Pakatan Harapan Mahu Kerajaan Guna e-Dompet Salur Bantuan kepada M40

Pakatan Harapan Mahu Kerajaan Guna e-Dompet Salur Bantuan kepada M40
Kuala Lumpur, MTN – Pakatan Harapan (PH) mahu kerajaan supaya menggunakan aplikasi e-dompet bagi mengurus pembayaran Bantuan Prihatin Nasional (BPN) kepada kumpulan M40.
“Tidak seperti golongan B40 di mana kerajaan mempunyai pengkalan data Bantuan Sara Hidup yang sedia ada, kerajaan tiada pengkalan data untuk penerima ini, yang dikategorikan sebagai penerima M40.
“Akan tetapi, Kementerian Kewangan telah mengambil keputusan untuk membuat bayaran wang tersebut ke akaun LHDN masing-masing. Inilah sebab utama sistem permohonan melalui LHDN tergendala dan terpaksa menjalan proses penyelenggaraan,” kata Majlis Setiausaha PH hari ini.
Kenyataan itu merupakan kenyataan bersama Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (PKR), Datuk Mohd Hatta Ramli (Parti Amanah Negara) dan Tony Pua (DAP).
Seperti yang diumumkan dalam kenyataan Majlis Setiausaha PH sebelum ini, kata kenyataan itu, pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memiliki data pendapatan individu dan bukan berbentuk isirumah kerana tidak semua pembayar cukai mengemukakan pulangan cukai masing-masing sebagai sebuah isirumah.
“Di samping itu, bukan semua dalam kategori di atas mempunyai fail cukai pendapatan. Sebagai contoh, seorang individu bujang dengan pendapatan RM2,500 berkelayakan untuk bantuan di atas mungkin tidak mempunyai fail cukai kerana belum layak membayar cukai tetapi mereka yang belum layak membayar cukai adalah yang paling memerlukan bantuan daripada kerajaan.
“Tambahan lagi, proses pengeluaran bantuan di atas daripada LHDN akan menyusahkan ramai pihak. Dengan terbukti, ia secara jelas telah menjadi beban kepada pejabat LHDN yang memproses pengeluaran ini.
“Oleh sebab itu, kami berharap supaya pihak Kementerian Kewangan akan menimbang semula kaedah bayaran BPN dengan meneruskan formula yang telah dilaksanakan dengan cemerlang oleh kerajaan sebelum ini untuk menyampaikan bantuan terus kepada rakyat, iaitu program e-Tunai Rakyat, yang disertai lebih lapan juta orang,” katanya.
Memandangkan penerima e-Tunai Rakyat telah melalui proses verifikasi bagi mereka yang mempunyai pendapatan boleh dicukai kurang RM100,000 setahun, adalah mudah bagi kerajaan untuk memastikan bahawa RM1,000 itu sampai kepada individu yang disasarkan dalam masa yang sepatutnya.
Kerajaan hanya perlu mengasingkan mereka yang sudah layak menerima bantuan BSH.
“Dengan menggunakan skim e-Tunai Rakyat, rakyat tidak perlu melalui proses pentadbiran yang melecehkan, untuk mendaftar dan mendapat pengesahan, untuk layak menerima bantuan RM1,000 tersebut,” katanya.
Tambahan pula, sejajar dengan objektif e-pembayaran yang digalakkann oleh Bank Negara Malaysia, menggunakan e-dompet ertinya menggunakan transaksi tanpa sentuh yang akan memastikan virus, kuman dan bakteria tidak akan berjangkit melalui pertukaran wang tunai di kaunter juruwang.
“Ini adalah pilihan yang lebih sihat dan selamat.
Memandangkan kepantasan pelaksanaan program yang dicadangkan oleh Perdana Menteri akan menentukan kejayaan atau kegagalan langkah-langkah yang telah diumumkan, kami menyeru kerajaan untuk melantik Khazanah bagi menguruskan pengagihan bantuan RM1,000 bagi golongan M40 melalui e-dompet memandangkan mereka telah berjaya melaksanakan kempen e-Tunai Rakyat.
“Akhirnya, kami ingin menegaskan sekali lagi bahawa pihak PH bersedia untuk memainkan peranan dalam menjalankan usaha bipartisan dalam memerangi krisis Covid-19, kami bersedia untuk membantu dengan memberi idea dan membantu pelaksanaan program-program di atas, bagi memastikan mereka yang benar-benar memerlukan akan menerima bantuan dalam jangka waktu yang sepatutnya,” ujar mereka.
Pada Jumaat lepas, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM250 bilion, termasuk bantuan tunai kepada mereka yang layak.[mg]
Author Profile
Latest entries
NationalAugust 25, 2021Fokus PRU15, Bukan Kerusi Pengerusi PH Atau Ketua Pembangkang
NationalAugust 25, 2021Hadi Awang: Taliban dah Berubah, Jangan Percaya pada Media Jahat
NationalAugust 25, 2021Menjelang Pengumuman Kabinet, Ulama Pas: Jangan Sesiapa Jadi ‘Abang Long’
PolitikAugust 25, 2021Puad: Lantik Azmin Ali Sebagai TPM Umpama Bunuh Diri