Ecomy: Tangani Pembakaran Terbuka Sebelum Jerebu Melanda | Malaysia News

Ecomy: Tangani Pembakaran Terbuka Sebelum Jerebu Melanda

Ecomy: Tangani Pembakaran Terbuka Sebelum Jerebu Melanda

Kuala Lumpur, MTN – Setiap kali jerebu melanda punca utama yang dikenal pasti ialah perbuatan pembakaran terbuka yang bukan sahaja berlaku di negara ini tetapi juga di negara jiran kerana kepulan asap akibat perbuatan itu akan dibawa angin melintasi sempadan dan seterusnya mempengaruhi kualiti udara termasuk   di negara jiran  yang tidak menghadapi masalah pembakaran terbuka.

Sehubungan itu sebuah badan bukan kerajaan (NGO) menggesa penguatkuasaan lebih ketat terhadap pembakaran terbuka bagi membasmi jerebu berterusan di rantau ini.

Persatuan Ekopelancongan & Pemuliharaan Malaysia (ECOMY) berkata jerebu buatan manusia dan penyelesaiannya terletak pada usaha pencegahan terhadap puncanya.

“Pihak berkuasa perlu mempunyai penguatkuasaan lebih mantap untuk mencegah pembakaran terbuka dan jerebu malah sebelum satu pun pembakaran dimulakan,” kata Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif  ECOMY Andrew Sebastian.

Beliau juga berkata kegiatan pembersihan tanah dan peenebangan  hutan secara sewenang-wenangnya perlu dihentikan dan inisiatif berintensifkan bahan bakar fosil juga tidak patut digalakkan.

Jerebu sudah menjadi sesuatu yang lazim di rantau ini sejak dua dekad lepas dan kebanyakan orang dilihat sudah menerimanya sebagai bencana alam yang tidak dapat dielakkan, katanya dan menurutnya ini tidak sepatutnya berlaku dalam era sudah wujudnya kesedaran tentang pembangunan dan alam sekitar.

Sejak  beberapa tahun lepas, jerebu berlaku antara Julai dan Oktober, dengan sebanyak 10 titik panas dilaporkan di Malaysia dan 627 di Kalimantan, Indonesia dalam setahun.

Jerebu itu kebanyakannya berpunca daripada pembakaran terbuka dan pembersihan tanah dengan cara pembakaran untuk tujuan pertanian. Kegiatan pembersihan dan perparitan di kawasan tanah gambut khususnya telah dikenal pasti sebagai punca utama kebakaran tanah gambut yang lebih sukar untuk dipadamkan.

Sebastian berkata pada Mac 2019 kebakaran besar di kawasan tanah gambut di Terengganu berlaku selama 14 hari manakala pada 2013 berlaku kebakaran besar di Hutan Raja Musa di Selangor, didakwa dimulakan oleh sebuah syarikat yang membersihkan tanah untuk penanaman kelapa sawit.

“Dengan perubahan iklim semakin ketara disebabkan aktiviti manusia – yang dilihat telah meningkatkan pelepasan karbon sebanyak 40 peratus sejak revolusi perindustrian dan akan menyaksikan peningkatan dianggarkan sebanyak 0.6 hingga 1 darjah menjelang 2030 – kebakaran hutan seumpama itu akan menyebabkan jerebu semakin teruk,” katanya.

Selain daripada kebakaran disebabkan aktiviti pembersihan tanah, punca lain kebakaran hutan termasuk kemalangan disebabkan oleh kegiatan pemburu haram di kawasan berkenaan.

Dalam temu bual oleh Bernama,  Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Datuk Dr A. Xavier Jayakumar bercakap panjang lebar tentang pelbagai langkah diambil oleh kerajaan dalam usaha melindungi hutan dan sumber lainnya termasuk hidupan liar.

Selain menubuhkan Pusat  Biodiversiti Negara yang, antara lain, berperanan sebagai pusat penyelidikan terhadap khazanah biodiversiti negara dan kepentingan mengekalkannya, kerajaan turut merancang untuk meningkatkan jumlah geopark di dalam negara.

Beberapa kawasan dilindungi di Malaysia telah ditransformasi menjadi geopark seperti Langkawi UNESCO Global Geopark dan Geopark Lembah Kinta, katanya.

Beliau berkata lima lagi geopark akan diwujudkan dalam waktu terdekat, dengan Johor, Pahang, Kedah, Perlis dan Labuan berminat untuk mewujudkannya.

Geopark merujuk kepada sesuatu kawasan yang terdapat tapak warisan geologi yang boleh digunakan oleh semua pihak bagi tujuan pemeliharaan, pendidikan dan pembangunan secara lestari/mampan.

Berhubung isu penguatkuasaan, Xavier Jayakumar berkata kerjasama lebih kukuh dengan NGO dalam melindungi hutan Malaysia telah menyaksikan penurunan aktiviti haram di dalam hutan.

Beliau secara khusus memuji kerjasama diberikan oleh Orang Asli dalam menangani pemburuan haram dan perdagangan hidupan liar. Sebuah unit anjing untuk mengesan aktiviti itu juga telah ditubuhkan, katanya.

Dua operasi bagi membanteras kegiatan haram itu, Op Belang dan Operasi Bersepadu Khazanah, dijalankan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dengan kerjasama polis dan beberapa NGO menyaksikan 82 pemburu haram ditahan, katanya.

Kerajaan dijangka mengetatkan lagi undang-undang membabitkan hukuman terhadap aktiviti haram di hutan, termasuk mencadangkan penalti lebih tinggi dan tempoh penjara lebih lama, katanya.

Pindaan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan Akta Perhutanan Negara 1984, masing-masing akan dibentangkan pada sidang Parlimen pada Mac dan November, katanya.[bernama]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply