Ahmad Fayhsal: 'Syed Saddiq Tak Berhak Bercakap Atas Nama Armada, Bersatu' | Malaysia Top News
July 8, 2020

Ahmad Fayhsal: ‘Syed Saddiq Tak Berhak Bercakap Atas Nama Armada, Bersatu’

Kuala Lumpur, MTN – Bekas pembantunya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata bahawa bekas menteri belia dan sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak mempunyai hak untuk bercakap atas nama ketua pemuda Bersatu (Armada).

Ini kerana katanya, setiausaha agung Bersatu yang baru dilantik, Hamzah Zainuddin telah memberikan penjelasan terpeinci bahawa keahlian Syed Saddiq dan empat individu lain gugur secara automatik dan bukan lagi ketua Armada.

“Saudara Syed Saddiq bebas bergerak dengan mana-mana pertubuhan berdaftar pilihan beliau.

“Namun begitu beliau tidak berhak menggunakan nama Armada atau Bersatu untuk apa-apa tujuan sekalipun, terutamanya dalam percubaan berterusan beliau untuk campur tangan soal dalam parti serta melontarkan pelbagai tohmahan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Wan Ahmad Fayhsal merujuk kepada tindakan bekas menteri belia dan sukan itu mengadakan sidang media atas nama Armada Bersatu Malaysia.

Dalam sidang media semalam, Syed Saddiq mendakwa sebelum pilihan raya umum (PRU) lalu seorang menteri pernah mengajak datang ke pejabatnya untuk mempelawa agar beliau meninggalkan parti berkenaan.

Selain itu, katanya, menteri terbabit yang ketika itu merupakan anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno juga mendakwa presiden Bersatu Muhyiddin Yassin seorang ahli politik yang kemaruk mahu menjadi perdana menteri.

Bagaimanapun Wan Ahmad Fayhsal berkata tindakan diambil Muhyiddin adalah semata-mata mengukuhkan kedudukan Bersatu dan menstabilkan kerajaan hari ini, selain ia sah di sisi perlembagaan.

“Tohmahan-tohmahan yang dibuat di sidang media hari ini bukan sahaja menunjukkan kefahaman yang salah terhadap intipati perlembagaan parti, malah turut menimbulkan fitnah ke atas Bersatu dan barisan kepimpinannya,” tegasnya.

Meskipun demikian beliau berkata segala jasa dan sumbangan Syed Saddiq kepada Armada amat dihargai.

“Saya mengucapkan selamat maju jaya dan berdoa kepada Allah SWT agar Syed Saddiq meneruskan khidmat beliau dengan cemerlang walau apa jua jalan yang dipilih demi kepentingan agama, bangsa dan negara,” katanya.

Exco Armada kecam sidang media Syed Saddiq

Sementara itu, Exco Armada, Mohd Muzammil Ismail mengecam sidang media yang dibuat oleh Syed Saddiq yang didakwanya memutarbelitkan perlembagaan parti, memberi tafsiran berniat jahat dan membelakangi keputusan parti.

Beliau juga mengulangi bahawa tindakan yang diambil terhadap lima individu sebelum ini bukan dipecat sebaliknya digugurkan keahlian kerana duduk bersama pembangkang di parlimen.

“Amatlah tidak logik, bagi ahli parlimen parti Bersatu tidak menyokong blok dan kerajaan parti di bawah pimpinan YAB Tan Sri Muhyidin Yasin selaku Presiden Bersatu di parlimen pada 18 Mei 2020.

“Bahkan ini secara terang telah dinyatakan oleh mereka dalam notis kepada parlimen untuk tidak mahu duduk bersama-sama blok kerajaan.

Syed Saddiq adalah antara lima pemimpin Bersatu termasuk bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang menolak pengguguran keahlian mereka secara automatik dalam parti itu disebabkan duduk bersama blok pembangkang semasa persidangan Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu.

Pengguguran berkenaan dimaklumkan setiausaha kerja Bersatu, Suhaimi Yahya dalam surat yang dihantar kepada kelima-lima pemimpin berkenaan.

Bagaimanapun mereka menolak pengguguran tersebut kerana didakwa melanggar undang-undang dan membelakangi perlembagaan parti.

Manakala setiausaha agung yang dilantik Mahathir, Marzuki Yahya pula bertindak memecat Suhaimi.

Untuk rekod, Muhyiddin sebelum ini melantik Hamzah Zainuddin sebagai setiausaha Agung yang baru dan memangku jawatan pengerusi Bersatu yang sebelum ini disandang Mahathir.

Menurut Muzammil, setiausaha kerja hanya melaksanakan tugas beliau sebagai pegawai awam parti untuk menyampaikan notis dan bukan memecat kelima-lima individu berkenaan.

“Tindakan beliau tersebut telah disahkan oleh Setiausaha Agung Bersatu sebagai ketua pentadbir Ibu Pejabat Parti melalui sidang media semalam,” jelasnya.

Sehubungan itu, katanya, laporan polis akan dibuat terhadap Syed Saddiq kerana menggunakan nama parti berkenaan dalam sidang medianya.[mk]

Share on:
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •