Pakar: Tangani Jurang Dan Isu Ekosistem Sebagai Negara Maritim Yang Berjaya | Malaysia News

Pakar: Tangani Jurang dan Isu Ekosistem Sebagai Negara Maritim yang Berjaya

Manchester, MTN – Malaysia, sebuah negara bertuah, bukan sahaja kaya dengan sumber semula jadi malah dianugerahi kestabilan politik selain kedudukan geografi di Selat Melaka, yang menjadi laluan laut utama serta Laut China Selatan — satu kelebihan organik untuk muncul sebagai negara maritim yang berjaya.

Lokasi sahaja bagaimanapun tidak cukup untuk Malaysia berkembang maju dalam sektor ini, kata Pengasas dan Rakan Kongsi Urusan Kumpulan, Thought Partners Group Consulting (TPG), Abi Sofian Abdul Hamid.

“Malaysia perlu melihat lebih daripada itu, terutama dalam mengenal pasti jurang yang menjejaskan ekosistem maritim di Malaysia dan pada masa sama, mengutamakan perniagaan tempatan,” katanya kepada Bernama menerusi e-mel.

Abi Sofian, yang pernah menjadi ketua pegawai eksekutif NorthPort Bhd, berpendapat terdapat terlalu banyak agensi yang mempunyai peranan bertindih dan keadaan itu menjejaskan ekosistem maritim di Malaysia.

“Tidak dinafikan keadaan sedia ada telah mendorong berlakunya beberapa pertindihan peranan yang boleh diabaikan tanpa dilaksanakan kerana kedudukan mereka dalam struktur kementerian,” katanya.

Lembaga-lembaga pelabuhan mempunyai peranan yang agak jelas dalam menguruskan pelabuhan, sama seperti Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dalam mengendalikan lapangan terbang, manakala Jabatan Laut bertanggungjawab mengawasi kawasan perairan negara sehingga ke sempadan antarabangsa.

“Ada satu tahap mereka (Jabatan Laut) juga menguruskan aset yang merupakan sebahagian daripada skop lembaga pelabuhan, seperti jeti laut dan jeti penumpang untuk feri. Mereka juga menjaga rumah-rumah api yang merupakan aset yang sangat strategik,” katanya.

Beliau berkata oleh itu, perlu ada usaha bersepadu untuk mengkaji semula fungsi dan peranan agensi-agensi sedia ada di dalam sektor ini.

Cabaran utama adalah untuk memperkemas serta menggabungkan di samping menambah fungsi dan peranan baharu, bertujuan menutup jurang yang melembapkan sektor ini, katanya.

Kerajaan dilihat menyedari cabaran yang wujud dalam industri, oleh itu, ia menubuhkan Majlis Perkapalan dan Pelabuhan Negara namun isu sebenar telah menjadi penghalang kepada mandat dan peranan majlis tersebut.

“Kami bergelut dengan Majlis Logistik Malaysia selama bertahun-tahun. Ada banyak perancangan, tetapi saya tidak pasti sama ada objektif asalnya telah dicapai atau sebaliknya. Dasar Pengangkutan Negara tidak merangkumi teras  khusus berkaitan logistik yang secara realitinya amat berkait rapat dengan pengangkutan,” katanya.

Advertisement

Abi Sofian berpandangan isu yang dihadapi industri maritim adalah serupa dengan industri penerbangan dengan pembentukan sebuah agensi seperti Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM).

Beliau berkata ini kerana pembentukan MAVCOM tidak semestinya menjadi satu penyelesaian kerana seperti yang dapat dilihat sesetengah pihak mempersoalkan keberkesanan MAVCOM.

Pada 11 Dis, 2019, kerajaan mengumumkan untuk membubarkan MAVCOM, yang ditubuhkan pada 2016, dan memindahkan fungsinya kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Sementara itu, Labuan Shipyard & Engineering Sdn Bhd (LSE) mengalu-alukan sebarang perubahan struktur, dasar dan tindakan yang mendorong pertumbuhan industri pembuatan dan baik pulih kapal.

“Kami percaya usaha turut perlu menumpukan kepada langkah mengutamakan kemajuan bakat tempatan serta meningkatkan peranan dan pengiktirafan kepada kalangan syarikat perkapalan tempatan seperti LSE yang berperanan penting dan langsung dalam memberi impak positif ke atas kemajuan komuniti dan ekonomi sekitarnya.

“Para bakat tempatan dan pemain industri perlu diberikan ekuiti dan kesaksamaan peluang untuk matang dalam jangka panjang melalui langkah menggunakan kekuatan dan sumber mereka secara cekap, dengan itu memastikan negara memanfaatkan semua bakatnya yang pelbagai seterusnya mengorak laluan bagi kemajuan mampan untuk kekal dalam industri ini,” katanya.

Pembuat kapal itu menekankan bahawa syarikat-syarikat tempatan sepatutnya meraih manfaat daripada kenaikan harga minyak global dan inisiatif pembangunan aktif oleh kerajaan Malaysia dan peserta sektor swasta.

“Bagi kami, LSE telah dan akan terus menumpukan penambahbaikan dan inovasi berterusan agar kekal berdaya saing di samping memberikan yang terbaik kepada pelanggan dan vendor kami serta komuniti,” katanya.[bernama]

Advertisement
Facebook Comments
Share on:
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •