Takiyuddin: PAS Sedia Kerjasama BN Dan Bersatu Hadapi PRU15 | Malaysia News

Takiyuddin: PAS Sedia Kerjasama BN dan Bersatu Hadapi PRU15

Takiyuddin: PAS Sedia Kerjasama BN dan Bersatu Hadapi PRU15

Kuala Lumpur, MTN – Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata kerjasama parti itu di dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) semakin mantap, justeru menzahirkan keyakinan bahawa gabungan parti pemerintah itu akan berganding bahu bagi menghadapi PRU15 nanti.

Segala “spekulasi” yang timbul daripada pihak pembangkang, katanya, hanyalah merupakan “perang psikologi semata-mata”.

“PAS yakin parti-parti yang membentuk PN telah bersedia untuk memacu tenaga dan jentera bagi melengkapkan persiapan dan kesiapsiagaan barisan bersama termasuk memuktamadkan pembahagian kerusi bagi menghadapi PRU-15 meskipun tarikhnya belum diputuskan.

“PAS juga amat yakin kerjasama dan sikap bertoleransi semua anggota PN kini akan menguatkan lagi kedudukan kerajaan PN sama ada di peringkat persekutuan mahupun negeri-negeri sehingga ke akhir penggal,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Meskipun begitu, Takiyuddin tidak menjelaskan spekulasi yang dimaksudkannya itu.

Semalam, Ahli Parlimen Simpang Renggam Maszlee Malik berkata Umno berkemungkinan akan menjadi parti dominan dalam PN, manakala tiada petunjuk jelas bahawa Umno akan bertanding dalam PRU-15 sebagai parti komponen PN.

Beliau turut menyentuh tentang perbincangan antara Umno dan PAS di ibu pejabat Umno sebelum itu sebagai persediaan bagi menghadapi PRU-15 yang tidak melibatkan Bersatu.

Maszlee meramalkan agihan kerusi akan menjadi satu isu sukar antara Umno, PAS dan Bersatu memandangkan ketiga-tiga parti itu bertumpu kepada gelanggang dengan kumpulan demografik yang sama, iaitu pengundi Melayu.

Untuk rekod, PN terdiri daripada Bersatu, PAS, parti BN termasuk Umno, MCA dan MIC, serta Gabungan Parti Sarawak dan Gabungan Bersatu Sabah.

Sementara itu, PH nampaknya kini sedang mendapatkan sokongan untuk cuba mengambil alih semula kerajaan yang pernah diterajuinya selama 22 bulan selepas PRU14 sebelum runtuh pada hujung Februari lalu.

Spekulasi membayangkan gabungan itu sudah mempunyai cukup sokongan ahli parlimen bagi berbuat demikian.[mk]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply