PH Gesa Muhyiddin Letak Jawatan PM | Malaysia News
Pakatan Harapan - PH

PH gesa Muhyiddin letak jawatan PM

MTN – Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) mendesak Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk “mengambil tanggungjawab sepenuhnya” berhubung kes tertinggi Covid-19 semalam dan “kegagalan” lain dengan meletakkan jawatan.

“Rakyat dan negara tidak harus mengalami musibah sedemikian rupa semata-mata kerana kepimpinan kerajaan dan perdana menteri yang gagal, apatah lagi selepas kehilangan sokongan majoriti ahli parlimen dan seterusnya kehilangan keabsahan bagi memegang jawatan tertinggi tersebut.

“Nyawa dan kehidupan ekonomi rakyat mesti diselamatkan,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Kenyataan itu ditandatangani bersama oleh Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Malaysia mencatatkan 9,180 kes Covid-19 baru semalam, yang merupakan rekod baru bagi negara ini.

Jumlah pesakit yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) juga telah mencapai rekod baru.

Menurut Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, lonjakan jumlah kes baru ini disebabkan peningkatan aktiviti pengujian dan pengesanan kontak di kawasan yang berada di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di Kuala Lumpur dan Selangor, serta di kilang-kilang .

Ramai individu di Lembah Klang juga tampil untuk menjalani ujian di klinik swasta setelah mengalami gejala Covid-19 atau menjadi kontak rapat pesakit Covid-19.

Sementara itu, Majlis Presiden PH menyatakan bahawa keadaan Covid-19 Malaysia semakin buruk walaupun darurat berkuat kuasa pada 11 Januari, PKP 3.0 pada 1 Jun, dan PKPD di banyak tempat.

“Malah tatacara operasi standard (SOP) yang mengelirukan, penguatkuasaan yang lemah dan terpilih, serta kebenaran kepada kilang-kilang untuk terus beroperasi walaupun ia antara penyumbang terbesar kluster Covid-19 telah menyebabkan rantaian jangkitan gagal diputuskan.

“Rakyat terus merana. Begitu ramai yang telah mengangkat bendera putih kerana hilang pekerjaan atau pendapatan.

“Bantuan kerajaan demi kelangsungan hidup rakyat tidak mencukupi. Terlalu ramai yang telah putus asa, malah begitu ramai yang telah membunuh diri,” kata mereka.

Kenyataan itu turut menyorot amaran yang dimuatkan dalam rencana Bloomberg semalam yang mengatakan bahawa Malaysia bakal menjadi “negara gagal” sekiranya tiada perubahan.

“ni tidak boleh dibenarkan berlaku,” kata mereka. [MK]

 

Facebook Comments
Share on:
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •