Tun Mahathir Dan DS Anwar Perlu Bekerjasama Lawan Muhyiddin Dan Najib | Malaysia News

Tun Mahathir dan DS Anwar perlu bekerjasama lawan Muhyiddin dan Najib

Tun Mahathir dan DS Anwar perlu bekerjasama lawan Muhyiddin dan Najib

SHAH ALAM – Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu bekerjasama melawan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pengarah Strategik DAP, Liew Chin Tong berkata, sekiranya kedua-dua pemimpin itu tidak bekerjasama, jumlah kerusi dimiliki Pakatan Harapan dan sekutunya (PH Plus) akan berpecah.

Menurutnya, selain Dr Mahathir dan Anwar, Parti Warisan Sabah (Warisan) yang dipimpin oleh Datuk Seri Mohd Shafie Apdal turut memainkan peranan penting dalam gabungan tersebut.

“Pakatan Harapan (PH) mempunyai 91 kerusi selepas pembelotan Ahli Parlimen Lubok Antu, Tambat Jugah Muyang. Bersama kumpulan Bersatu yang menyokong Dr Mahathir dan dua ahli Parlimen Bebas pro-Mahathir, PH Plus kini memegang 109 kerusi.

“Apa lebih penting, mengelakkan perpecahan dan menstabilkan 109 kerusi itu. Tidak kira sama ada Dr Mahathir atau Anwar yang akan menjadi calon Perdana Menteri,” katanya menerusi laman sesawang liewchintong.com, hari ini.

Menurut bekas Timbalan Menteri Pertahanan itu, kedudukan Muhyiddin akan terancam sekiranya PH Plus yang terdiri daripada tiga komponen iaitu PH, Warisan dan kumpulan Dr Mahathir berjaya mempertahankan jumlah kerusi tersebut.

Ujarnya, DAP memahami kepentingan penyatuan kekuatan antara Dr Mahathir dan Anwar.

“Kita mesti bersedia untuk pilihan raya umum (PRU). Sekiranya kita sudah bersiap sedia, kita mungkin dapat menangkisnya kerana pihak lawan juga takut kalah PRU. DAP mesti mengelak daripada dijadikan ‘bogeyman’ oleh pihak lawan yang mahu meningkatkan ketegangan kaum.

“Bagi mengelakkan lawan kita memanipulasi sentimen perkauman untuk berkuasa, DAP perlu melakukan lebih banyak lagi dengan berada di barisan hadapan bagi memimpin dalam mempromosikan perpaduan nasional,” katanya. [SH]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply