Terbitan Sukuk Prihatin Untuk Bantu Pulih Ekonomi | Malaysia News

Terbitan Sukuk Prihatin Untuk Bantu Pulih Ekonomi

Terbitan Sukuk Prihatin Untuk Bantu Pulih Ekonomi

Kuala Lumpur, MTN | Kementerian Kewangan hari ini menerbitkan Sukuk Prihatin berjumlah RM500 juta di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA). Sukuk yang akan diterbitkan ini merupakan instrumen patuh syariah berlandaskan prinsip Tawarruq melalui pengaturan Komoditi Murabahah.

Pelaburan minimum Sukuk Prihatin ialah RM500 dan tiada had maksimum dibuka kepada warganegara Malaysia yang berumur 18 tahun dan ke atas. Sukuk Prihatin akan diperuntukkan berdasarkan tarikh dan masa langganan yang paling awal. Tempoh tawaran bagi Sukuk Prihatin ini ialah dari 18 Ogos hingga 17 September 2020.

Sukuk ini mempunyai tempoh matang selama dua tahun, dengan tawaran pulangan sebanyak 2% setahun, ia merupakan instrumen yang sesuai untuk mempelbagaikan portfolio pelaburan. Keuntungan akan dibayar setiap suku tahun dan dikecualikan cukai.

Hasil terbitan Sukuk Prihatin akan disalurkan kepada Kumpulan Wang Covid-19 bagi pelaksanaan inisiatif pemulihan ekonomi, termasuk meningkatkan kesalinghubungan kepada sekolah-sekolah luar bandar; menampung perbelanjaan kesihatan berkaitan penyakit berjangkit dan membiayai PKS mikro terutamanya usahawan wanita.

Majlis perasmian Sukuk Prihatin telah disaksikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kementerian Kewangan berkata, terbitan sukuk patuh syariah ini adalah hasil permintaan dari pelbagai pihak untuk turut membantu di dalam usaha pemulihan ekonomi negara. Sehubungan itu, kerajaan memutuskan bahawa terbitan sukuk merupakan satu pilihan instrumen yang telus dan bersesuaian dengan permintaan tersebut.

Katanya, pemegang sukuk diberikan pilihan untuk menyumbang pembayaran balik modal (prinsipal) apabila pelaburan matang selepas dua tahun. Sumbangan ini akan diberi potongan cukai yang sewajarnya. Sukuk ini boleh dilanggan menerusi JomPAY dan/atau DuitNow yang boleh diakses melalui platform perbankan digital 27 bank di Malaysia.

Maybank adalah bank pengedar utama bagi sukuk ini. Untuk maklumat lanjut tentang terma dan syarat Sukuk Prihatin, sila hubungi bank-bank terlibat atau layari https://penjana.treasury.gov.my/.[mg]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply