Prestasi Kerajaan PH Tak Memuaskan? Ini Salah Satu Solusinya... | Malaysia News

Prestasi Kerajaan PH Tak Memuaskan? Ini Salah Satu Solusinya…

Sejak Pakatan Harapan menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), macam-macam soalan yang ada pada fikiran rakyat. Antara yang paling popular; bila agaknya pertukaran perdana menteri akan berlaku? Bagi mereka yang mengikuti perkembangan politik Malaysia, diorang barangkali boleh jawab macam-macam soalan; tapi persoalan transisi perdana menteri ni mesti dia susah nak agak.

Macam-macam kelompok yang ada apabila kita berbincang pasal transisi ni, ada yang nak proses tu berlaku dengan cepat, ada pulak yang tak nak transisi PM terjadi dan bagi segelintir orang pulak, dia dah tak kisah. Cuma, hari ni kami akan berikan beberapa poin penting kenapa proses transisi ni harus jelas dan perlu dilakukan untuk kebaikan negara.

1. Peralihan kuasa ni merupakan muafakat Majlis Presiden Pakatan Harapan sebelum diorang bertanding pada PRU14

Pada Januari 2018, Pakatan Harapan (PH) umumkan Tun Mahathir sebagai calon perdana menteri ketujuh jika diorang terima mandat rakyat selepas memenangi PRU 14. Kata diorang masa tu, jika kerajaan dibentuk, calon jawatan timbalan perdana menteri akan disandang Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Ketika umumkan benda ni, Ketua Setiausaha PH Datuk Saifuddin Abdullah kata; blok pembangkang akan mulakan proses undang-undang untuk dapatkan Pengampunan Diraja bagi membebaskan Ketua Umum PKR masa tu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Selepas mengambil alih pentadbiran, Anwar dapat segera berperanan dalam Kerajaan Persekutuan dan diangkat sebagai calon Perdana Menteri kelapan,” – Saifuddin Abdullah, seperti yang dilaporkan MyMetro

Tun Dr Mahathir Mohamad sering ulangi kata-katanya tentang penyerahan kuasa kepada Anwar. Benda ni tunjukkan yang Tun Mahathir yang sebenarnya memang nak serahkan kuasa kepada Anwar, cuma dia tak tahu nak bagi waktu bila. Jadi tak logik sebenarnya kalau ada usaha nak halang benda ni.

“Saya akan umumkan (tarikh) nanti, tapi saya akan pegang janji saya,” – Tun Mahathir, seperti yang dilaporkan oleh Astro Awani,

2. Tanpa tarikh yang jelas, semua orang akan berteka-teki, kesannya akan dirasai oleh rakyat

Kita tak dapat nafikan isu peralihan kuasa yang tengah jadi teka-teki sedikit banyak buatkan koalisi PH tak stabil. Sebabnya kewujudan kelompok yang awal-awal kami cakap tadi tu lah. Lebih teruk kami tengok, dalam kelompok PH; macam ada individu yang nak sailang muafakat ni. Benda ni simple; kalau kat dalam organisasi tu stabil, macam mana nak uruskan negara dengan baik?

Benda ni sama jugak dengan pelabur yang nak laburkan duit diorang kat Malaysia, kalau dengan diorang sekali kena main game teka-teki ni, dah tentu mereka ragu. Setiap perdana menteri mesti ada polisinya yang tersendiri, apabila kita diberitahu tempoh yang jelas tentang peralihan kuasa ni; sekurang-kurangnya pelabur boleh laburkan wang dalam jangka masa pendek, kalau tak selesa dengan PM seterusnya.

Akhirnya kesan dari game tunggu dan lihat ni akan diterima rakyat. Apabila koalisi PH tak dapat berfungsi dengan baik kerana tengah main teka-teki; rakyat akan dapatlah kerajaan yang tak berapa nak function. Nasib baiklah ada beberapa menteri dan wakil rakyat yang nampak ‘function’, terubatlah sikit hati yang panas.

Semua masalah yang susah ni dapat diatasi dengan benda yang simple. Tetapkan tarikh peralihan kuasa supaya kita boleh ‘move on’ dari teka-teki yang tak seronok ni. Dia macam korang pinang perempuanlah; perempuan dah setuju, mesti korang berdua akan tetapkan tarikh kan? Takkanlah nak main tunggu-tunggu je, silap-silap pasangan korang kena kebas.

“Jika diumumkan oleh Majlis Presiden PH dan Tun Dr Mahathir Mohamad secara rasmi tarikhnya 31 Disember 2020 dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai penggantinya, maka teka-teki akan berakhir serta menyelesaikan kemelut yang berpanjangan sekian lama. Manakala mereka yang tidak bersetuju besar kemungkinan tidak lagi berani untuk menimbulkan kecelaruan menentang keputusan rasmi arus perdana kepimpinan PH,” – Dr Zaidi Zakaria, seperti yang dilaporkan Malaysiadateline

3. Prestasi Kabinet PH agak teruk, sudah masanya seseorang yang lain ‘memandu’ negara

Satu perkara yang kami perasan tentang beberapa menteri dalam Kabinet PH ni, diorang agak denial apabila ditanya tentang prestasi. Kebanyakan diorang gemar untuk beritahu media yang diorang lakukan kerja dengan bagus. Masuk dalam bakul, lepas tu berguling-guling sendiri. Tapi sebenarnya Tun Mahathir sendiri pernah cakap yang dia tak berapa puas hati dengan prestasi PH secara kiasan. Hal ni diulas tajam oleh Kadir Jasin.

Ketika mengulas tentang penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi tahun lepas, Kadir berkata;

“Kita tidak perlulah berpura-pura kerana hendak menjaga hati sesiapa atau mana-mana pihak. Realitinya adalah selepas lebih lapan bulan mentadbir negara, kerajaan Pakatan Harapan (PH) belum berjaya menampakkan hasil yang boleh dirasakan oleh rakyat jelata,” – Kadir, dipetik dari MalaysiaKini

Satu lagi benda simple, kalau prestasi Kabinet baik dan stabil; takdenya Dr Maszlee tiba-tiba letak jawatan awal tahun ni. Kalau komentar ni tak cukup lagi, ada jugak undian yang dilakukan oleh MalaysiaKini untuk tunjukkan yang sebenarnya Kabinet Malaysia tengah ada masalah populariti dalam kalangan rakyat.

Dalam undian ni, sebanyak 5,197 undian sah diguna pakai. Ia dijalankan dari 19 hingga 26 Disember 2019. Daripada 28 menteri disenaraikan, hanya 10 peratus menteri dapat tahap penerimaan 50 peratus.

Prestasi ini menunjukkan sudah tiba waktu tarikh atau perancangan peralihan kuasa yang jelas dikeluarkan. Sudah masanya orang lain yang jadi nakhoda Kabinet. Kami faham je kalau ada sesetengah menteri risau kalau Anwar jadi PM, sebab kalau diorang teruk, diorang mungkin akan dibuang dari Kabinet.

4. Masih ada kelompok yang percaya, jika Anwar memimpin negara, hala tuju kita berbeza

Bagi mereka yang dah lama mengikuti perjuangan Anwar, terutamanya ketika dia masih lagi pelajar – sudah tentu jauh di sudut hatinya, dia mahu melihat bagaimana Anwar memimpin negara. Korang kena ingat, kat luar sana; ramai orang dah muak dan penat dengan segala drama dalam lensa politik kita. Lebih-lebih lagi ada sesetengah pemimpin PH yang konsisten menolak manifesto PRU14.

Cuma, dalam kalangan orang-orang yang penat dengan politik ni; ada orang yang simpan harapan nak lihat bagaimana Anwar akan memimpin negara dan selesaikan masalah-masalah serius yang ada kat Malaysia. Kami ada je kawan yang kata Anwar harapan last dia, kalau dia tengok Anwar pun tak boleh buat kerja, dia nak lupakan semua benda alah politik ni.

Selalunya sejarah akan berlaku adil pada individu, dengan segala perjuangan yang dia dah lakukan, kami rasa dia akan jadi PM jugak. Apa yang penting sekarang ni – tarikh peralihan kuasa tu ada, jadi rakyat dapat gambaran jelas. Bagi kumpulan yang dah hidap ‘political fatigue’ ni pun sebenarnya boleh dipujuk dengan beri harapan baru; Anwar sebagai PM.

5. Satu benda yang sebabkan PH susah nak efisien, kepala kata lain, badan cakap lain

Salah satu benda yang kami perasan; Tun Mahathir sebenarnya tak percaya pun dengan Buku Harapan. Buku yang memainkan peranan penting yang meletakkan PH berada di Putrajaya. Bukan kita tak ingat; dia pernah mengatakan manifesto tu bukan kitab suci. Ia memperlihatkan dia tak serius dalam bab manifesto ni.

So, buku ni macam badan PH, Tun Mahathir pulak kepala. Sebab tu ada beberapa manifesto yang tak jalan. Terutamanya bantuan sosial atau langkah-langkah ke arah pendidikan percuma; senjata utama PH untuk menarik golongan muda. Apa yang buat lagi ramai sakit hati; naratif orang miskin malas – tak henti-henti dilaungkan oleh Tun Mahathir.

Padahal, ketika musim pilihan raya – rumah-rumah orang miskin ni dah jadi macam rumah terbuka. Ahli politik datang dan pergi ambil gambar, tunjukkan rasa yang diorang simpati. Ramai yang kata, orang miskin bukan untuk dihina, tapi dibantu. Kalau naratif inilah yang dijual oleh PM, kami ragu ia akan memberi rasa ‘percaya’ kepada rakyat.

Sekiranya benda peralihan kuasa ni dipandang remeh, PH sedang menuju ke lembah kekalahan

Banyak dah bukti, rakyat menolak PH akibat ulah mereka sendiri. Lihatlah beberapa Pilihan Raya Kecil kebelakangan ini, di Tanjung Piai mereka tersungkur akibat yakin tak bertempat. Peralihan kuasa PM perlu dilakukan untuk mengembalikan kestabilan negara dari segi politik dan ekonomi. Peralihan kuasa bukan disebabkan seorang sosok je, tapi ia akan beri kebaikan kepada semua pihak.

Share on:
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •   
  •  
  •  

Leave a Reply