Nora Ariffin akui sudah disunting, tapi bukan oleh menteri

Nora Ariffin akui sudah disunting, tapi bukan oleh menteri
MTN – Penyanyi Dendam Dalam Diam, Nora Ariffin, membayangkan dia bakal bergelar isteri tidak lama lagi dan akan berkongsi detik bahagianya itu dengan orang ramai tidak lama lagi.
Nora, 47, membuat pengakuan dilamar seseorang itu ketika namanya menjadi sebutan sesetengah pihak kerana didakwa diperisterikan Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa.
Balu kepada komposer Allahyarham Johan Nawawi itu menegaskan, lelaki yang ingin menikahinya itu dia bukanlah individu dalam kalangan orang terkenal.
“Saya fikir sudah sampai masanya untuk saya mengumumkan bahawa saya ada menerima lamaran daripada seseorang.
“Insya-Allah jika segala perancangan berjalan lancar, saya akan berkongsi mengenai hari bahagia saya dengan anda semua tidak lama lagi,” katanya dipetik Astro Awani.
Terdahulu, kecoh spekulasi penyanyi yang turut popular dengan lagu Di Persimpangan Dilema itu bernikah dengan Annuar dan ia menjadi semakin panas apabila majlis berkenaan kononnya diadakan di selatan Thailand.
Turut menjadi tular di media sosial ialah imej memaparkan sekeping salinan sijil pernikahan yang didakwa milik penyanyi itu dan ahli parlimen Ketereh berkenaan.
Sementara itu Annuar pula menyifatkan khabar angin kononnya dia telah berkahwin dengan seorang penyanyi tanah air sebagai fitnah untuk menjatuhkan karier politiknya.
Nora atau nama penuhnya Wan Norafizah Ariffin berkata, dia sendiri tidak faham bagaimana masih timbul desas-desus sebegitu meskipun sudah beberapa kali dia menafikan perkara tersebut.
“Demi Allah, saya dan Tan Sri (Annuar) tidak bernikah… saya sendiri tidak faham bagaimana ada pihak yang boleh buat tuduhan sedemikian.
“Sudah banyak kali saya nafi, Tan Sri juga sudah menafikannya, namun, masih ada yang nampaknya tidak percaya.
“Disebabkan itu, saya fikir sudah sampai masanya saya umumkan bahawa saya ada menerima lamaran pernikahan dan sedang merancang ke arah majlis itu,” katanya.
Mengulas soal anak-anak, kesediaannya untuk bernikah sekali lagi dibuat selepas dia direstui mereka.
“Anak-anak ada berkata, mereka akan memberi sokongan terhadap apa sahaja keputusan yang baik buat saya. Mereka hanya mahu melihat ibu mereka gembira,” katanya. [MK]
Author Profile

Latest entries
KesMarch 6, 20251MDB – Mahkamah sekat akses akaun bank luar negara
SukanMarch 5, 2025Reijnders Pemain TimNas Indonesia kekal di AC Milan hingga 2030
IT & Social MediaMarch 4, 2025Aplikasi CIMB Clicks akan ditamatkan sepenuhnya pada 12 April 2025
TokohFebruary 26, 2025Mahathir dan Jokowi bertemu di Solo, bincang hal Malaysia-Indonesia