Tun M: Menjadi PM Tak Bisa Tergantung Pada Partai | Malaysia News
Notice: sanitize_url is deprecated since version 2.8.0! Use esc_url_raw() instead. in /home/kulf6423/public_html/malaysiatopnews.com/wp-includes/functions.php on line 4652

Tun M: Menjadi PM Tak Bisa Tergantung pada Partai

Kuala Lumpur, MTN – Negara kita berada dalam suasana perubahan yang sangat radikal, pantas dan kompleks. Dalam masa lebih kurang 10 hari perubahan luar biasa telah dan akan berlaku. Kita mohon kepada Tuhan agar memberikan kita petunjuk, kekuatan dan perlindungan.

Mula-mula mengenai kerajaan perpaduan nasional yang Perdana Menteri Interim Dr Mahathir Mohamad cadangkan.

Sama ada beliau menang atau kalah dalam perbahasan sidang khas Dewan Rakyat yang dijadualkan Isnin, 2 Mac ini, bergantung kepada sama ada cadangan kerajaan perpaduan dalam acuan beliau sendiri itu diterima atau tidak.

Konsep kerajaan perpaduan yang Dr Mahathir cadangkan mungkin berbeza daripada kerajaan perpaduan yang dikenali umum.

Seperti yang beliau terangkan secara ringkas di sidang media ketika melancarkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 semalam (Khamis, 27 Februari) adalah lebih kurang begini:

  • Pemilihan anggota Kabinet tidak diasaskan daripada parti politik
  • Calon terdiri daripada orang perseorangan yang menyertai Kabinet sebagai individu
  • Mereka akan dipilih sebagai individu berasaskan budi pekerti dan kepakaran. (Ertinya penyangak, penyamun, pencabul kehormatan, perasuah dan orang kena tuduh tidak termasuk dalam senarai)

Calon boleh datang daripada parti politik tetapi mereka duduk di dalam Kabinet sebagai orang perseorangan.

Mengapakah Dr Mahathir memilih kaedah ini yang sekali gus mungkin mengurangkan harapannya mendapat sokongan daripada wakil parti-parti politik di dalam Dewan Rakyat?

Jawapannya adalah beliau tidak lagi mahu atau berasa mampu menjadi perdana menteri yang bergantung kepada parti-parti politik. Bukan tujuan beliau hendak menjadi diktator atau autokrat, tetapi untuk mentadbir dengan lebih tenang dan berkesan tanpa gangguan politik kepartian.

Malah kaedah ini boleh menjadikan Malaysia lebih demokratik kerana kerajaan terdedah kepada pemantauan oleh parti-parti politik di dalam dan luar dewan.

Dalam bahasa yang mudah, cadangan Dr Mahathir ini boleh juga dilihat sebagai percubaan terakhir beliau memenuhi aspirasi dan matlamat menyelamatkan Malaysia yang diasaskannya pada 2016.

Kempen Selamatkan Malaysia yang memungut lebih 1.4 juta tandatangan rakyat jelata adalah jalan pulang beliau ke arena politik selepas bersara pada 2003.

Alhamdulillah, melalui PH yang beliau pimpin negara berjaya dibebaskan daripada cengkaman kerajaan kleptokrasi BN. Jadi dari sini pun kita boleh lihat mengapa beliau tidak boleh menerima Umno seperti yang cuba dipaksakan oleh Bersatu.

Pada malam 21 Februari sesuatu yang luar biasa berlaku. Majlis Presiden PH telah memberi sokongan penuh kepada Dr Mahathir untuk terus menjadi perdana menteri sehingga selesai sidang kemuncak APEC November ini.

Bukan itu saja malah ia juga tidak meletakkan sebarang tarikh selepas itu bagi Dr Mahathir memindahkan kuasa kepada Anwar Ibrahim.

Menurut Bernama, selepas mesyuarat Dr Mahathir dalam sidang media berkata: “Saya kata peralihan lepas APEC (Asia-Pacific Economic Cooperation). Tidak ada masa (ditetapkan)…tidak ada tarikh… tiada apa-apa. Terpulang kepada saya tentukan masa. Keputusan kepada saya, bila akan letak jawatan.”

