Ahli Politik Disaran Praktik Prinsip Rukun Negara
Ahli Politik Disaran Praktik Prinsip Rukun Negara
Kuala Lumpur, MTN – Prinsip Rukun Negara kelima iaitu Kesopanan dan Kesusilaan perlu sentiasa dipraktikkan ahli politik kerana mereka adalah ‘kunci’ bagi memupuk penghayatan terhadap falsafah negara itu sekali gus mengekalkan perpaduan dalam kalangan masyarakat.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EMIR Research Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff berkata ahli politik perlu menunjukkan teladan yang baik selain menghayati Rukun Negara secara keseluruhan sekali gus menjadi model peranan kepada warga Malaysia.
Beliau berkata teras kelima dalam Rukun Negara itu harus menjadi pemandu kepada ahli politik dalam melaksanakan tugas mereka tanpa menggunakan identiti politik, agama dan ras demi kepentingan masing-masing.
Mengambil contoh situasi pada persidangan Parlimen yang sedang berlangsung, beliau berkata ahli Parlimen tidak seharusnya berkelakuan tidak sopan dengan menggunakan kata-kata kesat ketika berbahas kerana persidangan itu ditonton oleh semua golongan masyarakat.
“Jadi bila rakyat tengok, mereka akan ikut, kalau kita lihat Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) tidak pernah terpekik-pekik dan menjerit ketika berbahas, begitu juga dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Mereka berbahas secara baik dengan disertakan fakta dan statistik, jadi kita memerlukan kepimpinan sebegitu yang mana elemen kesopanan itu ada,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu dalam program ‘The Nation’ terbitan Bernama TV semalam.
Sependapat dengan beliau ialah penulis, aktivis kebudayaan dan penaung Pusaka, Eddin Khoo, yang berkata dalam memupuk penghayatan lima teras Rukun Negara, ia perlu dimulakan di bangku sekolah.
Anak sulung tokoh sejarah iaitu mendiang Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim itu berkata Rukun Negara bukan sekadar untuk dihafal semata-mata, tetapi perlu diterapkan melalui aktiviti pengajaran dan pembelajaran dalam kelas.
“Dalam kelas sendiri, semangat itu seharusnya berleluasa, bukan melalui program sahaja tetapi melalui perbincangan dalam kelas. Kalau dulu, kita ada mata pelajaran Sivik, tetapi pada masa itu, pengajaran tidak begitu memberangsangkan, ia sebenarnya satu mata pelajaran penting,” katanya.
Rukun Negara diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 bersempena ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-13 susulan peristiwa 13 Mei 1969.
Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Rukun Negara bermula pada 9 Julai dan akan berlangsung sehingga 16 Sept depan.
Author Profile
Latest entries
- NationalAugust 25, 2021Fokus PRU15, Bukan Kerusi Pengerusi PH Atau Ketua Pembangkang
- NationalAugust 25, 2021Hadi Awang: Taliban dah Berubah, Jangan Percaya pada Media Jahat
- NationalAugust 25, 2021Menjelang Pengumuman Kabinet, Ulama Pas: Jangan Sesiapa Jadi ‘Abang Long’
- PolitikAugust 25, 2021Puad: Lantik Azmin Ali Sebagai TPM Umpama Bunuh Diri