Tengku Razaleigh Gesa Undi Percaya Pada PM Di Parlimen Segera Dilakukan | Malaysia News
October 18, 2021
Ku Li - Tengku Razaleigh

Tengku Razaleigh gesa undi percaya pada PM di Parlimen segera dilakukan

Kuala Lumpur, MTN – Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah menggesa undi percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob segera dilakukan di Parlimen.

Sekalipun Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia Serta Sumpah Simpan Rahsia itu sudah dilakukan Ismail Sabri pada Sabtu lalu, namun, perkenan Yang di-Pertuan Agong itu, jelas Tengku Razaleigh, hanyalah untuk satu ketika.

Menurut beliau, undi percaya itu juga perlu dilakukan untuk memastikan keabsahan sekali gus membolehkan Perdana Menteri menerajui negara tanpa sebarang gangguan oleh mana-mana pihak.

“Sekiranya pengundian berlaku, (undi) percaya atau tidak percaya dua hingga tiga minggu selepas angkat sumpah dalam keadaan di mana sokongan kepada Perdana Menteri dan kerajaan sudah berubah dan telah mengalami kekalahan, jelas sekali Perdana Menteri dan Kabinet itu mesti berundur kerana sudah ditolak oleh Dewan Rakyat,” kata Tengku Razaleigh pada Astro AWANI.

Advertisement

Ismail Sabri, 61, dilantik sebagai Perdana Menteri selaras dengan Perkara 40(2) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang meletak jawatan pada 16 Ogos lepas selepas kehilangan majoriti sokongan Ahli-ahli Dewan Rakyat.

Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin, yang juga Ahli Parlimen Pagoh tumbang selepas 15 Ahli Parlimen UMNO mengisytiharkan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan beliau.

Sehubungan itu, pada 17 Ogos lepas, Speaker Dewan Rakyat telah mengutuskan surat kepada kesemua 220 Ahli Parlimen, memaklumkan titah Tuanku Agong bahawa mereka semua perlu mengemukakan surat akuan bersumpah (SD) bagi memilih seorang calon Perdana Menteri.

Pada 19 Ogos, 114 Ahli Parlimen yang menzahirkan sokongan mereka kepada Ismail Sabri, telah dititahkan untuk menghadap Agong di Istana Negara bagi mengesahkan pilihan mereka. [AA]

Advertisement
Facebook Comments
Share on:
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •