Annuar Musa: Kerajaan PN Tidak Akan Bertahan Jika Parlimen Tidak Dibubarkan
Annuar Musa: Kerajaan PN Tidak Akan Bertahan Jika Parlimen Tidak Dibubarkan
Kuala Lumpur, MTN – Dua hari selepas kabinet baru diumumkan, Setiausaha Agung Umno Annuar Musa memberi bayangan bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak akan bertahan sehingga pilihan raya umum (PRU) ke-15 akan datang.
Justeru itu beliau berharap parlimen dibubarkan dengan segera agar kerajaan dapat dibentuk melalui “pintu depan”, seperti yang dimahukan oleh Muafakat Nasional pada awalnya.
“Setelah kerosakan yang ditinggalkan PH diuruskan dan wabak Covid-19 reda kita harap pintu depan segera dibuka dengan Parlimen dibubarkan, sepertimana dari awal dimahukan oleh Muafakat Nasional.
“Kita serah pada rakyat, sejauh mana rakyat mahu geng bersama DAP ini,” tulisnya di Twitter.
Setelah kerosakan yg di tinggalkan PH di uruskan dan wabak covid-19 reda kita harap pintu depan segera di buka dgn Parlimen di bubarkan,spt mana dari awal di mahukan oleh MUAFAKAT NASIONAL.Kita serah pada rakyat,sejauh mana rakyat mahu geng bersama DAP ini..
— Annuar Musa (@AnnuarMusa) March 11, 2020
Annuar yang mengangkat sumpah sebagai Menteri Wilayah Persekutuan semalam berkata demikian berikutan serangan terhadap PN kerana didakwa membentuk kerajaan melalui pintu belakang.
‘Langkah Sheraton’ yang bermula pada 23 Feb lalu, menyaksikan tumbangnya kerajaan PH, apabila Bersatu yang pernah menjadi komponen PH, bekerjasama dengan BN, PAS, beberapa bekas pemimpin PKR diketuai Azmin Ali.
Gabungan itu juga disokong oleh GPS bagi membentuk kerajaan baru.
BN dan PAS pada mulanya menyokong pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri, namun menarik balik sokongan kerana tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan perpaduan yang dicadangkan perdana menteri ketujuh itu.
BN dan PAS kemudian meminta agar pilihan raya mengejut diadakan bagi memilih kerajaan, namun kemudian menyokong presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.
Muhyiddin mengangkat sumpah di depan Yang di-Pertuan Agong sebagai perdana menteri kelapan pada 1 Mac, dan mengumumkan kabinetnya dua hari lalu.
‘Wirid kerajaan pintu belakang’
Kata Annuar, PH sepatutnya tidak terus menyalahkan orang lain dan sedar akan kesilapan mereka, bukannya terus “berwirid” mengecam orang lain menubuhkan ‘kerajaan pintu belakang’.
“Masalah dengan PH, mereka berada dalam sindrom penafian dan blaming others (menyalah orang lain) secara kekal.
“Mereka yang berebut jawatan, mereka yang letak jawatan, mereka yang terjun tingkap dari PH tapi mereka semacam wirid kononnya kerajaan pintu belakang.
“Mereka tidak pernah sedar kesilapan mereka,” tulisnya lagi.
Sebelum ini, krisis dalaman PH menyaksikan PKR dan Bersatu sering berselisih tentang waktu peralihan kuasa antara Mahathir dan presiden PKR Anwar Ibrahim.
Namun mesyuarat Majlis Presiden PH yang terakhir mencapai persetujuan agar Mahathir diberikan ruang sebagai perdana menteri, tanpa syarat.
Mahathir meletakkan jawatan sebagai perdana menteri sehari selepas Langkah Sheraton, kerana tidak bersetuju dengan keputusan partinya menyertai PN.[mk]
Author Profile
Latest entries
- NationalAugust 25, 2021Fokus PRU15, Bukan Kerusi Pengerusi PH Atau Ketua Pembangkang
- NationalAugust 25, 2021Hadi Awang: Taliban dah Berubah, Jangan Percaya pada Media Jahat
- NationalAugust 25, 2021Menjelang Pengumuman Kabinet, Ulama Pas: Jangan Sesiapa Jadi ‘Abang Long’
- PolitikAugust 25, 2021Puad: Lantik Azmin Ali Sebagai TPM Umpama Bunuh Diri