Aishah Tidak Sengaja Sekat Akaun Siti Nurhaliza | Malaysia News

Aishah tidak sengaja sekat akaun Siti Nurhaliza

Aishah tidak sengaja sekat akaun Siti Nurhaliza

MTN – “Pandai orang buat cerita,” kata Aishah berhubung dakwaan dia ada masalah dengan Siti Nurhaliza susulan didakwa menyekat akaun Instagram penyanyi itu selepas persembahan Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-35 (SFMM35) tahun lalu.

Menegaskan dia tiada sebarang masalah dengan Siti, Aisyah berkata isu tersebut bermula setelah dia dikecam netizen yang mempertikaikan cara nyanyiannya untuk lagu Siti Nurhaliza berjudul Aku Bidadari Syurgamu pada acara itu.

Kata Aishah, netizen melemparkan kecaman terhadapnya di satu akaun Instagram dengan memautkan (tag) akaunnya.

Justeru, katanya, dia terpaksa menyekat akaun itu, yang kemudiannya diketahuinya sebagai akaun rasmi Siti.

“Bermulanya masa SFMM35 dulu saya rasa ada terbaca di satu akaun Instagram yang orang kutuk saya berbakul-bakul. Saya tahu ini berpunca daripada orang yang tag saya di akaun tersebut.

“Disebabkan hal itu, saya terpaksa sekat (akaun tersebut). Nak buat apa pening kepala bila dalam Instagram ramai orang hentam kita,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Bagaimanapun, dakwa penyanyi Janji Manismu itu, dia sebenarnya keliru dan tidak sedar bahawa akaun yang disekatnya itu adalah akaun rasmi Siti dan hanya tahu tentang hal itu selepas seorang individu menghantar mesej kepadanya.

“Saya tak perasan itu adalah akaun rasmi Siti Nurhaliza. Lepas itu baru saya periksa dan dapati memang itu adalah akaun sebenar dia.

“Saya sejujurnya keliru dengan akaun Siti Nurhaliza sebab terlalu banyak Instagram menggunakan nama dia,” katanya lagi.

Aishah dipilih untuk menggantikan Siti di pentas SFMM35 untuk menyampaikan lagu Aku Bidadari Syurgamu ciptaan Ippo Hafiz.

Namun ramai netizen yang mengecam pemilik nama penuh Wan Aishah Wan Ariffin kerana menganggap dia tidak menyampaikan lagu itu dengan baik.

Susulan itu, tular di Twitter kononnya ada perselisihan antara dua penyanyi terkenal itu.

Mengulas lanjut, Aishah berkata dia sudah lama menghentikan sekatan terhadap akaun Siti.

Dia juga menasihatkan netizen agar berhenti membuat andaian buruk sekiranya tidak mengetahui hal sebenar.

“Orang ramai usahlah pandai-pandai buat andaian dan spekulasi buruk. Banyak lagi perkara bermanfaat selain buang masa di media sosial,” katanya. [mk]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply