‘Tak Wajar Keruh Keadaan, Keluar Kenyataan Serang Sesama Pemimpin Bersatu’
‘Tak Wajar Keruh Keadaan, Keluar Kenyataan Serang Sesama Pemimpin Bersatu’
Kuala Lumpur, MTN – Ketika pemuda Bersatu (Armada) menyaksikan pergeseran antara pemimpinnya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, salah seorang pemimpin akar umbinya melihat kenyataan Wan Ahmad Fayhsal terhadap Syed Saddiq tidak wajar dikeluarkan.
Menurut penolong setiausaha biro ekonomi Armada Mohd ‘Afif Abdul Manan, lebih-lebih lagi apabila parti sedang berdepan dengan konflik dalaman.
“Pada pendapat saya, kenyataan ini tidak wajar dikeluarkan oleh mana-mana pemimpin atau ahli parti.
“Seperti semua sedia maklum, Parti Pribumi Bersatu Malaysia kini berada dalam keadaan krisis kepimpinan.
“Kenyataan sebegini hanya mengeruhkan keadaan dan krisis sedia ada,” katanya.
Mohd ‘Afif yang juga ahli jawatankuasa Armada bahagian Shah Alam turut berharap supaya masalah yang dihadapi parti itu dapat diselesaikan secepat mungkin oleh pemimpin kanan mereka, Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Muhyiddin Yassin.
“Tun Dr Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin perlulah duduk semeja dan berbincang tentang masalah ini segera atau mempercepatkan pemilihan parti bagi menentukan masa depan kepimpinan parti,” katanya.
Pada 2 Jun, Wan Fayhsal yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata Armada boleh berkembang jauh walaupun tanpa pengasas Armada iaitu Syed Saddiq.
Kenyataan retorik
Perkara yang sama disuarakan oleh bekas pimpinan akar umbi Armada, Muhammad Azrai Rizal Ajilan dan Mohammad Hazrul Haziq Zulkifli yang memihak kepada Syed Saddiq.
Bekas ketua penerangan Armada Klang, Muhammad Azrai menyifatkan kenyataan Wan Fayhsal bahawa Armada dapat berkembang tanpa Syed Saddiq sebagai retorik.
“Jika ditanya beberapa keahlian Armada yang ada sekarang, kemungkinan tidak seperti dahulu kerana ada yang telah keluar dan hilang keyakinan terhadap kepimpinan parti akibat tindakan yang dilakukan.
“Bagi saya, seandainya anda bagus dan hebat mesti akan ada yang bercerita dan memandang anda serta ingin mengikut jejak langkah anda,” katanya.
Muhammad Azrai berkata kedua-dua pimpinan Armada itu mempunyai peranan tersendiri dalam mengukuhkan Armada.
Bagaimanapun, dia mengingatkan supaya dua pemimpin ini tidak berterusan “perang mulut” sehingga akan terdapat pihak yang mengambil kesempatan terhadap perbalahan yang dilihat tidak berkesudahan ini.
Sementara itu, Mohammad Hazrul yang merupakan bekas ketua penerangan Armada bahagian Sabak Bernam berkata, dirinya tidak bersetuju dengan kenyataan Wan Fayhsal itu.
Ini kerana menurutnya pada awal penubuhan parti, Syed Saddiq sebelum ini berjaya menarik ramai anak muda ke dalam parti tersebut.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
“Saya tengok dari segi kaliber dan kepimpinan, tentulah YB Syed Saddiq ada dia punya pakej yang boleh tarik orang, anak muda. Dia pun idola kepada anak muda.
“Jadi, kalau YB Syed Saddiq tak ada, memang terkesan sikitlah dari segi kredibiliti Armada yang dulu adalah pemimpin PH. Mungkin itu akan menjejaskan dari segi pandangan anak muda, kepada Armada sendiri,” katanya.
Armada perlu pemimpin matang
Sementara itu, Ketua Armada Bahagian Klang Dr Muhammad Faiz Na’aman berkata sudah tiba masanya Armada dipimpin oleh mereka yang matang dalam memahami realiti politik Melayu-Islam dan sejarah negara.
Bersetuju dengan pendapat Wan Fayhsal, Muhammad Faiz yang juga ahli majlis pimpinan tertinggi Armada berkata Armada memerlukan pemimpin yang boleh meraih sokongan daripada Melayu – Islam.
“Sudah tiba masanya Armada dipimpin oleh mereka yang benar-benar mendapat sokongan akar umbi, bukan mereka yang semata-mata dilantik oleh orang atas.
“Bagi saya Armada patut terus bergerak ke hadapan tidak lagi dipimpin oleh sepasukan “remaja” ultra idealis, liberal dan retorik seperti sebelumnya yang tidak memberi nilai tambah terhadap populariti parti di kalangan golongan sasaran parti ini iaitu Melayu-Islam,” katanya.
Pengerusi tetap Armada, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh (gambar, atas) pula berkata kenyataan Wan Fayhsal itu tidak perlu dijadikan isu kerana kepimpinan parti telah membuat pendirian jelas berkenaan kedudukan Syed Saddiq, apabila mereka yang bertindak bertentangan dengan parti diambil tindakan.
“Kami hormat dan hargai sumbangan YB Syed Saddiq. Tapi ini bukan caranya. Saya ulang, parti lebih penting daripada individu.
“Saya fikir kita kena kembali kepada disiplin dan tanggungjawab asas kita kepada parti,” katanya.
Sebelum ini, Wan Fayhsal yang juga bekas pegawai khas Syed Saddiq berkata keahlian ahli parlimen Muar di dalam parti dan empat pimpinan lain gugur secara automatik kerana melanggar fasal 10.2.2 dan 10.2.3 Perlembagaan parti dan bukannya dipecat.
Mohd Hafez menambah, Syed Saddiq tidak perlu menegakkan benang yang basah dengan berdebat berhubung keputusan parti dan akhirnya merosakkan imej parti.
“Handal berdebat belum tentu kita handal menawan hati rakyat. Handal di dalam media sosial tak semestinya bijak di akar umbi,” katanya.[mk]
Author Profile
Latest entries
- NationalAugust 25, 2021Fokus PRU15, Bukan Kerusi Pengerusi PH Atau Ketua Pembangkang
- NationalAugust 25, 2021Hadi Awang: Taliban dah Berubah, Jangan Percaya pada Media Jahat
- NationalAugust 25, 2021Menjelang Pengumuman Kabinet, Ulama Pas: Jangan Sesiapa Jadi ‘Abang Long’
- PolitikAugust 25, 2021Puad: Lantik Azmin Ali Sebagai TPM Umpama Bunuh Diri