PM Muhyiddin: Pakej Tambahan PKS Berjumlah RM10 Bilion | Malaysia Top News
June 2, 2020

PM Muhyiddin: Pakej Tambahan PKS Berjumlah RM10 Bilion

Putrajaya, MTN – Kerajaan mengumumkan pakej tambahan berjumlah RM10 bilion untuk membantu meringankan beban kewangan Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS), sekali gus menjamin dua pertiga daripada jumlah pekerja di negara ini terus mendapat pekerjaan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah-langkah tambahan yang diambil melibatkan peruntukan bagi program subsidi upah yang diumumkan pada 27 Mac lalu akan dinaikkan daripada RM5.9 bilion kepada RM13.8 bilion iaitu tambahan sebanyak RM7.9 bilion.

Jelas beliau, di bawah inisiatif tambahan itu, semua syarikat dengan pekerja tempatan yang bergaji RM4,000 dan ke bawah akan menerima bantuan subsidi upah bergantung jumlah pekerja.

“Bagi syarikat yang mempunyai pekerja lebih daripada 200 orang, subsidi upah sebanyak RM600 bagi setiap pekerja dikekalkan. Namun, bilangan maksimum pekerja yang layak untuk menerima subsidi akan ditingkatkan daripada 100 orang kepada 200 orang pekerja.

“Bagi syarikat yang mempunyai bilangan pekerja 76 hingga hingga 200 orang, syarikat akan menerima subsidi upah sebanyak RM800 bagi setiap pekerja.

“Akhir sekali, bagi syarikat yang mempunyai bilangan pekerja sehingga 75 orang, syarikat akan menerima subsidi upah sebanyak RM1,200 bagi setiap pekerja. Melalui penambahbaikan ini, syarikat-syarikat akan menerima lebih banyak manfaat dan bantuan.

“Bantuan ini adalah untuk selama tiga bulan dan dikhususkan kepada majikan yang telah berdaftar dengan SSM atau pihak berkuasa tempatan sebelum 1 Januari lalu dan mendaftar dengan PERKESO. Justeru, kira-kira 4.8 juta pekerja dijangka akan mendapat manfaat daripada inisiatif ini.

“Bagi majikan yang memilih untuk menerima bantuan ini, mereka disyaratkan untuk mengekalkan pekerja mereka sekurang-kurangnya untuk tempoh enam bulan iaitu dalam tempoh tiga bulan semasa menerima subsidi upah dan tiga bulan selepas itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Perutusan Khas Pakej Prihatin PKS (Tambahan) yang disiarkan secara langsung di kaca televisyen di sini hari ini.

Muhyiddin menambah, kerajaan turut mewujudkan Geran Khas PRIHATIN berjumlah RM2.1 bilion bagi semua syarikat PKS mikro yang berkelayakan.

Katanya, kerajaan akan menyediakan Geran Khas sebanyak RM3,000 untuk setiap syarikat mikro yang akan memanfaatkan hampir 700,000 PKS mikro di seluruh negara.

Jelas beliau, PKS mikro perlulah berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk menikmati kemudahan ini.

Kerajaan tambah beliau, akan memperolehi senarai PKS mikro yang layak daripada Pihak Berkuasa Tempatan dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

“Selain itu, Kerajaan juga menyeru organisasi pemberi pinjam wang berdaftar di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 yang menyediakan kemudahan kredit untuk memberi moratorium ke atas bayaran ansuran PKS selama 6 bulan bermula April 2020, seperti mana yang telah diberikan oleh pihak bank.

“Saya berharap organisasi pemberi pinjam wang turut bersimpati dengan kesukaran yang dihadapi oleh pelanggan dan bersama-sama membantu meringankan beban kewangan mereka,” ujarnya.

Muhyiddin berkata, di samping meringankan beban kewangan PKS, kerajaan juga akan mengambil beberapa inisiatif untuk memudahkan sektor mendapat manfaat sepenuhnya daripada semua bantuan yang telah diumumkan.

Antara jelas beliau, penambahbaikan yang akan dilaksanakan dengan memansuhkan kadar faedah 2 peratus kepada 0 peratus untuk Skim Kredit Mikro berjumlah RM500 juta di bawah Bank Simpanan Nasional.

Katanya, skim pinjaman mudah untuk syarikat mikro itu juga dipanjangkan kepada TEKUN Nasional dengan had maksimum pinjaman sebanyak RM10,000 setiap syarikat pada kadar faedah 0%.

“Untuk tujuan ini, dana sebanyak RM200 juta akan disediakan. Pemohon hanya boleh memilih salah satu daripada skim ini bagi membolehkan lebih ramai peniaga menikmati kemudahan ini.

“Selain itu, pengecualian bayaran sewa atau memberi diskaun sewaan untuk peniaga runcit PKS bagi premis yang dimiliki oleh syarikat berkaitan Kerajaan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada syarikat Kerajaan Persekutuan seperti MARA, PETRONAS, PNB, PLUS dan UDA serta beberapa syarikat milik Kerajaan Negeri yang telah bersetuju untuk memberi diskaun atau tidak mengenakan sewaan ke atas premis mereka khusus untuk penyewa PKS,” jelasnya.

Muhyiddin turut menggesa pemilik premis swasta untuk turut memberikan kemudahan yang sama dengan mengurangkan kadar sewa premis mereka sekurang-kurangnya semasa waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan tiga bulan selepas tempoh ituberakhir atas prinsip perkongsian bebanan.

Jelas beliau, pemilik bangunan atau ruang perniagaan yang memberikan pengurangan atau pelepasan sewa kepada penyewa premis perniagaan yang terdiri daripada perusahaan kecil dan sederhana akan diberi potongan cukai tambahan bersamaan dengan amaun pengurangan sewa tersebut bagi bulan April hingga Jun ini.

“Potongan cukai tambahan ini diberikan tertakluk kepada syarat pengurangan sewa, iaitu hendaklah sekurang-kurangnya 30 peratus daripada kadar sewa asal bagi tempoh tersebut.

“Selain itu, membenarkan pengurangan bayaran levi pekerja asing sebanyak 25 peratuske pada semua syarikat yang permit pekerja mereka tamat pada 1 April hingga 31 Disember ini.

“Pengurangan bayaran levi ini tidak terpakai kepada pembantu rumah,” katanya.[mg]

Share on:
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •