Presiden PAS Hadi Awang Kenang Jasa Tun Mahathir | Malaysia News

Presiden PAS Hadi Awang Kenang Jasa Tun Mahathir

Presiden PAS Hadi Awang Kenang Jasa Tun Mahathir

Kuala Lumpur, MTN – Presiden PAS Abdul Hadi Awang menegaskan jasa bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad harus dikenang dan tidak harus dijadikan “kambing hitam” oleh pemimpin yang gilakan jawatan.

Langkah yang diambil Mahathir sebaik mengambil alih tampuk pemerintahan negara selepas pilihan raya umum Ke-14 (PRU-14) wajar dipuji.

“Dalam masa yang sama, perlu dihormati Tun Mahathir yang sangat berjasa kepada negara ini supaya jangan dikorbankan menjadi kambing hitam oleh pemimpin yang gila jawatan sehingga nafsunya mengatasi akal dan sanggup menjadikan matlamat menghalalkan segala cara, tanpa nilai maruah diri, agama, bangsa dan negara.

“Sehingga mengheret ahli politik melakukan perkara yang kotor, menjatuhkan maruah, mendedahkan keaiban dan dosa yang lebih baik disembunyikan dan bertaubat kepada Allah SWT serta bermaafan.

“Langkah Tun Mahathir sejak mengambil alih pentadbiran, menangani kerajaan dan pembangkang sejak PRU-14, menanggung tugas mengawal keadaan sehingga selesai dengan aman bagi menolak dan menyingkirkan yang keruh dengan daya upaya dalam usianya tanpa huru-hara seperti negara lain adalah menjadi contoh sebagai seorang negarawan dunia terkini yang akan disimpan dan sentiasa dikenang dalam lipatan sejarah,” tulis Hadi, hari ini.

Malaysia menyaksikan pergolakan politik yang membawa kepada kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan selepas Mahathir meletakkan jawatan sebagai perdana menteri.

Ia bermula 23 Feb lalu, apabila Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mengumumkan parti itu bertindak keluar PH.

Kemudiannya disusuli dengan tindakan bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali bersama 10 anggota Parlimen PKR bertindak keluar parti.

Krisis politik tercetus sehingga Istana Negara terpaksa memanggil semua anggota Parlimen bagi menentukan pemimpin yang mendapat sokongan majoriti untuk diangkat sebagai perdana menteri.

Kemuncaknya pada 29 Feb lalu, Yang di-Pertuan Agong berkenan melantik Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri yang baru.

Pada 1 Mac lalu presiden Bersatu itu mengangkat sumpah jawatan sebagai perdana menteri kelapan.

‘Terima kasih Sabah, Sarawak’

Dalam pada itu, Hadi berkata ketika kemelut politik sedang memuncak, Yang di-Pertuan Agong berjaya memainkan peranan dengan berkesan menangani krisis politik berkenaan.

“Langkah seri paduka baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja yang tidak berpolitik dapat menangani krisis politik yang sukar ini dengan hidayah Allah SWT, diucapkan syukur dan junjung kasih.

“Sekalung terima kasih kepada Sabah dan Sarawak, para pemimpin dan rakyatnya yang berada dalam jasad Malaysia menahan kesakitan kerana penyakit yang menjangkiti mereka, namun mereka menjadi sebab sehingga negara bersatu walaupun dipisahkan oleh lautan yang luas,” tulis Hadi lagi.[MK]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply