Nasihat Annuar Buat PN: ‘Usah Sulitkan Parti Bertanding’
Nasihat Annuar Buat PN: ‘Usah Sulitkan Parti Bertanding’
Kuala Lumpur, MTN – Setiausaha Agung BN, Annuar Musa, menasihatkan Perikatan Nasional (PN) agar melakukan perbincangan teliti mengenai persiapan menjelang pilihan raya negeri Sabah dan tidak menjejaskan peluang mengalahkan Warisan.
Bercakap kepada media di Kelantan, Annuar berkata, kenyataan demi kenyataan dikeluarkan pihak tertentu mengenai jumlah kerusi yang ditandingi ketika ini masih terlalu awal dan menimbulkan kesulitan kepada parti yang bertanding.
“PN belum mengadakan sebarang perbincangan berhubung jumlah kerusi yang mahu ditandingi dan pihaknya akan berusaha sebaik mungkin bagi memastikan berlaku pertandingan satu lawan satu saja dalam PRN itu,” katanya seperti dipetik BH Online hari ini.
Bagaimanapun tidak dapat dipastikan apa yang dimaksudkan oleh Annuar memandangkan pada 30 Julai lalu, Umno mengumumkan pendirian mereka untuk tidak menjadi sebahagian daripada PN.
Untuk rekod PN ialah gabungan tidak berdaftar dan lahir selepas jatuhnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) melalui Langkah Sheraton pada akhir Feb lalu.
Ia asalnya membabitkan sebahagian besar pemimpin Bersatu dan sekumpulan wakil rakyat PKR yang berpaling tadah.
Mereka kemudian bekerjasama dengan Umno dan PAS – melalui Muafakat Nasional – serta BN. Gabungan Parti Sarawak pula menegaskan mereka bukan sebahagian daripada PN.
Isu pembahagian kerusi untuk Bersatu dan Umno menjadi panas akhir-akhir ini dan semakin meningkat selepas Dewan Undangan Negeri Sabah dibubarkan pada 30 Julai.
Perlu bincang baik-baik
Annuar sendiri pada malam tadi secara bersahaja berkata, Bersatu boleh bertanding sebanyak mana pun kerusi di Sabah kerana itu adalah hak mereka.
“Namun kalau mau straight fight (satu lawan satu) melawan Warisan, tentu kena berunding dan pastikan parti yang lebih kuat kita beri laluan untuk bertanding,” katanya di Twitter.
Pengerusi Bersatu Sabah, Hajiji Noor, berkata mereka bercadang meletakkan calon di 45 daripada 73 kerusi DUN dalam PRN akan datang manakala Pengerusi Umno Sabah, Bung Moktar Radin, pula berkata parti itu akan bertanding di 32 kerusi selain di kerusi yang baru diwujudkan.
Awal petang ini pula Annuar terus menciap mengenai politik dan hal-hal berkaitan permuafakatan.
Kata Menteri Wilayah Persekutuan itu dalam mana-mana persefahaman setiap pihak mempunyai peranan yang penting. Pun begitu, menurut Annuar, dalam sifir politik jawapan bagi satu tambah satu tidak semestinya dua.
“Justeru hargailah permuafakatan, tidak perlu sombong,” katanya.
Ia menjadi menarik kerana dia menciap untuk mengulas laporan berita yang memetik bekas timbalan presiden PKR, Azmin Ali, yang yakin kumpulannya – kini bersama Bersatu – mampu mengukuhkan PN.
“Dalam PRU, bilangan cawangan dan ahli tidak semestinya merupakan fakta mutlak untuk menang.
“Umno tumbang berkali-kali kepada parti baru dan parti kecil dalam PRU. Belajarlah dari sejarah. Yang penting apa yang dilihat jelas dan jujur membela rakyat,” ciapnya lagi.
Pengerusi Bersatu Sabah, Hajiji Noor
Sementara itu mengulas isu PN, Annuar berkata ada tiga aspek unik yang perlu diteliti dan diberi pertimbangan oleh parti itu kerana ia membabitkan legasi Umno dan Bersatu Sabah.
Satu daripadanya yang disebut Annuar ialah hakikat bahawa Bersatu Sabah ditubuhkan oleh individu yang keluar dari Umno.
Aspek lain pula ialah kuasa autonomi Umno Sabah yang membolehkan mereka membuat sebarang keputusan dasar.
Aspek ketiga yang disebut Annuar ialah struktur BN Sabah yang berbeza disebabkan banyak parti politik yang dulu bersama BN kini meninggalkan gabungan berkenaan.
“Ketiga-tiga perkara unik ini memerlukan pucuk pimpinan berunding dan berbincang dengan baik,” katanya.[mk]
Author Profile
Latest entries
- NationalAugust 25, 2021Fokus PRU15, Bukan Kerusi Pengerusi PH Atau Ketua Pembangkang
- NationalAugust 25, 2021Hadi Awang: Taliban dah Berubah, Jangan Percaya pada Media Jahat
- NationalAugust 25, 2021Menjelang Pengumuman Kabinet, Ulama Pas: Jangan Sesiapa Jadi ‘Abang Long’
- PolitikAugust 25, 2021Puad: Lantik Azmin Ali Sebagai TPM Umpama Bunuh Diri