Saifuddin: ‘Itu Sidang Akhbar Bersatu Bukan Pakatan Harapan’
Saifuddin: ‘Itu Sidang Akhbar Bersatu Bukan Pakatan Harapan’
Kuala Lumpur, MTN – Pakatan Harapan (PH) memutuskan pemimpin parti-parti gabungan itu akan mengeluarkan kenyataan media bersama berhubung sidang Dewan Rakyat, manakala sidang media yang diadakan semalam adalah mengenai kedudukan Bersatu dalam krisis politik semasa, kata Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution.
Menurutnya, keputusan itu dicapai semasa mesyuarat PH pada hujung minggu lalu.
Saifuddin Nasution berkata demikian ketika cuba menjelaskan ketidakhadiran Presiden PKR Anwar Ibrahim pada sidang media semalam. Malah tidak ada seorangpun wakil PKR yang hadir.
“Persetujuan di mesyuarat PH adalah untuk membuat kenyataan media bersama PH sebaliknya sidang media adalah untuk menerangkan isu dalaman Bersatu.
“Mesyuarat PH dan Tun M (Dr Mahathir) serta Shafie (Apdal) dipengerusikan Anwar semalam (17 Mei) bersetuju untuk membuat kenyataan bersama (pada 18 Mei).
“Mereka juga bersetuju untuk Mahathir mengadakan sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana untuk menerangkan kedudukan Bersatu,” kata Saifuddin.
Menurut Saifuddin , kehadiran Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng pada sidang akhbar itu adalah sebagai memberi sokongan moral kepada Mahathir. Hadir bersama adalah Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal.
“Saya hadir di mesyuarat dua hari yang lalu, Tun M (Mahathir) menjelaskan panjang lebar kenapa Muhyiddin Yassin dikatakan melakukan kesilapan.
“Antara perkara dibangkit olehnya bahawa Muhyiddin Yassin tidak mendapat mandat majlis tertinggi Bersatu untuk membawa parti itu keluar PH dan Tun M dan Bersatu akan terus bersama PH.
“PH menghormati hak Tun M sebagai pengerusi Bersatu untuk terangkan kepada media berhubung kedudukan parti itu,” kata Saifuddin.
Katanya, Anwar selaku ketua pembangkang telah memaklumkan kepada Dr Mahathir bahawa beliau tidak dapat hadir ke sidang media itu.
“Anwar telah memaklumkan tidak hadir dan Mahathir, Shafie dan pimpinan PH sedia maklum.
“Komitmen Anwar dan PKR ialah membantu PH dan blok pembangkang untuk mengembalikan semula mandat rakyat,” katanya.
“Mereka komited untuk mengukuhkan kerjasama PH, Bersatu dan Warisan dan bersiap sedia mengambil alih kerajaan,” kaatnya.
Malaysiakini semalam melaporkan Anwar tidak menghadiri sidang media bersama PH dengan Dr Mahathir serta Warisan di Putrajaya.
Sementara itu, bercakap sebagai sumber, seorang wakil rakyat PKR memberitahu Anwar mendapat jemputan untuk menghadiri sidang media berkenaan – yang diadakan beberapa jam selepas sidang parlimen ditangguhkan.
Bagaimanapun, katanya, Anwar enggan menghadiri sidang media tersebut.
Menurut sumber itu lagi, Anwar memberitahu pemimpin PKR bahawa dia tak mahu dipergunakan oleh Mahathir.
Bagaimanapun Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, yang dihubungi berkata ahli parlimen Port Dickson itu perlu menghadiri sesi temu bual dengan New York Times.
Sidang Dewan Rakyat semalam menyaksikan Muhyiddin selaku perdana menteri mempunyai sokongan 113 ahli parlimen berbanding kekuatan pembangkang dengan 109 kerusi wakil rakyat.[mk]
Author Profile
Latest entries
- NationalAugust 25, 2021Fokus PRU15, Bukan Kerusi Pengerusi PH Atau Ketua Pembangkang
- NationalAugust 25, 2021Hadi Awang: Taliban dah Berubah, Jangan Percaya pada Media Jahat
- NationalAugust 25, 2021Menjelang Pengumuman Kabinet, Ulama Pas: Jangan Sesiapa Jadi ‘Abang Long’
- PolitikAugust 25, 2021Puad: Lantik Azmin Ali Sebagai TPM Umpama Bunuh Diri