapi bersetuju dengan harapan SRC akan melakukan lebih baik.

Najib berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh TPP V Sithambaram, apabila diasak tentang mengapa beliau bersetuju supaya SRC memohon jaminan kedua daripada kerajaan berhubung pinjaman keduanya.

Sithambaram: Kamu setuju pada masa itu jaminan (kedua) kerajaan diberikan, kamu sendiri sedari bahawa SRC tidak berjaya kerana ia tidak melakukan apa-apa dengan pinjaman pertama.

Najib: Saya berharap ia akan menjadi lebih baik.

Sithambaram: Ia tidak berbuat apa-apa, bagaimana mungkin ia menjadi lebih baik?

Najib: Saya berharap ia akan menjadi lebih baik.

Najib nafi tergesa-gesa mahu letak SRC bawah MKD

3.41 petang: Najib menafikan beliau terburu-buru membawa SRC menjadi syarikat di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) dengan mendandatangani draf cadangan mengenainya pada 3 Feb 2012.

Sithambaram: Kamu tergesa-gesa membawa ia (SRC) di bawah MKD kerana menandatangani salinan (kertas cadangan) berkenaan?

Najib: Saya tidak tergesa-gesa.

Sithambaram: Kamu menandatangani sebuah draf.

Najib: Saya sangkakan ia dalam keadaan sepatutnya.

Sithambaram: Kamu tandatangan dengan tergesa-gesa?

Najib: Tak setuju.

Terdahulu Sithambaram merujuk kepada keterangan bekas Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Mat Noor Nawi, yang menjelaskan Najib menurunkan tandatangan persetujuannya semasa berada di Lapangan Terbangsa Subang pada 3 Feb 2012.

Kata Mat Noor, beliau terkejut dengan tindakan Najib itu selepas tertuduh membawa setiap perenggan surat berkenaan.

Pengarah SRC tidak pernah jumpa Najib berhubung pelaburan RM4b

3.25 petang: Najib tidak pernah memanggil ahli Lembaga Pengarah SRC untuk bermesyuarat bagi membincangkan pelan syarikat itu melaburkan dana RM4 bilion yang dipinjam daripada kerajaan.

Menjawab soalan Sithambaram sama ada sekarang Najib berpendapat beliau sepatutnya meminta bertemu mereka – dengan ingatan bahawa lembaga itu didakwa tidak pernah meluluskan sebarang resolusi – tertuduh mengatakan bahawa dia mempercayai badan terbabit.

Untuk rekod sebelum ini Najib mempertikaikan kesahihan beberapa set dokumen SRC termasuk resolusi pemegang saham yang memaparkan tandatangan yang kelihatan seperti miliknya.

Resolusi pemegang saham itu – yang ditegaskan pihak pendakwaan bahawa ditandatangani oleh Najib – dilaksanakan oleh Lembaga Pengarah SRC.

Bagaimanapun Najib menafikan beliau boleh mengarahkan lembaga itu kerana pemegang saham hanya boleh bertindak atas cadangan lembaga terbabit, bukan sebaliknya.

Sithambaram: Mengenai pelaburan besar dana kerajaan sebanyak RM4 bilion, adakah kamu pernah meminta untuk bertemu Lembaga Pengarah SRC?

Najib: Tidak sebagai lembaga, tidak.

Sithambaram: Pada masa dulu, ternyata SRC tidak pernah meluluskan sebarang minit lembaga, resolusi pemegang saham. Kamu tidak fikir kamu sepatutnya meminta untuk berjumpa dengan mereka?

Najib: Tak, saya percaya kepada lembaga itu.

Sithambaram: (Bagaimana kamu boleh) percaya, lembaga itu nampaknya tak pernah buat apa-apa selama tujuh tahun?

Najib: MKD (Menteri Kewangan Diperbadankan) patut memaklumkan kalau ada sebarang masalah.

3.13 petang: Najib bersetuju apabila dicadangkan bahawa memberikan kebenaran untuk jaminan kali kedua buat Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) memberi pinjaman RM2 bilion kepada SRC walaupun syarikat tersebut tidak menunjukkan perkembangan yang kukuh.

Kenyataan itu dibuat Najib semasa disoal balas Sithambaram.

Terdahulu timbalan pendakwa raya itu merujuk sepucuk surat daripada bekas ketua pegawai eksekutif SRC, Nik Faisal Ariff Kamil, kepada Najib bertarikh 9 Jan 2012 yang menyatakan hasrat syarikat terbabit mendapatkan jaminan kerajaan buat kali kedua bagi pinjaman RM2 bilion.

Sebelum itu pada penghujung 2011 kerajaan sudah memberikan jaminan bagi RM2 bilion yang pertama untuk dipinjam SRC.

Sithambaram: Dalam surat ini, kamu bersetuju untuk jaminan kedua kerajaan (bagi pinjaman RM2 bilion yang kedua kepada SRC)?

Najib: Secara prinsipnya.

Sithambaram: Perjanjian itu secara prinsipnya menyatakan SRC menunjukkan kemajuan yang baik seperti dilaporkan kepada Datuk Seri?

Najib: Ya.

Sithambaram: Sebelum kamu memberikan kelulusan untuk jaminan kali kedua kerajaan, apakah kemajuan baik SRC?

Najib: Ada beberapa indikasi mereka (SRC) melakukan pelaburan dalam bindang tenaga seperti arang baru, mereka perlukan modal tambahan untuk mendapatkan pelaburan.

Sithambaram: Kamu bersetuju bahawa niat mereka adalah untuk mencari pelaburan arang batu, tetapi anda tidak pernah diberitahu tentang kemajuan sebenar SRC secara konkrit?

Najib: Ya.

2.57 petang: Perbicaraan sesi petang bermula.

1.14 petang: Hakim Mohd Nazlan akan membuat keputusan sama ada membenarkan pakar tulisan tangan dipanggil memberi keterangan atau tidak, pagi esok.

Beliau kemudian menangguhkan perbicaraan untuk rehat dan akan bersambung jam 2.45 petang nanti.
12.30 tengah hari: Shafee memberitahu mahkamah, permohonan Najib untuk mendapatkan keterangan pakar tulisan tangan wajar dibenarkan.

Memetik beberapa peruntukan, Shafee berkata mahkamah harus memberi pertimbangan cara pembelaan tertuduh walau sekecil mana pun ia, termasuk apabila ia dibangkitkan kemudian.

“Yang Arif akan melihat dalam sistem Anglo-Amerika, ia tidak membataskan mana-mana jenis pembelaan, tidak kira betapa sedikitnya itu, sekalipun ia timbul selepas ia difikirkan kemudian, kerana itu akan menjadi prejudis,” tambah Shafee.

Antara kes yang dirujuk Shafee sebagai contoh ialah keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung Alcontara Ambross Anthony lawan pendakwa raya pada 1996, yang berdepan tuduhan mengedah dadah dan membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah lebih rendah.

Kata Shafee, hakim yang bersidang ketika itu – Edgar Joseph Jr, Mohamed Dzaiddin Abdullah dan Gopal Sri Ram – membenarkan rayuan Alcontara selepas mendapati hakim yang mendengar perbicaraan itu melakukan kesilapan menangani fakta dalam pembelaan tertuduh.

Untuk rekod Alcontara dihukum mati selepas hakim mendapati pembelaannya yang mendakwa dia cuma tahu barangan yang dihantar adalah keropok udang ditokok tambah.

12.16 tengah hari: Menurut peguam bela Najib, dokumen yang memaparkan tandatangan didakwa milik bekas perdana menteri itu diterima dengan kaveat terhadap ketulenannya dan ia boleh dicabar kemudian.

Ketua pembelaan, Muhammad Shafee Abdullah berkata, justeru mahkamah wajar menerima permohonan mereka untuk memanggil pakar tulisan tangan seperti yang dikehendaki.

“Kami jelaskan (semasa peringkat awal perbicaraan tahun lalu) bahawa dokumen-dokumen tersebut diletakkan di bawah kaveat, boleh ditandakan (sebagai barang bukti) tetapi boleh dicabar.

“Sebaik saja ditandakan sebagai P (bahan bukti yang diterima di mahkamah), ia tidak berakhir di situ seperti keputusan lain.

“Yang arif boleh melihat semula ketetapan tersebut,” katanya.

11.59 pagi: Perbicaraan bersambung semula.

Di tempat duduk awam, kelihatan Ketua Pemuda Umno, Dr Asyraf Wajdi Dusuki, hadir.

11.25 pagi: Mahkamah berhenti rehat seketika. Perbicaraan dijangka akan disambung kira-kira 15 minit lagi.

11.06 pagi: Pihak pembelaan Najib mendakwa, pihak pendakwaan sengaja tidak memanggil pakar tulisan tangan untuk mengesahkan ketulenan tandatangan didakwa milik Najib kerana ia tidak akan memihak kepada mereka, kata Harvinderjit Singh.

Peguam bela Najib itu menambah pihak pendakwaan pula sebaliknya bergantung kepada Seksyen 71 Akta Keterangan untuk membolehkan 13 dokumen yang dipertikaikan diterima sebagai bukti semasa peringkat awal pendakwaan tahun lalu.

Seksyen 71 itu menyatakan, jika seseorang saksi itu menafikan atau tidak ingat sesuatu penyempurnaan dokumen, penyempurnaannya boleh dibuktikan melalui keterangan lain.

“Mereka (pihak pendakwaan) tidak pernah melakukan siasatan, jadi mengapa mereka menggunakan Seksyen 71? Mereka bukannya terkejut tetapi tersekat.

“Sekiranya pakar datang (semasa peringkat pendakwaan di mahkamah pada tahun lalu untuk memastikan kesahihan tandatangan Najib), maka ia (kes) tidak akan memihak kepada mereka,” kata Harvinderjit.

10.50 pagi: Peguam bela Najib berhujah, mahkamah wajar membenarkan pakar tulisan tangan dari Australia menelitik tandatangan didakwa milik Najib kerana keabsahan sebenar bukti tersebut hanya ditentukan pada akhir perbicaraan.

Harvinderjit menambah memang biasanya isu berkenaan tidak dibangkitkan semasa peringkat awal pendakwaan.

“Tidak ada yang melarang kami daripada meletakkan bukti (laporan pakar Australia selepas menganalisis dokumen yang dipertikaikan), kewajaran (laporan tersebut) akan ditentukan kemudian (di hujung perbicaraan),” katanya.

10.35 pagi: Sithambaram menamatkan penghujahannya.

Kini peguam bela, Harvinderjit Singh, mengambil giliran untuk menjawab.

10.30 pagi: Tiada keperluan untuk mahkamah memanggil pakar tulisan tangan untuk menentukan ketulenan tandatangan pada tujuh dokumen yang dipertikaikan, kata Sithambaram.

Timbalan pendakwa raya itu menambah, Najib sendiri boleh menentukan sama ada tandatangan tersebut asli atau dipalsukan.

“Di sini kita bercakap tentang tandatangan. Tandatangan, dia (Najib) berada pada kedudukan untuk menentukan ia adalah miliknya atau tidak.

“Tiada keperluan memanggil pakar, yang arif.

“Beliau juga sebelum ini mengakui ia adalah tandatangannya sendiri, sekarang beliau menukar pendirian,” katanya.

10.05 pagi: Mahkamah diberitahu, tiada apa-apa yang disembunyikan oleh pihak pendakwaan daripada pihak pembelaan Najib.

Kata Sithambaram selama ini pihak pendakwaan memberikan peluang kepada peguam bela Najib untuk mempertikaikan dokumen yang dikemukakan sebagai barang bukti.

“Ini bukan keadaan yang kami tidak memberi mereka peluang. Kami tak mendesak mereka.

“Selama 57 hari, tak ada sepatah perkataan pun tentang isu (tandatangan) palsu. Kami bersikap terbuka di sini. Keadilan bukan main-main,” katanya.

10.01 pagi: Kata timbalan pendakwa raya, permohonan dibuat peguam bela Najib untuk memanggil pakar tulisan tangan dari Australia itu mungkin boleh menghalang perbicaraan yang adil.

Menurut Sithambaram, aspek itu menjadi sebab mengapa hakim perlu menolak permohonan Najib mendapatkan keterangan pakar terbabit bagi menentukan ketulenan tandatangan pada 13 dokumen berkenaan.

Katanya, mahkamah wajar menolak permohonan itu dengan mengambil kira tindakan tertuduh mungkin menghalang perkembangan perbicaraan yang adil sekarang.

9.35 pagi: Sithambaram memberitahu mahkamah, permohonan pembelaan Najib untuk memanggil pakar juga tidak wajar diterima kerana mereka tidak membangkitkan isu ketulenan tersebut semasa salah seorang saksi utama memberi keterangan sebelum ini.

Kata Sithambaram, bekas pengerusi Lembaga Pengarah SRC, Ismee Ismail, ada memberi keterangan bahawa beliau mengenali tandatangan tersebut sebagai milik Najib kerana beliau sebelum itu diberi arahan melalui tandatangan sebegitu ketika menjadi pengerusi Lembaga Tabung Haji.

Menurutnya, Ismee berkata demikian semasa disoal balas salah seorang peguam bela Najib, iaitu Harvinderjit Singh.

“Yang arif, tiada cabaran mengapa beliau (Ismee) mengenal pasti ini adalah tandatangan Najib.

“(Sepatutnya) Ini adalah masa yang tepat untuk menimbulkan isu itu,” kata Sithambaram.

9.23 pagi: Perbicaraan bermula dengan Sithambaram mengemukakan hujah balas.

Kata timbalan pendakwa raya itu, semasa perbicaraan di peringkat pendakwaan, pihak pendakwaan mengakui kesahihan tandatangan pada dokumen yang dikemukakan.

Katanya, isu ketulenan tandatangan tersebut hanya dibangkitkan apabila isu tersebut apabila dokumen bukti berkenaan dibuat salinan fotokopi.

“Mereka (pembelaan) sekarang mendakwa ini semua adalah dokumen palsu, tetapi kekal dengan penghakiman yang arif (Mohd Nazlan yang mengarahkan Najib membela diri berdasarkan dokumen sama di peringkat pendakwaan sebelum ini),” katanya.

Sithambaram berhujah demikian sebagai alasan untuk mahkamah tidak membenarkan permohonan pihak pembelaan Najib untuk memanggil pakar tulisan tangan dari Australia untuk mengesahkan kesahihan tandatangan pada 13 dokumen yang dikemukakan di mahkamah sebagai bukti.

9.16 pagi: Perbicaraan akan bermula sebentar lagi apabila Najib memasuki kandang tertuduh.

9.05 pagi: Najib memasuki mahkamah dan mengambil tempat.

Turut kelihatan, Timbalan Pendakwa Raya, V Sithambaram, serta anggota lain pasukan pendakwaan, manakala di pihak pembelaan, ia diketuai Muhammad Shafee Abdullah.
MalaysiaKini

Facebook Comments