Sultan Selangor Mahu Vaksin Bagi Pekerja Kilang Dipercepat | Malaysia News

Sultan Selangor mahu vaksin bagi pekerja kilang dipercepat

Sultan Selangor - Sultan Sharafuddin Idris Shah

Sultan Selangor mahu vaksin bagi pekerja kilang dipercepat

Kuala Lumpur, MTN – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menggesa agar pemberian vaksin bagi pekerja kilang di negeri itu dipercepatkan.

Baginda bertitah, usaha berkenaan perlu disegera bagi memutuskan penularan jangkitan COVID-19 dan seterusnya mencapai sasaran imuniti kelompok.

Dalam satu perkongsian di laman Facebook Selangor Royal Office pada Selasa, baginda bertitah bahawa langkah ini perlu diambil memandangkan negeri itu memiliki jumlah kilang dan kawasan perindustrian yang banyak.

Baginda dalam masa sama menggesa pihak yang bertanggungjawab ke atas pengagihan vaksin di seluruh negara dapat menambah jumlah pemberian vaksin di negeri tersebut dengan segera.

Ini adalah bagi memastikan nisbah peratusannya selari dengan jumlah populasi serta kadar jangkitan wabak di negeri berkenaan.

Sementara itu, ketika menerima menghadap Timbalan Mufti Selangor yang baharu, Profesor Madya Miszairi Sitiris di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam hari ini, baginda turut menzahirkan kebimbangan berkenaan penularan wabak COVID-19 terutamanya menjelang sambutan Aidiladha minggu hadapan.

Baginda menasihatkan seluruh umat Islam menyambut Aidiladha secara sederhana di rumah masing-masing dan tidak melakukan perjalanan merentas daerah atau pulang ke kampung kerana kes sporadik COVID-19 dalam negara semakin meruncing.

Baginda khuatir penularan yang berlaku pada sambutan Aidilfitri yang lepas berulang kembali. Oleh yang demikian, ia seharusnya dijadikan iktibar oleh setiap rakyat, titah baginda.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan Selangor kekal menjadi negeri merekodkan kes harian tertinggi iaitu 5,263 diikuti Kuala Lumpur (1,521) dan Negeri Sembilan (1,033).

Secara keseluruhannya, sejumlah 11,079 jangkitan baharu COVID-19 dilaporkan untuk tempoh 24 jam lalu sekali gus mencatat angka tertinggi sejak pandemik melanda negara tahun lalu. [AA]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply