Siapa Yang Kemaruk Pilihan Raya Umum Mengejut? | Malaysia News

Siapa yang kemaruk pilihan raya umum mengejut?

Zahid Hamidi - Najib Razak

Siapa yang kemaruk pilihan raya umum mengejut?

Najib dan Zahid menjadi punca tumbangnya kedua-dua kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan PN.

Terpampang di muka depan New Sunday Times (12 Disember 2021) tajuk berita “No rush” (Tidak perlu terburu-buru) dengan perenggan pertamanya: “Perdana Menteri membayangkan PRU15 tidak akan diadakan dalam masa terdekat kerana banyak ‘perkara belum diselesaikan’, termasuk pandemik COVID-19, menjamin kestabilan politik, serta persediaan parti”.

Susulan Pilihan Raya Negeri Melaka pada 20 November serta keputusan Mahkamah Rayuan mengenai kes SRC International yang mengekalkan hukuman terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, wujud kempen dalam UMNO mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen secepat mungkin.

Untuk memahami senario politik terkini, Ismail Sabri hanyalah “50% UMNO” kerana beliau lebih rapat dengan pemimpin Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan gabungan Perikatan Nasional yang merupakan seteru UMNO dalam saingan mendapatkan sokongan orang Melayu.

Ancaman terbesar Ismail Sabri yang baru sahaja mencapai 100 hari pentadbiran sebagai Perdana Menteri datangnya daripada tiga pemimpin utama UMNO, dan bukannya orang lain.

Desakan troika

Tiga pemimpin utama UMNO yang saya maksudkan adalah troika atau tiga serangkai pemimpin, iaitu Najib, Presiden Datuk Seri Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hassan.

Troika ini mahu pilihan raya umum diadakan segera atas tiga sebab:

Pertama, satu-satunya cara untuk Najib dan Zahid terlepas daripada hukuman penjara adalah memastikan UMNO menang PRU, dan selepas itu salah seorang daripada mereka akan menjadi Perdana Menteri.

Najib dan Zahid menjadi punca tumbangnya kedua-dua kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan PN.

Sudah tentu tiada apa malu untuk mereka mengulangi perbuatan buruk itu, walaupun ketika ini Perdana Menteri mewakili UMNO, asalkan mereka dapat lepas daripada hukuman penjara.

Kedua, troika mahu PRU15 diadakan sebelum pemilihan UMNO yang telah ditunda selama 18 bulan, dari 30 Jun 2020 hingga 31 Disember 2022.

Mereka sedar Ismail Sabri akan menggunakan kedudukan sebagai Perdana Menteri untuk menguasai UMNO. Oleh itu, satu-satunya cara untuk menghalang Ismail Sabri ialah mengelakkan pemilihan parti sebelum PRU15.

Jika PRU15 diadakan lebih awal, Zahid mempunyai kuasa sebagai Presiden UMNO untuk memilih calon, dan bukannya Ismail Sabri yang hanya merupakan salah seorang daripada tiga Naib Presiden UMNO.

Ketiga, untuk mengelak kehadiran pengundi Undi18, khususnya jika kadar peratusan keluar mengundi meningkat yang bermaksud peluang UMNO untuk menang agak tipis. Keputusan PRN Melaka pula menunjukkan pengundi muda Melayu beralih menyokong PN, khususnya Bersatu.

Ismail Sabri menyatakan pendirian dengan jelas: “Jika kita meneruskannya (mengadakan pilihan raya sebelum 31 Disember), kita akan dihukum oleh pengundi…walaupun pengundi berusia 18 dan 20 tahun belum boleh mengundi, mereka berusia lebih 21 tahun akan menghukum kita.”

Saya telah menulis dalam Citizen Tong pada 28 September:

“Sebenarnya, Parlimen akan dibubarkan pada 16 Julai 2023 dan pilihan raya perlu dilaksanakan sebelum atau pada 16 September 2023.

“Sekadar bergurau, saya kata impian besar Ismail Sabri yang menjadi Perdana Menteri secara kebetulan sahaja hanyalah untuk berkhidmat lebih lama sedikit, sekurang-kurangnya lebih sehari daripada pendahulunya (Muhyiddin Yassin).

“Muhyiddin memegang jawatan selama 534 hari. Sudah pasti Ismail mahu mengelak menjadi “Perdana Menteri paling singkat berkhidmat”.

“Jadi, tempoh kerajaan ini mungkin akan berpanjangan sekurang-kurangnya sehingga bulan Februari 2023 sebelum pilihan raya diadakan.”

Terang lagi bersuluh Ismail Sabri tidak mahu PRU diadakan sekarang mahupun selepas 31 Julai 2022 seperti yang tertera dalam Memorendum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik (MoU) yang beliau tandatangani bagi pihak Perdana Menteri dengan PH pada 13 September lalu.

Perselisihan tentang MoU

Ada yang suara-suara yang mahu PH menarik diri daripada MoU tersebut, termasuk oleh sahabat saya Datuk Darell Leiking daripada Warisan, kerana persefahaman itu dikatakan menjadi punca pembangkang lemah dalam mengkritik kerajaan.

Saya rasa lega apabila rakan DAP, Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin telah memberi penjelasan yang baik dalam hal ini.

Saya berharap Warisan tidak cuba menjauhkan diri daripada PH dengan menyalahkan gabungan kami yang menandatangani MoU tersebut.

Jika sengaja mahu menggagalkan MoU ini, ia seolah-olah kambing dan lembu berebut-rebut mahu menjadi korban kenduri. Sememangnya ia perbuatan yang tidak cerdik sama sekali.

Jika MoU ini dibatalkan, PRU mengejut akan diadakan. Itulah impian Najib, Zahid dan Mohamad Hassan. Jika troika ini menang majoriti, Najib dan Zahid akan bersorak gembira kerana dapat bebas daripada hukuman penjara.

Bagi mengelak perkara ini berlaku serta membawa Malaysia ke persada yang lebih baik, semua pihak termasuk PH, PN dan pemimpin-pemimpin UMNO yang tidak sehaluan dengan Najib dan Zahid perlu berkompromi untuk bekerjasama.

Kerjasama ini hanya diperlukan untuk meneruskan pentadbiran Ismail Sabri, sama ada dalam bentuk kerajaan minoriti atau majoriti, sehingga Mahkamah Persekutuan membuat keputusan muktamad terhadap kes Najib serta menyelesaikan perbicaraan kes Zahid.

Semua kes ini perlu diselesaikan sebelum PRU boleh diadakan.

Kita juga perlu melakukan reformasi pilihan raya yang sebenar secara dwipartisan bagi mewujudkan persaingan yang lebih adil dan saksama buat semua parti politik yang akan bertanding pada PRU15.

Malaysia memasuki era krisis politik baharu. Sebagai pemimpin, kita perlu mengemudi dengan pemikiran strategik.

Jika salah langkah, kita akan memberi sepakan percuma kepada pihak lawan; dan kita perlu ingat bahawa menembak kaki sendiri bukanlah satu perbuatan yang bijak. [AA]


* Liew Chin Tong ialah Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAP dan mantan Timbalan Menteri Pertahanan.

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply