Pakatan Harapan: Kecualikan Duti Import, Cukai Jualan Bekalan Perubatan Kritikal | Malaysia News
April 8, 2020

Pakatan Harapan: Kecualikan Duti Import, Cukai Jualan Bekalan Perubatan Kritikal

Kuala Lumpur, MTN – Pakatan Harapan (PH) menyeru kerajaan memberi pengecualian duti import dan cukai jualan kepada bekalan perubatan kritikal lain yang digunakan penjawat dan pekerja kesihatan seperti alat perlindungan diri.

Majlis Setiausaha PH dalam kenyataan hari ini mengemukakan seruan itu kepada kerajaan baharu Perikatan Nasional di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mereka mengalu-alukan keputusan Jabatan Kastam DiRaja Malaysia dan Menteri Kewangan untuk mengecualikan pembayaran duti import dan cukai jualan untuk produk topeng muka bermula pada 23 Mac ini.

“Kami menyeru supaya bukan sahaja produk topeng muka yang diberikan pengecualian duti import dan cukai jualan tetapi bekalan perubatan kritikal yang lain yang digunakan oleh pejawat dan pekerja kesihatan seperti alat pelindung diri termasuk sarung tangan dan alat bantuan pernafasan juga diberikan pengecualian yang sama,” kata majlis itu.

Kenyataan media bersama itu ditandatangani bersama oleh Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Ketua Komunikasi Amanah, Khalid Samad dan wakil DAP, Ong Kian Ming.

Kata majlis setiausaha PH, ia akan sedikit sebanyak menggalakkan pembekalan alat bekalan perubatan kritikal melalui pembuatan tempatan dan juga melalui bekalan import.

“Kami juga menyeru supaya pihak Kastams mempercepatkan proses pengimportan alat perubatan kritikal supaya mana-mana sekatan ataupun bottleneck tidak akan berlaku.

“PH mengulangi gesaan kami agar kerajaan menerbitkan dari semasa ke semasa jumlah bekalan yang ada dalam negara bagi beberapa peralatan kritikal termasuk topeng muka, sanitizer, kit ujian Covid-19, PPE, dan ventilator,” tegas mereka.[mg]

Share on:
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •