Anggota Parlimen Kuantan Terkejut Turut 'Lulus' BPN | Malaysia News

Anggota Parlimen Kuantan Terkejut Turut ‘Lulus’ BPN

Anggota Parlimen Kuantan Terkejut Turut ‘Lulus’ BPN

Anggota Parlimen Kuantan Terkejut Turut ‘Lulus’ BPN

Kuala Lumpur, MTN – Anggota Parlimen Kuantan Fuziah Salleh terkejut apabila dirinya turut “lulus” untuk menerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN).

Jelasnya, BPN yang diluluskan secara automatik tanpa permohonan, terbuka kepada kesilapan sistem yang serius dan khuatir jika bantuan ini tersilap disalurkan kepada mereka yang tidak layak untuk menerimanya.

“Selepas tular berita berkenaan anggota narlimen, menteri, isteri mantan perdana menteri, serta mantan timbalan menteri yang telah menerima kelulusan BPN, maka saya terpanggil untuk membuat semakan diatas talian untuk diri sendiri.”Dapatan saya sungguh mengejutkan kerana saya juga didapati lulus untuk menerima bantuan tersebut.

“Ingin saya jelaskan bahawa saya bukan penerima Bantuan sara Hidup (BSH) dan juga saya tidak pernah memohon untuk BPN,” kata bekas timbalan menteri di JPM itu dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Malaysiakini dalam satu carian di laman web Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mendapati bahawa isteri bekas perdana menteri Najib Razak iaitu Rosmah Mansor lulus menerima BPN.

Carian itu dibuat selepas tular di media sosial apabila netizen menggunakan nombor kad pengenalan Rosmah bagi kegunaan mahkamah untuk membuat semakan itu

Walau bagaimanapun, Najib – yang juga MP Pekan tidak layak.

Dalam hantaran Facebooknya, Najib memaklumkan Rosmah tidak pernah diberitahu bahawa dia layak mendapat bantuan itu, tetapi jika disalurkan ke akaunnya, wang itu akan disumbangkan kepada dana kerajaan Covid-19.

Selain Rosmah, bekas timbalan menteri sumber manusia, Mahfuz Omar juga didapati turut layak menerima BPN berjumlah RM1,000.

Bagaimanapun, semakan selanjutnya terhadap status bantuan BPN yang diterima Rosmah menyatakan “tiada rekod.”

Untuk rekod, sistem yang digunakan oleh LHDN bergantung pada senarai BSH yang ada, di mana mereka yang layak untuk itu tidak perlu memohon bantuan BPN.

Tak boleh buat silap begini

Mengulas lanjut, Fauziah berkata persoalan timbul bagaimana beliau dan individu lain yang tidak layak menerima BPN tersenarai sebagai penerima bantuan.

“Kesilapan ini mungkin melibatkan lebih ramai individu lain juga. Memandangkan bayaran akan di buat secara terus, saya khuatir, ramai yang tidak menyemak dan tersalah terima.

“Sumber negara harus di gunakan sebaik mungkin dalam keadaan kita memerangi Covid-19 dan kita sebagai negara tidak mampu untuk membuat kesilapan begini,” katanya lagi.

Hasil semakan,  sekurang-kurangnya dua MP lagi, Hassan Karim (Pasir Gudang) lulus RM 1,000 dan Wan Hassan Mohd Ramli (Dungun) dapat RM1,600.

Bekas menteri Hasan Malek dan bekas timbalan menteri Razali Ibrahim juga tersenarai sebagai penerima BPN.

Ketika dihubungi, Hassan memberitahu Malaysiakini beliau tidak memohon BPN dan sistem itu jelas memiliki “kecacatan” dan kerajaan perlu memperbaikinya.

“Perlu semak semula sistem BPN ini supaya golongan yang tak layak seperti ahli parlimen tidak perlu dibantu.

“Duit negara perlu diguna dengan cermat dan tiada ketirisan,” katanya.

Untuk rekod, di bawah Akta Ahli Parlimen Ahli Parlimen 1980, seorang Ahli Parlimen layak mendapat gaji sebanyak RM16,000 sebulan ditambah dengan pelbagai faedah dan elaun.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan BPN pada 29 Mac lalu, sebahagian daripada pakej rangsangan ekonomi untuk merancakkan ekonomi akibat Covid-19.

Antara lain, kerajaan akan membayar individu bujang sebanyak RM800 pada bulan April dan Mei, jika mereka berpendapatan di bawah RM2,000 sebulan.

Manakala individu bujang berpendapatan antara RM2,001 dan RM4,000 akan menerima RM500 sepanjang tempoh tersebut.

Sementara itu, isi rumah yang berpendapatan RM4,000 dan ke bawah akan menerima sejumlah RM1,600, manakala isi rumah yang membuat antara RM4,001 dan RM8,000 akan mendapat RM1,000.[mk]

Facebook Comments

Author Profile

Anand Pavit

About The Author

Leave a Reply