Penyebaran Virus Covid-19 Melalui Bawaan Udara Masih Dalam Kajian | Malaysia Top News
May 27, 2020

Penyebaran Virus Covid-19 Melalui Bawaan Udara Masih dalam Kajian

Kuala Lumpur, MTN – Dalam sebarang kejadian jangkitan wabak virus, adalah penting untuk mengenal pasti laluan pendedahan atau pergerakan virus berkenaan kepada manusia.

Dalam kes wabak COVID-19 yang sedang melanda negara dan meragut puluhan ribuan nyawa manusia di seluruh dunia, Coronavirus diketahui disebarkan melalui penyedutan (inhalation) dan penyerapan (absorption). Virus ini boleh dijangkiti dari manusia ke manusia dalam jarak 1.8 meter melalui titisan cecair badan yang terhasil daripada batuk atau bersin.

Pensyarah Kanan Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Mohd Shahrul Mohd Nadzir yang juga pakar dalam kajian kualiti udara berkata kajian sebelum ini membuktikan bahawa transmisi melalui udara memainkan peranan penting dalam epidemiologi dua coronavirus iaitu wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) 2003 di China dan Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS) di Semenanjung Arab pada 2012.

(Transmisi melalui udara berlaku apabila virus dibawa oleh zarahan terampai di udara, iaitu berbeza dengan transmisi melalui titisan dengan manusia boleh dijangkiti sekiranya terkena titisan yang dihasilkan daripada batuk dan bersin.)

Sebagai contoh, semasa wabak selesema burung di Iowa, Amerika Syarikat pada 2014-2015 yang disebabkan oleh virus HPA1 H5 (iaitu sejenis influenza), zarahan didapati membawa virus berkenaan, katanya.

Menurut beliau, penyelidik mendapati zarahan (zarahan pepejal dan cecair yang terampai di udara) membawa virus tersebut dari reban ayam sekali gus menjangkiti serta membunuh ribuan ayam lain sehingga mengakibatkan industri ternakan ayam di negeri itu terjejas teruk.

Mohd Shahrul berkata kajian (oleh saintis antarabangsa) mengenai sama ada penglibatan zarahan terampai di udara berkemungkinan boleh membawa virus COVID-19, masih pada tahap awal.

“Zarahan terampai di udara berkemungkinan boleh membawa virus ini sekiranya platform zarahan ini boleh menjadi perumah.

“Kajian ke atas pengaruh zarahan ini sangat penting untuk dijalankan kerana sekiranya di dalam ruang tertutup seperti rumah, hospital dan bangunan lain, ia boleh membawa virus tersebut lebih dua meter ke udara,” katanya kepada Bernama.

Beliau juga memetik kajian yang dilakukan pada Mac 2020, oleh para saintis dari Institut Penyakit Berjangkit dan Alergi Kebangsaan di Amerika Syarikat yang mendapati bahawa SARS-CoV-2 – virus yang menyebabkan COVID-19 – dapat kekal aktif dan boleh dikesan selama tiga jam dalam aerosol (ampaian cecair atau butiran pepejal yang terdapat di udara), empat jam pada permukaan tembaga, berlanjutan sehingga 24 jam pada kadbod dan kekal sehingga dua atau tiga hari pada permukaan plastik dan keluli tahan karat.

“Ini bermakna virus COVID-19, boleh “dipindahkan” daripada sebarang permukaan kepada perumah yang lain,” katanya.

KAJIAN AWAL UKM

Sementara itu, sekumpulan penyelidik dari UKM memulakan kajian awal untuk menilai risiko virus COVID-19 melalui zarahan terampai dalam persekitaran bangunan.

Pasukan penyelidik yang diketuai oleh Mohd Shahrul ini terdiri daripada pakar udara, pakar virus dan pakar perubatan. Pasukan ini turut mendapat kerjasama daripada Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Institut Genom Malaysia dan Universiti Malaya.

Menurut Mohd Shahrul, kajian dijalankan selama tujuh hari dengan mengambil sampel udara di bilik gerakan COVID-19 di HCTM, di Cheras.

Beliau berkata, hasil kajian awal ini dijangka dapat membantu untuk mengenal pasti sama ada zarahan terampai yang kecil seperti zarahan yang berdiameter 2.5 mikrometer atau PM2.5 menjadi antara agen pembawa virus COVID-19.

“Ini kerana saiz kecil ini berupaya untuk memasuki saluran pernafasan dan seterusnya ke paru-paru,” katanya sambil menambah, hasil kajian ini diharap dapat membantu terutamanya pihak hospital dalam mengambil langkah proaktif untuk mencegah transmisi virus COVID-19.

PENGUDARAAN BAIK

Mohd Shahrul berkata sekiranya terbukti bahawa zarahan terampai boleh menjadi agen pembawa virus COVID-19, langkah segera harus diambil untuk mengoptimumkan teknologi penapisan atau pengunaan alat pelembap dalam ruangan yang tertutup.

“Apabila seseorang yang positif dijangkiti virus berada di dalam bangunan, habuk daripada tapak kaki atau pergerakan individu itu akan terapung di udara dan boleh menjadi agen pembawa sebagai zarahan terampai yang akan beredaran di dalam bilik dan bergerak ke bahagian lain bangunan.

“Maka, ini sebabnya mengapa pengudaraan yang baik dalam sesebuah bangunan adalah penting supaya udara (di dalam bangunan) tidak menjadi agen sebagai pembawa virus,” katanya. [bernama]

Share on:
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •