140 Ditahan Kerana Ingkar SOP Covid-19 – Ismail Sabri | Malaysia Top News
December 5, 2020

140 ditahan kerana ingkar SOP Covid-19 – Ismail Sabri

Kuala Lumpur, MTN – Polis menahan 140 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan dua Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dalam Ops Benteng sempadan negara semalam.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dari 140 individu yang ditahan itu, empat direman, 136 lagi dikenakan kompaun.

Kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) itu, antara kesalahan ialah 36 individu gagal menyediakan peralatan atau catatan keluar masuk, enam tidak memakai pelitup muka, dua gagal melunaskan bayaran di pusat kuarantin dan seorang tidak memakai apron pakai buang.

“Seramai 96 individu lagi ditahan kerana terlibat dalam aktiviti kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial,” katanya dalam kenyataan harian mengenai Covid-19, di sini, hari ini.

Berhubung penahanan dua Pati, beliau menjelaskan, kedua warga asing itu ditahan di sekatan jalan raya menerusi Operasi Benteng.

Ujar beliau, polis telah mengadakan 64 sekatan jalan raya di seluruh negara dan memeriksa 25,458 kenderaan bagi mengekang kemasukan (Pati) terutama di lorong tikus.

Justeru, polis telah menahan dua inidividu warga asing atas kesalahan Imigresen.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutama di lorong tikus,” katanya.

Facebook Comments
Share on:
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •