Penarafan Dan Pasaran Modal Malaysia Yang Kukuh Beri Kelebihan | Malaysia News
February 15, 2025

Penarafan dan Pasaran Modal Malaysia yang Kukuh Beri Kelebihan

Penarafan dan Pasaran Modal Malaysia yang Kukuh Beri Kelebihan

Penarafan dan Pasaran Modal Malaysia yang Kukuh Beri Kelebihan

Kuala Lumpur, MTN – Penarafan serta pasaran modal Malaysia yang baik memberikan satu kelebihan jika kerajaan perlu mengumpulkan dana bagi merangsang ekonomi domestik yang telah terjejas akibat tindakan-tindakan yang diambil semasa pandemik COVID-19.

“Pinjaman domestik dan penerbitan bon merupakan pilihan yang ada bagi mengutip pembiayaan untuk mengadakan sebarang pakej rangsangan tambahan atau dana, jika perlu,” kata Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Izuan Ahmad.

Hakikatnya, cadangan ini disokong oleh penarafan Malaysia yang masih utuh, dimantapkan oleh agensi penarafan antarabangsa walaupun Fitch Ratings memberi kadar “negatif”, katanya.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali baru-baru ini yang menyatakan bahawa kerajaan mempunyai keupayaan untuk membiayai pakej rangsangan, tetapi jika pakej tambahan diperlukan Kementerian Kewangan akan mempertimbangkan penerbitan bon.

Bulan lepas, S&P Global Ratings telah mengesahkan semula penarafan kredit kedaulatan mata wang asing jangk panjang  ‘A-‘ dan jangka pendek ‘A-2 ‘ Malaysia, dan berkata prospek penilaian jangka panjang kekal stabil.

Kerajaan telah mengumumkan dua pakej rangsangan serta pembiayaan tambahan sebanyak RM260 bilion, sejumlah RM10 bilion diberikan khusus untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), ini meningkatkan defisit bajet kepada 4.7 peratus bagi tahun ini daripada unjuran awal sebanyak 3.2 peratus.

Suntikan fiskal langsung kerajaan adalah RM35 bilion.

Kerajaan mempunyai fleksibiliti untuk menerbitkan bon denominasi ringgit memandangkan kekukuhan pasaran modal Malaysia, kata Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid.

Ia juga disokong oleh pelabur institusi tempatan gergasi seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), syarikat insurans, institusi perbankan dan pelabur asing.

Hutang denominasi ringgit menyumbang 96 peratus daripada jumlah hutang kerajaan.

“Jadi, sebahagian besar pinjaman kerajaan adalah dalam ringgit dan oleh itu, tidak ada isu ke atas keupayaannya untuk membayar balik hutang kerana kebanyakan adalah dalam mata wang tempatan,” beliau menjelaskan.

Izuan menambah, dalam melebarkan defisit fiskal, kerajaan mempunyai beberapa pilihan untuk membiayai suntikan fiskal langsung sebanyak RM35 bilion di bawah pakej rangsangan, termasuk membuat pelarasan semula ke atas perbelanjaan operasi terpilih, meningkatkan hasil tambahan bukan cukai dan mengecualikan sementara had statutori ke atas pengurusan hutang awam.

Azmin, dalam laporan berita yang sama berkata,  adalah “sangat sukar” untuk kerajaan terlalu cerewet mengenai defisit fiskal yang besar semasa rakyatnya sedang menderita.

Afzanizam berkata defisit bajet yang lebih tinggi masih boleh diterima khususnya dalam keadaan krisis seperti sekarang.

Pendapat beliau turut dikongsi oleh Pensyarah Ekonomi Sunway University Business School, Profesor Dr Ya Kim Leng yang memberitahu pembiayaan defisit yang lebih tinggi melalui pinjaman kerajaan memang dijangka tahun ini, pelarasan semula dalam beberapa perbelanjaan utama dan pengewangan aset akan membantu mengurangkan beban hutang.

“Terdapat kapasiti yang mencukupi dan selera pelabur dalam pasaran modal hutang bagi menyerap lebih banyak bon kerajaan. Kerajaan juga boleh mempertimbangkan untuk meminjam secara terus daripada institusi kewangan termasuk bank pusat sekiranya perlu.”

“Hanya wujud risiko minimum membabitkan penurunan taraf kedaulatan selagi kerajaan melakukan penggabungan fiskal dan perbelanjaan berhemat apabila ekonomi kembali pulih dalam setahun atau dua tahun ini,” katanya.

Mengulas mengenai kemungkinan pembayaran dividen khas oleh Petronas kepada kerajaan, Afzanizam berkata di bawah keadaan sekarang, syarikat besar seperti Petronas sudah pasti mahu mengkaji semula perbelanjaan modal mereka memandangkan persekitaran operasi adalah sangat mencabar.

Agensi Tenaga Antarabangsa dalam unjuran terbaru berkata permintaan minyak global akan jatuh sebanyak 29 juta tong sehari (mbpd) pada April ini dan menjelang suku kedua, ia akan merosot sebanyak 23.1 mbpd.

Untuk sepanjang tahun, permintaan minyak global akan jatuh sebanyak 9.3 mbpd, penurunan pertama sejak 2009.

Oleh itu, Petronas perlu merancang perbelanjaan modal dan pengurusan tunai mereka dengan teliti. Dalam erti kata lain, mungkin terdapat risiko pengurangan bayaran dividen daripada Petronas.

Tahun lepas, Petronas telah membayar dividen sebanyak RM54 bilion kepada kerajaan, merangkumi RM24 bilion dalam dividen biasa dan RM30 bilion dalam dividen khas, digunakan untuk membantu membayar pemulangan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) serta bayaran balik cukai pendapatan sebanyak RM37 bilion. [Bernama]

Facebook Comments

Author Profile

Anand Pavit

About The Author

Leave a Reply