Russia melancarkan serangan ke arah Ukraine dari udara, darat dan laut, selain memberi amaran sedia menyerang Kyiv ketika orang awam yang ketakutan masih terperangkap di Mariupol.
Di medan pertempuran, bunyi siren kedengaran di seluruh negara termasuk ibu negara, Kyiv, selain serangan berterusan dari udara di bandar Kharkiv.
“Musuh berterusan melancarkan operasi serangan terhadap Ukraine, dengan tumpuan di Kyiv, Kharkiv, Chernihiv, Sumy dan Mykolayiv.
“Tentera Russia kini dilaporkan sedang mengumpul sumber bagi melancarkan serangan ke atas Kyiv,” kata Pegawai Turus Angkatan Tentera Ukraine dalam kenyataan.
Di selatan Ukraine, pegawai tentera memaklumkan Russia membedil perkampungan Tuzly di wilayah Idessa dari laut, menyasarkan infrastruktur penting, namun tidak menyebabkan kemalangan jiwa berlaku.
Di Kharkiv, serangan Russia terkena blok kediaman dan universiti mengakibatkan kerosakan teruk pada bangunan.
Beberapa mayat juga dapat dilihat di sebalik sisa runtuhan, bersebelahan sebuah kereta manakala cebisan kaki seorang mangsa bersama seluar berwarna coklat ditemui di belakang kenderaan berkenaan.
Russia pula melaporkan satu letupan besar berlaku di depoh minyak di Lugansk, bandar yang dikawal puak pemisah pro-Russia.
Sementara itu, Presiden Ukraine, Volodymr Zelensky, berang dengan kemusnahan dan kematian yang berlaku dan menuduh tentera Russia sebagai pembunuh.
“Kami tidak akan memaafkan, kami tidak akan melupakan, kami akan menghukum sesiapa sahaja yang melakukan kekejaman dalam perang di tanah air ini.
“Tidak akan ada lagi tempat yang sunyi di bumi ini selain kubur,” katanya.
Author Profile

Latest entries
Tokoh2023.05.29PAS Bermimpi Ditawar Sertai Kerajaan, Kata TPM Zahid
National2023.05.28Seorang wanita sambut Mahiaddin ‘Selamat datang kluster mahkamah’
Top Issues2023.05.27Dana Judi: ‘Saya tak keluar kenyataan jika tiada asas’ – PM Anwar
Top Issues2023.05.26Dana Judi: Muhyiddin Yassin pertimbang saman PM Anwar