Umno Ikrar Pertahan Setiakawan PN Dalam Tanggapi Penghakiman Najib | Malaysia Top News
August 9, 2020

Umno Ikrar Pertahan Setiakawan PN dalam Tanggapi Penghakiman Najib

Kuala Lumpur, MTN – Presiden Umno yang juga Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa parti dan gabungan itu akan terus mempertahankan setiakawan dalam Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).

Kenyataan itu hadir di tengah spekulasi yang mengatakan Zahid bertemu Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam untuk menarik balik sokongannya terhadap presiden Bersatu itu, susulan keputusan mahkamah kes Najib Razak.

“Umno BN akan menanggapi keputusan penghakiman ini (kes Najib) dengan cara yang terbaik di samping mempertahankan kesetiakawan bersama sekutu-sekutu dalam BN, Muafakat Nasional dan PN.

“Kejujuran, keikhlasan dalam perkongsian kuasa serta persahabatan tetap menjadi prinsip utama dan akan dipertahankan,” katanya sambil menambah penerangan berhubung kes Najib akan diberi kepada ahli parti.

Pada Selasa lalu, mahkamah mendapati Najib bersalah dalam tujuh tuduhan berkaitan pengubahan wang haram, salah guna kuasa dan pecah amanah melibatkan dana SRC International Sdn Bhd.

Hakim menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap ahli parlimen Pekan itu.

Susulan keputusan itu, Zahid berkata akan ada “keputusan politik besar” menyusul dengan mengambil kira perkembangan berkenaan.

Sementara itu, Zahid juga menyorot bahawa pihaknya akan meneliti penghakiman kes Najib bagi memastikan tidak ada campur tangan mana-mana pihak atau “kekhilafan” dari sudut perundangan.

“Sudah tentu kita menghormati keputusan yang dibuat oleh Yang Arif hakim, namun penelitian perlu dibuat terhadap kemungkinan wujudnya kekhilafan dari sudut perundangan dan fakta.

“Proses pengadilan di Mahkamah Tinggi sudah selesai tetapi Najib ada hak untuk membuat rayuan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan berhubung sabitan dan hukuman.

“Ia adalah hak setiap rakyat yang dijamin di dalam Perlembagaan dan sistem perundangan negara.

“Umno BN akan memastikan proses mendapat keadilan di semua peringkat itu berjalan lancar dan benar-benar bebas serta adil tanpa wujudnya unsur-unsur campur tangan oleh mana-mana pihak,” katanya.[mk]

Share on:
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •