Rita Rudaini titip nasihat buat Bella Astillah
Rita Rudaini titip nasihat buat Bella Astillah
Atas dasar simpati terhadap nasib menimpa Bella Astillah, pelakon jelita, Rita Rudaini terbuka berkongsi kata-kata semangat buatnya.
Rita atau nama penuh, Rita Rudaini Mokhtar, 48, mengaku menitip semangat supaya ibu kepada dua cahaya mata itu terus kuat demi anak, pada pertemuan dalam program Melodi Raya 2024, baru-baru ini.
“Saya tidak rapat dengan dia (Bella), cuma saya ikuti kisahnya yang sudah banyak kali ‘terkena’ (kes curang) sampai saya jadi letih. Jadi, saya minta untuk beritahu Bella supaya sudahlah.
“Kemudian, saya jumpa Bella ketika program Melodi Raya 2024 dan dia memang ada niat hendak jumpa saya. Dia kata, sebab hendak ambil kekuatan dan tanya bagaimana saya boleh kuat.
“Saya cakap senang sahaja, kalau hendak kuat, tengok anak. Awak hidup untuk siapa? Untuk jaga suami atau jaga anak? Selepas itu, apabila tengok sekarang, Bella sudah nampak semakin kuat,” katanya ditemui pada sesi temu ramah bersama pelakon sitkom komedi terbaru terbitan TV3, Jabatan Call Centre (JCC) di Glenmarie, Shah Alam, kelmarin.
Rita yang pernah mendirikan rumah tangga bersama pemain bola sepak, Aidil Zafuan Abd Radzak pada 2008 dan bercerai talak satu pada September 2013 berkata, dia tidak berniat untuk menggalakkan perpisahan.
“Saya bukanlah mahu meraikan atau menggalakkan perceraian. Tetapi sebagai sahabat industri, saya lihat apa yang dia lalui sangat tragis. Sudah banyak kali terkena.
“Ramai orang cakap supaya kasihan dekat anak kalau bercerai dan saya paling tidak suka itu. Sebenarnya, itu salah, kalau betul kasihan kepada anak, bawa dia keluar daripada lingkungan toksik.
“Jangan fikir tidak mahu cerai sebab kasihan kepada anak. Kalau macam itu, mungkin kamu yang tidak boleh hidup tanpa lelaki. Kita wanita perlu kuat,” katanya.
Rita bersyukur apabila melihat Bella semakin kuat dalam meneruskan kehidupan.
Sebelum ini, Rita yang juga ibu kepada dua cahaya mata, Airit Rayyan Rizqin, 15, dan Airit Qaqa Arjuna, 13, berkongsi kata-kata semangat buat Bella melalui entri di Instagram (IG).
Bella dan Aliff sah bercerai talak satu di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur pada 13 Jun lalu.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Mohamad Ayden Adrean, 7, dan Ara Adreanna, 4. {BH]