Tuding 'Pemimpin Sewel Dan Berpenyakit', Khairuddin Hassan Letak Jawatan | Malaysia Top News
August 9, 2020

Tuding ‘Pemimpin Sewel dan Berpenyakit’, Khairuddin Hassan Letak Jawatan

Kuala Lumpur, MTN – Penyelaras Pakatan Harapan (PH) Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan meletakkan jawatannya serta merta. Alasannya tidak mahu bernaung di bawah ‘pemimpin sewel dan berpenyakit’.

“Keseluruhan bangsa Melayu dan umat islam di negara kita harus tolak Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada menjadi khalifah utama kita!

“Jangan sama sekali kita biarkan diri ditipu serta tertipu lagi oleh Anwar Ibrahim!! Dia manusia ‘fasik’ dan ‘hipokrit!” katanya dalam kenyataannya hari ini.

Beliau berpegang pada prinsip politik dan agama yang sama sekali tidak akan bernaung di bawah kepimpinan PH yang kini dipengerusikan oleh Anwar.

“Kini, saya ingin lihat berapa jauh PH boleh pergi di bawah kepimpinan Anwar. Pada hakikatnya, beliau tidak lagi relevan dalam lanskap politik tanahair!! Tambahan pula dia ‘manusia sewel serta berpenyakit!” katanya.

Apa pun, katanya, secara jujur dan ikhlas, akhirnya rakyat secara total akan mengetahui secara lebih jelas siapa itu Anwar yang sebenarnya.

“Dalam masa yang sama, saya ingin menyeru pada semua pemimpin-pemimpin PH yang luhur dan berprinsip untuk tinggalkan PH secara beramai-ramai serta jangan sama sekali kita sokong pemimpin ‘fasik’ serta ‘hipokrit’ macam Anwar.

“Dia hanya ‘syok sendiri’ dan tidak akan dapat memimpin PH ke tahap yang memberangsangkan! Parti PKR itu sendiri kini bermasalah dan berpecah di bawah kepimpinan Anwar.

“Parti sendiri pun anwar ibrahim tidak mampu untuk memimpin apatah lagi nak pimpin gagasan PH yang lebih besar,” katanya.

Menurut Khairuddin, PH akan hancur di bawah kepimpinan Anwar dan jangan bermimpi PH akan mampu untuk memenangi pilihanraya umum lagi bagi membentuk kerajaan pusat sepertimana PRU-14.

“Ianya hanya akan menjadi bahan sejarah semata-mata dan PH akan terkubur buat selama-lamanya dalam sedikit masa lagi.

“PH bukan lagi platform yang sesuai untuk kita berjuang bagi selamatkan negara kerana pengerusi masakini pun seorang pemimpin yang tidak selamat untuk kita semua.

“Hanya ‘orang gila’ saja yang sanggup bernaung serta berjuang di bawah kepimpinannya!” katanya.

Bagaimanapun penyokong tegar kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad itu merakamkan jutaan terima kasih serta penghargaan kepada presiden dan kepimpinan tertinggi parti Amanah yang telah meletakkan kepercayaan kepadanya bertanding di kerusi Parlimen Jasin pada PRU-14 yang lalu.

“Insya Allah, dalam masa terdekat saya akan berjumpa dengan presiden parti Amanah untuk menzahirkan keputusan bagi menyerahkan balik kerusi Parlimen Jasin seterusnya meletakkan jawatan selaku penyelaras parlimen jasin berkuat-kuasa serta merta,” katanya lagi.[mg]

Share on:
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •