PH Kecam Tindakan Pihak Berkuasa Menyiasat Tiga Aktivis | Malaysia News

PH Kecam Tindakan Pihak Berkuasa Menyiasat Tiga Aktivis

Kuala Lumpur, MTN – Pakatan Harapan (PH) mengecam tindakan pihak berkuasa menyiasat tiga aktivis berhubung perhimpunan di Dataran Merdeka beberapa hari yang lalu.

PH dalam kenyataannya mengatakan siasatan terhadap Marina Mahathir, Ambiga Sreenevasan dan Fadiah Nadwa Fikri adalah bertentangan dengan nilai-nilai yang dibawa oleh PH sebelum ini.

“Baru lebih kurang dua tiga hari sejak kerajaan kleptokrat dipulihkan melalui percaturan politik pintu belakang, pihak berkuasa kelihatan tangkas bertindak bertentangan dengan nilai-nilai yang selama 20 bulan lalu telah cuba dipupuk oleh kerajaan PH.

“Pihak berkuasa diminta bertindak dalam dengan cara yang tidak menjejas hak demokratik rakyat Malaysia, dan mengelak dari terjadinya persepsi kacau ganggu terhadap ketiga-tiga individu tersebut,” katanya kenyataan itu.

PH juga menegaskan bahawa rakyat Malaysia berhak untuk berhimpun dan menyatakan bantahan mereka, selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang sedia ada.

Sebelum ini, Fadiah menyatakan di laman sosialnya, dia disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador mengatakan siasatan bagi Marina dan Ambiga sedang dijalankan tetapi tidak menyatakan secara khusus kesalahannya.

Semalam, protes ‘Selamatkan Malaysia’ yang melibatkan Marina dan Ambiga dibuat bagi membantah pembentukan Perikatan Nasional melalui kudeta politik yang menjatuhkan Pakatan Harapan.

Penunjuk perasaan tersebut menuntut pembubaran parlimen, melarang lompat parti dan pertuduhan terhadap dakwaan salah laku rasuah pemimpin terdahulu diteruskan.

Siasatan tersebut turut mendapat bantahan daripada NGO hak asasi manusia dan kumpulan peguam atas alasan mengekang kebebasan bersuara.[mk]

Facebook Comments