'Struggle' Terletak Di Tangan PKR Untuk Tolak Tun Mahathir | Malaysia News

‘Struggle’ Terletak di Tangan PKR Untuk Tolak Tun Mahathir

‘Struggle’ Terletak di Tangan PKR Untuk Tolak Tun Mahathir

Kuala Lumpur, MI: PKR perlu segera memberi kata putus sama ada mahu menerima atau menolak cadangan Pakatan Harapan Plus yang mahu meletakkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri manakala Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Menteri.

Setiausaha Pemuda AMANAH Terengganu, Muammar Qaddafi Mohd Nasir berkata ketika ini ‘struggle’ sebenar terletak di tangan PKR yang bakal menjadi penentu langkah seterusnya bagi Pakatan Harapan.

Beliau berkata, pastinya Anwar konsisten mengulangi bahawa mandat rakyat perlu dikembalikan, namun tersepit di antara akar umbi dan ahli Parlimennya yang menolak Tun Mahathir.

“Jadi disinilah ‘struggle’ utama PKR dalam membuat keputusan, memilih antara suara akar umbi dan prinsip atau pun memilih untuk berpijak pada realiti.

“Saya percaya, apabila PKR masih gagal membuat keputusan, ia bermakna mereka masih membuat pertimbangan, tiada terima atau tolak secara konkrit terhadap cadangan yang dibawa,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini.

Semalam, Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke mendedahkan pilihan calon Perdana Menteri yang dibincangkan dalam Pakatan Harapan Plus yang merangkumi DAP, PKR, AMANAH, Bersatu dan Warisan.

Dalam perbincangan tersebut, Warisan menolak cadangan Anwar sebagai Perdana Menteri manakala Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Ini kerana menurutnya, Warisan tidak yakin Anwar mampu mendapatkan sokongan ahli Parlimen Borneo terutamanya dari komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Cadangan kedua pula dipersetujui Warisan yang memilih Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri kerana percaya bekas Perdana Menteri itu boleh mendapatkan sokongan ahli Parlimen yang lain untuk membentuk majoriti.

Loke mendedahkan, Dr. Mahathir juga mencadangkan beliau diberi masa enam bulan untuk memimpin sebelum menyerahkannya kepada Anwar.

Namun begitu kata Muammar, anggota PKR nampaknya sukar memberi kepercayaan kali kedua kepada Tun Mahathir, hatta sekalipun Anwar sanggup.

Jelasnya, ia selepas banyak tindakan sabotaj Tun terhadap parti itu – Anwar khususnya sejak selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu.

“Antara yang terbesar adalah memberi kuasa kepada kumpulan Azmin Ali dan menafikan hak tersebut kepada kumpulan Pro Anwar walaupun kem Azmin menentang pencalonan Tun Mahathir sebagai PM dan kumpulan Pro Anwar antara tulang belakang kemenangan PRU14,” katanya lagi.

Sementara itu, Muammar mengingatkan, kelewatan PKR memberi kata putus akan memberi kesan besar kepada gerakan PH Plus itu sebagaimana gesaan DAP yang mahukan jawapan ya atau tidak dari mereka.

Ini kerana dakwanya, segala perancangan atau pergerakan Pakatan Harapan terpaksa dibekukan sehinggalah jawapan dari pihak PKR diperoleh.

“Maka mereka menuntut jika terima katakan terima dan jika menolak katakan “kami tolak”. Kita akan ‘Move on’ sama ada nak terus berunding dengan proposal seterusnya atau bersiap siaga hadapi pilihan raya,” ujarnya lagi.[md]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply