SPRM sahkan Muhyiddin Yassin akan dituduh lagi minggu depan


SPRM sahkan Muhyiddin Yassin akan dituduh lagi minggu depan
Muhyiddin Yassin akan sekali lagi dituduh di mahkamah, minggu depan, mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA).
Pertuduhan terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu adalah berikutan siasatan berkait kes Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Perkara itu disahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, di sini, hari ini.
“Ya, betul,” katanya ketika ditanya berhubung perkara itu.
Bawah Seksyen 4(1)(b) AMLATFPUAA 2001, jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.
Semalam, sejurus dibebaskan SPRM, Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU, mengesahkan beliau akan berdepan tujuh pertuduhan di mahkamah.
Hari ini, bekas Perdana Menteri itu didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, atas enam pertuduhan meliputi empat menggunakan kedudukan untuk mendapatkan rasuah RM232.5 juta dan dua lagi pengubahan wang haram membabitkan RM195 juta.
Bagaimanapun, Muhyiddin atau nama sebenarnya Mahiaddin Md Yasin, 76, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa di hadapan Hakim Azura Alwi.
Terdahulu, Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, memaklumkan bahawa Muhyiddin dijangka dikenakan lagi pertuduhan rasuah dan salah guna kuasa di mahkamah di Shah Alam, Isnin depan. [BH}
Author Profile

Latest entries
Tokoh2023.05.29PAS Bermimpi Ditawar Sertai Kerajaan, Kata TPM Zahid
National2023.05.28Seorang wanita sambut Mahiaddin ‘Selamat datang kluster mahkamah’
Top Issues2023.05.27Dana Judi: ‘Saya tak keluar kenyataan jika tiada asas’ – PM Anwar
Top Issues2023.05.26Dana Judi: Muhyiddin Yassin pertimbang saman PM Anwar