Sugarbook Bukan Aktiviti Pelacuran | Malaysia News

Sugarbook Bukan Aktiviti Pelacuran

Sugarbook Bukan Aktiviti Pelacuran

Sugarbook Bukan Aktiviti Pelacuran Tapi Cari Jodoh, Kata Pengasasnya

KUALA LUMPUR – Aplikasi mencari pasangan dalam talian, Sugarbook tidak wajar diharamkan oleh kerajaan kerana ia bukan mempromosi aktiviti pelacuran.

Menurut pengasasnya, Darren Chan, rakyat negara ini perlu menyedari objektif mewujudkan aplikasi itu adalah bertujuan memberi platform seluas-luasnya kepada kaum wanita memilih pasangan hidup tanpa sebarang kekangan.

Menurutnya, inisiatif memperkasakan wanita adalah mencakupi usaha menggalakkan wanita meningkatkan keupayaan mereka memilih pasangan hidup dengan bebas dan perkara itu ditekankan Sugarbook.
“Kata kunci di sini adalah ‘pilihan’ dan Sugarbook adalah merangkumi usaha menyediakan pilihan tepat kepada pelanggannya.

“Terma ‘sugar babies’ diguna pakai kepada wanita-wanita mencari pasangan dan tidak sama sekali merujuk kepada pekerja seks secara haram.

“Mereka tidak memperdagangkan tubuh mereka untuk harta benda dan kebanyakan mereka terdiri orang biasa yang berstatus janda, suri rumah dan baru bercerai,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook peribadinya hari ini.

Darren yang juga rakyat Malaysia berkata, di sebalik kebimbangan rakyat terhadap pemasangan dua paparan iklan LED Sugarbook di Bangsar dan Bukit Kiara sebelum ini, beliau menyifatkan tidak adil jika kerajaan mengambil tindakan mengharamkan aplikasi sosial itu.

“Kami bimbang tuntutan sebegini akan menafikan hak kebebasan dan kesaksamaan rakyat Malaysia,” katanya.

Sugarbook ialah aplikasi mencari pasangan atas talian yang diasaskan di Malaysia dikatakan boleh menghubungkan ‘sugar daddy’ atau ‘sugar mommy’ dengan ‘sugar baby’ dari negara ini dan seluruh Asia.

‘Sugar daddy’ atau ‘sugar mommy’ biasanya merupakan lelaki atau perempuan yang berusia tetapi sanggup menawarkan wang, hadiah atau habuan lain kepada temannya yang lebih muda iaitu ‘sugar baby’ sebagai pertukaran kepada jalinan hubungan.

Sementara itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kelmarin, telah mengarahkan paparan visual iklan luar LED Sugarbook di Bangsar dan Bukit Kiara dihentikan dan diturunkan.

Unit Media Jabatan Perancangan Korporat DBKL dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, paparan iklan tersebut tidak mendapat kebenaran daripada pihak DBKL dan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP).

Menurutnya, pihak operator telah dimaklumkan kandungan iklan itu bersifat sensitif dan melanggar norma masyarakat Malaysia serta perlu ditarik segera.

“Semalam DBKL telah menerima aduan yang ditularkan di media sosial berkenaan paparan iklan LED berkenaan yang sensitif dan berunsur lucah.

“Hasil siasatan DBKL mendapati pelesen struktur iklan merupakan milik YWP yang telah melantik Out of Home sebagai operator,” memetik kenyataan hari ini.

Sinarharian

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply