PH Komited Anwar Ibrahim Calon PM | Malaysia News

PH komited Anwar Ibrahim calon PM

PH komited Anwar Ibrahim calon PM

PH komited Anwar Ibrahim calon PM

Majlis Presiden PH hari ini memutuskan untuk komited dengan pendirian asal iaitu Presiden PKR Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri gabungan itu.

Majlis Presiden juga berkata Anwar mempunyai mandat penuh untuk meneruskan perbincangan dengan semua pihak, termasuk Presiden Warisan Shafie Apdal, bagi meneruskan usaha mengambil semula kerajaan persekutuan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan majlis itu hari ini, mesyuarat hari ini turut membincangkan cadangan menamakan Shafie sebagai calon perdana menteri.

“Majlis Presiden berpendirian semua usaha ke arah pengembalian mandat rakyat perlu dijalankan dan memerlukan sokongan semua pihak.

“Oleh yang demikian, Majlis Presiden memberikan mandat penuh kepada Anwar untuk meneruskan perbincangan dengan semua pihak termasuk Shafie Apdal menyempurnakan pengembalian mandat tersebut,” katanya lagi.

Kenyataan bersama itu ditandatangani oleh Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Ketika ditemui kemudian, Anwar diminta untuk menjelaskan lagi kenyataan itu.

“Mandat bermakna (PH) beri ruang untuk saya buat perbincangan,” katanya.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut berhubung jika perbincangan termasuk berkenaan siapa yang memiliki lebih banyak sokongan, atau jika beliau sanggup memberi laluan kepada Shafie.

“Kenyataan itu jelas,” katanya, merujuk kenyataan yang dikeluarkan Majlis Presiden PH.

Bermula kira-kira pukul 10.30 pagi, mesyuarat itu disertai pimpinan tertinggi tiga parti PH, termasuk Mohamad Sabu, Lim dan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail.

Pada Jumaat lalu, PH dilaporkan akan mengadakan mesyuarat Majlis Presiden minggu ini untuk memutuskan soal calon perdana menterinya.

Ia selepas Amanah dan DAP membuat keputusan bahawa cadangan untuk mencalonkan Shafie perlu dibuat secara bersama di peringkat gabungan.

Nama Shafie dibangkitkan setelah PH dan sekutunya, dipanggil sebagap PH Plus, tidak dapat mencapai konsensus berhubung calon perdana menteri. [MK]

PERTAHAN SPEAKER, TERUSKAN KERAJAAN NEGERI, KEMBALI MANDAT RAKYAT

6 Julai 2020

Majlis Presiden Pakatan Harapan telah mengadakan mesyuarat hari ini membincangkan beberapa perkara penting, dan isu semasa menjelang sidang Parlimen akan datang. Antara keputusan yang dicapai adalah seperti berikut:

1) Majlis Presiden memutuskan secara sebulat suara untuk menolak usul YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin menggugurkan YB Tan Sri Ariff Yusuf sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat, dan YB Nga Kor Ming sebagai Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

2) Majlis Presiden konsisten dengan pendirian bahawa fokus Kerajaan Persekutuan dan Negeri ialah untuk membantu rakyat pasca penularan wabak COVID-19. Justeru, kami berpandangan sekiranya berlaku Pilihanraya Umum tergempar sebelum tamat tempoh lima tahun, maka Kerajaan-Kerajaan Negeri yang ditadbir Pakatan Harapan sewajarnya diteruskan dan tidak dibubarkan.

3) Majlis Presiden telah membincangkan usaha-usaha mengembalikan mandat rakyat dan Pakatan Harapan sebagai Kerajaan Persekutuan. Pakatan Harapan komited dengan pendirian asal YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri, dan mesyuarat juga turut membincangkan cadangan pencalonan YB Dato’ Seri Shafie Apdal sebagai calon Perdana Menteri.

Majlis Presiden berpendirian semua usaha ke arah pengembalian mandat rakyat perlu dijalankan dan memerlukan sokongan semua pihak. 

Oleh yang demikian, Majlis Presiden memberikan mandat penuh kepada YB DS Anwar Ibrahim untuk meneruskan perbincangan dengan semua pihak termasuk YB Dato’ Seri Shafie Apdal bagi menyempurnakan pengembalian mandat tersebut.

YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim 

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)

YB Hj Mohamad Sabu 

Parti Amanah Negara (AMANAH)

YB Lim Guan Eng

Parti Tindakan Demokratik (DAP)

Pakatan Harapan

Facebook Comments

Author Profile

Wahyu Basyir
Wahyu Basyir

About The Author

1 thought on “PH komited Anwar Ibrahim calon PM

Leave a Reply