'Sesuatu Mungkin Berlaku Sebelum Nov' | Malaysia News
April 9, 2020

‘Sesuatu mungkin berlaku sebelum Nov’

Majlis presiden PH dijangka membincangkan isu peralihan kuasa antara Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan presiden PKR, Anwar Ibrahim esok.

Bagaimanapun, Ahli Majlis Tertinggi Bersatu Rais Yatim memberi gambaran bahawa ada sesuatu yang berjalan di belakang tabir dan rancangan peralihan kuasa mungkin tidak berjalan seperti direncana.

“Berita tentang Tun M (Dr Mahathir) didesak beri tarikh muktamad menyerahkan jawatan perdana menteri terus dilaporkan tanpa henti.

“Dengan mengatakan bahawa peralihan kuasa akan berlaku pada Nov 2020 nampaknya tidak cukup bagus untuk pengawas PH.

“Sesuatu mungkin berlaku sebelum Nov. Pengawas-pengawas ini mungkin tidak tahu apa yang ‘pukul’ mereka. Ada kuasa dan faktor lain sedang berjalan,” katanya melalui ciapan Twitter.

Malaysiakini telah menghubungi Rais dalam usaha untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai kenyataannya.

Mahathir, yang juga merupakan pengerusi PH, sebelum ini berkata, apa pun keputusan mesyuarat Majlis Presiden PH esok, beliau tetap akan melepaskan jawatan selepas Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) yang akan diadakan Nov ini.

Baru-baru ini juga, Dr Mahathir berkata beliau akan menunaikan janjinya untuk menyerahkan jawatan kepada Anwar tetapi menegaskan bahawa Dewan Rakyat mempunyai budi bicara terakhir tentang siapa yang seharusnya menerajui negara.

Beberapa pemerhati melihat ia sebagai petunjuk bahawa Anwar tidak mempunyai sokongan yang cukup dari anggota Dewan Rakyat.

Sementara PAS sebelum ini menyatakan hasrat untuk mengusulkan undi percaya di parlimen bagi menyokong Dr Mahathir dikekalkan sebagai perdana menteri sehingga habis penggal.

Selain itu, Anwar juga dilihat berdepan cabaran dari dalam dan luar partinya. Sarawak Report mendakwa sekumpulan ahli parlimen PAS, Umno, Bersatu dan penyokong timbalan Anwar, Mohamed Azmin Ali, menandatangani akuan berkanun (SD) untuk menyokong Dr Mahathir.

Anwar mengesahkan wujudnya ‘muslihat licik’ berhubung perkara itu, namun menafikan penglibatan Dr Mahathir.

Dua dekad yang lalu, semasa rentang masa pertama pemerintahan Dr Mahathir sebagai perdana menteri, beliau memecat Anwar sebagai timbalannya berdasarkan tuduhan salah laku seksual dan penyalahgunaan kuasa.

Anwar, yang mendakwa bahawa tuduhan itu direka seteru politiknya, membawa bantahan di jalanan yang seterusnya membawa kepada gerakan Reformasi.

Gerakan Reformasi juga merupakan asas kepada penubuhan parti PKR dan pakatan pembangkang yang seterusnya mengalahkan BN pada pilihan raya umum ke-14.

Bercakap di sebuah forum minggu lalu, bendahari PKR, William Leong berkata sudah tiba masanya untuk memikirkan “Plan B” untuk memastikan Anwar tidak dinafikan menjadi perdana menteri.

“Ini masa untuk pelan B dikeluarkan, suara rakyat itu penting, kita nakkan pandangan awam, ia adalah tekanan pandangan untuk kerajaan kembali kepada landasan.

“Kita sudah turun ke jalan raya sebelum ini, bukan saya mahu suruh mereka turun, tapi kita mahukan semangat (seperti itu untuk memastikan Anwar menjadi perdana menteri),” katanya.

-Malaysiakini

Share on:
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •