SST Sarawak: Petronas dalam Proses Tarik Balik Rayuan
SST Sarawak: Petronas dalam Proses Tarik Balik Rayuan
Kuching, MTN – Petroliam Nasional Berhad (Petronas) kini dalam proses menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada Mac lepas yang menolak permohonannya untuk mengisytiharkan Cukai Jualan Negeri (SST) yang dikenakan oleh kerajaan Sarawak sebagai batal dan tidak sah.
Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata rayuan oleh syarikat minyak itu difailkan sebelum kerajaan Persekutuan baharu membuat sebarang keputusan mengenainya.
“Apabila menarik balik (rayuan di Mahkamah Rayuan), terdapat prosedur (yang memerlukan pihak yang terlibat hadir) di mahkamah (untuk membuat permohonan penarikan balik),” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat majlis tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini hari ini.
Abang Johari, yang juga presiden PBB berkata isu Petronas merupakan antara perkara yang dibincangkan pada mesyuarat tiga jam berkenaan.
“Kita mempunyai jawatankuasa kerja yang mempunyai kuasa eksekutif untuk berunding dengan Petronas dan Kerajaan Persekutuan di bawah (Timbalan Ketua Menteri III Datuk Amar Awang Tengah sebagai pengerusi jawatankuasa) dan juga jawatankuasa lain di bawah penggubal undang-undang kita, Jawatankuasa Perundingan yang akan meneliti implikasi undang-undang dan perundangan kita yang mengawal industri minyak dan gas kita,” katanya.
Abang Johari berkata selain isu SST Petronas, Kerajaan Persekutuan sejak Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil alih jawatan sebagai Perdana Menteri juga telah menubuhkan sebuah jawatankuasa, yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, untuk berunding mengenai aspek lain penglibatan Sarawak dalam industri petroleum dan gas negara.
Katanya, sebagai parti utama Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang juga terdiri daripada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP), PBB akan meneruskan agendanya untuk memastikan hak-hak negeri terus dilindungi di samping bekerjasama dengan Perikatan Nasional dalam membentuk Kerajaan Persekutuan.
Beliau berkata dalam mesyuarat hari ini, beliau juga meminta semua ahli Dewan Undangan Negeri dari parti itu supaya kekal rapat dengan akar umbi dengan menawarkan khidmat mereka pada waktu yang tinggal ini sebelum pilihan raya negeri diadakan.
Menurut Abang Johari, walaupun masih ada satu tahun lagi sebelum tempoh DUN berakhir, ahli DUN tidak seharusnya terkejut sekiranya ia dibubarkan dalam tempoh tersebut.
“Walaupun kita juga ingin mendapatkan mandat baharu untuk kepimpinan kita, kita menyerahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya untuk memutuskan cara terbaik untuk menjalankan pilihan raya (di tengah-tengah masalah COVID-19),” tambahnya.[mg]
Author Profile
Latest entries
- NationalAugust 25, 2021Fokus PRU15, Bukan Kerusi Pengerusi PH Atau Ketua Pembangkang
- NationalAugust 25, 2021Hadi Awang: Taliban dah Berubah, Jangan Percaya pada Media Jahat
- NationalAugust 25, 2021Menjelang Pengumuman Kabinet, Ulama Pas: Jangan Sesiapa Jadi ‘Abang Long’
- PolitikAugust 25, 2021Puad: Lantik Azmin Ali Sebagai TPM Umpama Bunuh Diri