Jadi pada pendapat beliau dan daripada sudut pandangan umum, beliau telah diberikan mandat baru oleh PH untuk terus mentadbir. Cerita kononnya beliau akan dipaksa undur diri pada Mei ini tidak benar dan tidak terjadi.

Matlamat Dr Mahathir tidak lain kecuali membersihkan negara daripada najis kerajaan BN dan akibat wabak Covid-19 yang sedang berlaku sekarang.

Tetapi kegembiraan beliau singkat. Pada pagi hari Ahad, 23 Februari parti beliau, Bersatu mengadakan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) di mana Dr Mahathir dikejutkan oleh tekanan bertubi-tubi daripada majoriti ahli agar menarik Bersatu keluar daripada PH dan bergabung dengan Umno dan Pas.

Dr Mahathir menerangkan dengan panjang lebar apa yang berlaku dalam mesyuarat 21 Februari dan berkata, beliau tidak boleh sewenang-wenangnya mengabaikan kepercayaan yang diberikan oleh Majlis Presiden PH.

Malah beliau berulang kali merayu kepada ahli agar memberikannya peluang dan tidak mamaksa beliau melanggar prinsip dan mungkir janji kepada Anwar.

Dengan izin, saya memaklumkan yang saya berada di sebelah Dr Mahathir dan saya bangun meminta ahli majlis supaya menghormati pendiriannya dan jangan terus mengasaknya.

Pokok pangkalnya, Dr Mahathir hanya merayu diberi peluang untuk berpegang kepada prinsip dan menunaikan janjinya, selain dengan jelas mengulangi pendirian – iaitu boleh terima pemimpin Umno sebagai individu tetapi tidak akan terima Umno.

Akhirnya keputusan diambil untuk keluar PH dan dengan itu runtuhlah Kerajaan PH. Pada Isnin Dr Mahathir meletakkan jawatan perdana menteri dan pengerusi Bersatu.

Meletakkan jawatan sebagai perdana menteri adalah wajib kerana beliau bukan lagi ahli PH dan PH hilang majoriti dalam Dewan Rakyat.

Beliau tidak perlu letak jawatan sebagai pengerusi Bersatu tetapi mengambil keputusan untuk mengundurkan diri kerana tidak mendapat sokongan MPT.

Pada 27 Februari beliau terima semula jawatan pengerusi Bersatu atas rayuan melutut oleh MPT.

Bagi saya, itulah latar belakang politik yang menyebabkan Dr Mahathir tidak mahu lagi memimpin berasaskan parti. Kalau masih diperlukan, beliau akan memimpin kerajaan tanpa parti.

Praktikal atau tidak, itulah pilihan beliau buat masa ini dan terpulanglah kepada ahli Dewan Rakyat memutuskannya Isnin ini.

Malah secara terbuka beliau memberitahu sidang media semalam bahawa beliau bersedia kalah kepada Muhyiddin Yassin dan menerima presiden Bersatu itu sebagai calon perdana menteri, jika itulah keputusan Dewan Rakyat.

Perlu disebutkan bahawa Muhyiddin adalah pemimpin Bersatu yang bercakap bagi pihak ahli MPT yang mahu Bersatu keluar PH dan menyertai Umno dan Pas.

Apa-apa pun kita kena bersyukur dan berterima kasih kerana di saat-saat genting ini, kita mempunyai seorang Yang di-Pertuan Agong yang prihatin, bijaksana dan berperikemanusiaan.

Menjunjung kasih ke bawah duli Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

Inilah sebabnya saya selalu memetik lirik lagu Negaraku yang berbunyi:

Rahmat bahagia

Tuhan kurniakan

Raja kita

Selamat bertakhta.

Dan kita jangan lupa kakitangan perkhidmatan awam, polis dan tentera yang secara tersurat dan tersirat mentabdir dan melindungi negara kita, Malaysia, yang dicintai ini.

_______________________________________________________________________

A KADIR JASIN ialah penasihat media perdana menteri dan seorang bloger. Tulisan ini asalnya disiarkan di blog beliau dengan tajuk “Kerajaan Perpaduan Atasi Politik Kepentingan Diri.”

Facebook Comments