Sheikh Umar: UMNO ‘Telan’ Bersatu | Malaysia News

Sheikh Umar: UMNO ‘Telan’ Bersatu

Sheikh Umar: UMNO ‘Telan’ Bersatu

Sheikh Umar: UMNO ‘Telan’ Bersatu

Kuala Lumpur, MTN – Perang mulut antara Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad dari Bersatu dan UMNO, adalah bibit-bibit awal bagaimana parti Melayu tertua itu akan menelan Bersatu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.

Adun Paloh, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, pergeseran dalaman antara parti dalam Perikatan Nasional (PN) sememangnya wujud dan ia akan membengkak menjadi kudis yang tidak akan sembuh.

Menurutnya, perang mulut antara Abd Latiff dan UMNO menunjukkan isyarat bahawa tidak wujud sama sekali kerjasama ‘adik beradik’ antara parti yang mendukung kerajaan PN.

“Hal ini akan lebih jelas,” tambahnya.

“Enam bulan pertama, pandemik Covid-19 seolah-olah ‘blessing in disguise’ buat pentadbiran PN. Namun untuk hari-hari mendatang, kita bakal menyaksikan fasa pertelingkahan dalaman yang lebih hebat lagi.

“Bagi UMNO, kewujudan PN adalah senjata untuk mereka merampas kuasa daripada Bersatu yang diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas pergeseran dalaman antara parti dalam PN ketika ini yang menyaksikan Abd Latiff dikritik hebat ramai pemimpin UMNO ekoran kenyataannya yang dilihat memperkecilkan parti itu di Sabah dalam sebuah forum terbuka.

Selain dikritik, Abd Latiff turut menerima beberapa desakan meminta beliau meletakkan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar.

Mengulas lanjut, Sheikh Umar menjelaskan, Presiden dan mantan Presiden UMNO sendiri secara terang-terangan membalas kenyataan Abd Latiff dengan mengisytiharkan untuk mengambil kembali kerusi Parlimen Mersing.

Jelasnya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Razak bukan sahaja memperbudak-budakkan ahli dan menteri Bersatu malah ia merupakan tamparan kepada Muhyiddin apabila kesilapan menterinya itu telah menjejaskan peluang Bersatu untuk mempertahankan kerusi parlimen tersebut.

“Perang mulut ini adalah bibit-bibit awal bagaimana UMNO akan menelan Bersatu menjelang PRU-15 yang akan datang,” katanya.

Keadaan ini jelas Sheikh Umar, pastinya akan menjadikan Muhyiddin tidak ada pilihan lain sama ada kembali menyertai UMNO dan berkuburnya Bersatu atau kekal sebagai Perdana Menteri minoriti yang menunggu nasib dibaham oleh pewaris regim kleptokrat pada bila-bila masa.

Menurutnya, sebelum PRU-15 lagi, dapat dilihat bagaimana UMNO memainkan peranan menentukan kedudukan penting dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang diisi seolah-oleh tidak ada langsung tokoh yang layak daripada Bersatu.

“Hakikat yang dapat kita pelajari dari episod pengkhianatan politik ini cukup jelas. Sejarah juga telah membuktikan; setiap perbuatan khianat akan pastinya berakhir dengan siri-siri pengkhianatan seterusnya.

“Pengkhianat tidak akan pernah mendapat kepercayaan oleh rakan pengkhianat yang lain. Kumpulan ini akan hidup dalam paranoid setiap masa. Sedikit demi sedikit, mereka pasti akan ditelan oleh dosa-dosa politik mereka sendiri,” katanya.

Tegas Sheikh Umar, Pakatan Harapan boleh menjadi contoh tauladan yang baik kepada rakyat bagaimana gabungan itu kekal bersatu dan istiqamah tidak kira sewaktu susah mahupun senang.[rk]

Facebook Comments

Author Profile

Anand Pavit

About The Author

Leave a Reply