Pengumuman Kabinet, Bursa Malaysia Kekal Tinggi Dipacu Harga Minyak | Malaysia News

Pengumuman Kabinet, Bursa Malaysia Kekal Tinggi Dipacu Harga Minyak

Kuala Lumpur, MTN – Bursa Malaysia kekal tinggi pada tengah hari ini, seiring dengan prestasi beberapa pasaran serantau susulan pemulihan harga minyak mentah global yang naik 7.36 peratus kepada AS$36.89 setong.

Sentimen tempatan turut didorong oleh perkembangan semasa membabitkan pelantikan barisan kabinet baru di bawah pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang merangsang keyakinan para pelabur.

Pada 12.30 tengah hari, indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 15.07 mata atau 1.05 peratus kepada 1,439.23 daripada paras 1,424.16 sewaktu ditutup pada Isnin.

Selepas dibuka susut 8.3 mata kepada 1,415.86 pada pagi ini, indeks tempatan itu bergerak dalam jajaran 1,414.95 hingga 1,439.91 sepanjang sesi dagangan pagi ini.

Bagaimana pun, di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 606 berbanding 274 manakala 314 kaunter lain tidak berubah, 812 tidak didagangkan dan 17 lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 2.43 bilion saham bernilai RM1.56 bilion.

Seorang peniaga berkata peningkatan Bursa Malaysia pada hari ini juga boleh disifatkan sebagai pengiktirafan terhadap pengumuman barisan anggota kabinet baru itu.

Semalam, Muhyiddin mengumumkan 32 anggota kabinet itu yang buat pertama kalinya tidak melibatkan jawatan timbalan perdana menteri.

Walaupun tidak menamakan sesiapa bagi menyandang tugas sebagai timbalannya, Muhyiddin bertindak menyenaraikan empat menteri kanan bagi membantu beliau dalam bidang perdagangan dan industri, pertahanan, pendidikan dan infrastruktur.

Ini termasuk pelantikan Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang dalam reaksinya menegaskan bahawa kerajaan Perikatan Nasional itu komited untuk meneruskan pelaksanaan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Indeks serantau juga naik

Sementara itu di peringkat serantau, Indeks Nikkei 225 Jepun naik 0.25 peratus kepada 19,748.72, Indeks Straits Times Singapura menokok 1.28 peratus kepada 2,818.10 manakala Indeks Hang Seng Hong Kong menambah 1.81 peratus lebih tinggi kepada 25,494.68.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank naik sembilan sen kepada RM8.33, Tenaga untung 10 sen kepada RM12.60, Public Bank menokok 38 sen kepada RM17.40 manakala IHH rugi lapan sen kepada RM5.61.

Bagi saham aktif, Sapura Energy susut setengah sen kepada 11 sen, Bumi Armada untung 1.5 sen kepada 17.5 sen namun Dayang Enterprise turun 27 sen kepada RM1.25 manakala Datasonic turun 11 sen kepada 83 sen.

Indeks FBM Emas melonjak 58.30 mata kepada 10,005.36, Indeks FBM Emas Shariah naik 29.06 mata kepada 10,576.47 tetapi FBM 70 sebaliknya turun 77.61 mata kepada 11,846.51.

Selain itu, Indeks FBMT 100 meningkat 65.93 mata kepada 9,878.34 manakala FBM Ace naik 37.91 mata kepada 4,676.73.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri naik 0.09 mata kepada 120.80, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 135.05 mata kepada 13,952.15 dan Indeks Perladangan meningkat 116.36 mata kepada 6,410.48. [Bernama]

Facebook Comments