Rumah Rohana Rozhan AS$10 Juta Untuk Tutup Skandal 1MDB | Malaysia News

Rumah Rohana Rozhan AS$10 juta untuk tutup Skandal 1MDB

Rohana Rozhan - 1MDB

Rumah Rohana Rozhan AS$10 juta untuk tutup Skandal 1MDB

‘Rumah AS$10 juta untuk tutup skandal 1MDB’ – Rohana Rozhan janji kerjasama

Bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) kumpulan Astro Malaysia Holdings Bhd, Rohana Rozhan mengesahkan dia sudah berjumpa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

The Edge memetik kenyataan yang dikeluarkan oleh peguam Rohana di Tetuan Valen, Oh & Partners, yang berkata dia akan memberikan kerjasama penuh kepada agensi antirasuah itu dalam siasatannya.

“Saya merujuk kepada dakwaan yang muncul dalam media mengenai saya. Saya telah hadir di pejabat SPRM dan memberi mereka kerjasama penuh dalam siasatan mereka,” katanya.

SPRM dipercayai mengambil keterangan Rohana semalam.

Laporan Utusan Malaysia yang memetik sumber berkata, SPRM menjalankan siasatan susulan pendedahan bekas pegawai bank Goldman Sachs Group Inc, Tim Leissner dalam kes 1MDB di AS berhubung pemberian sebuah rumah di London bernilai AS$10 juta kepada Rohana.

Menurut sumber yang dipetik laporan itu, siasatan dilakukan mengikut mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan (Amla) 2001.

Perbicaraan kes 1MDB di AS mencuri tumpuan selepas Leissner memberi keterangan yang dia mempunyai hubungan dengan Rohana.

Ketika ditanya oleh pendakwa raya, Drew Rolle mengenai hubungan berkenaan, Leissner mendakwa hubungannya dengan Rohana berlanjutan sejak 2003 hingga 2013.

Leissner mendakwa dia pernah membelikan Rohana sebuah rumah pada 2013 selepas Rohana mengancam mendedahkan penglibatannya dalam 1MDB.

Leissner ialah saksi utama pendakwaan dalam perbicaraan 1MBD yang sedang dijalankan terhadap bekas jurubank Malaysia Roger Ng.

Ng merupakan bekas ketua pelaburan perbankan Goldman Sachs di Malaysia. Dia didakwa bersubahat dengan Leissner untuk mengubah wang yang melanggar undang-undang anti-rasuah AS.

Leissner mengaku bersalah pada 2018 kerana terlibat dalam pelanggaran undang-undang antirasuah AS dan konspirasi pengubahan wang.

Selain Rohana, Leissner turut mengaku menjalinkan hubungan sulit dengan dua lagi wanita Malaysia – anak saudara kepada bekas ketua menteri Sarawak dan anak perempuan duta Malaysia ke AS. [MK]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply